Ahad, 24 April 2011

Homst Restaurant, Taman Prima Saujana

Kajang, 24/04/2011 – Saya, isteri dan tiga orang anak kami pergi ke Taman Prima Saujana dan singgah ke “Homst Restaurant” selepas solat Zohor tadi. Restoran tersebut merupakan sebuah restoran Masakan Cina Muslim (Chinese Muslim Cuisine) cawangan Kajang yang diuruskan oleh Yusoff Lau bin Abdullah. Kami bertolak dari rumah menuju ke sana untuk makan tengah hari. Sebelum ini, saya dan keluarga pernah ke beberapa buah restoran makanan Cina Muslim di sekitar Pahang dan Selangor.

Kami sekeluarga makan tengah hari di sini dengan memesan menu Nasi Putih, Ikan Siakap Masak Epal, Udang Sambal, Kailan Bayi serta minuman Sirap Bandung, Jus Asam Limau dan Longan. Terdapat pelbagai pilihan juadah yang sungguh menyelerakan di sini.

Ini merupakan kali pertama kami sekeluarga singgah makan di “Homst Restaurant”. Kami dapat mengetahui kewujudan restoran ini ketika melalui jalan Pintasan Kajang-Semenyih. Sejak itu, kami berhasrat untuk mencuba menu masakannya.

Sesiapa yang ingin singgah ke “Homst Restaurant” (Chinese Muslim Cuisine) di Kajang, alamatnya ialah:
No 47G & 48G,
Jalan Prima Saujana 1/1A,
Seksyen 1,
Taman Prima Saujana,
43000 Kajang,
Selangor.

Saya memandu kereta dalam keadaan hujan lebat dan beredar meninggalkan “Homst Restaurant” bertolak pulang ke rumah.

Sabtu, 16 April 2011

Majlis Tadarus al-Qur’an dan Festival Nasyid Selangor 2011

Bandar Baru Bangi, 16/04/2011 – Saya telah memimpin bacaan doa’ untuk perasmian penutup Majlis Tadarus al-Qur’an dan Festival Nasyid Sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia Peringkat Negeri Selangor Tahun 2011 yang bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Tiga. Pada tahun ini, daerah Hulu Langat menjadi tuan rumah untuk pertandingan di peringkat negeri Selangor. Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Tuan Haji Abdullah bin Md Din, Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia. Majlis tersebut bermula selepas solat Zohor dan berakhir sebelum masuk waktu solat Asar. Johan setiap acara akan mewakili Selangor ke peringkat kebangsaan yang dijangka akan diadakan di Pulau Pinang pada bulan Mei ini.

Johan keseluruhan bagi kategori Sekolah Rendah ialah daerah Hulu Langat. Johan keseluruhan bagi kategori Sekolah Menengah ialah daerah Klang. Johan keseluruhan Majlis Tadarus al-Qur’an dan Festival Nasyid Sekolah-sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia Peringkat Negeri Selangor Tahun 2011 ialah daerah Hulu Langat. Tahniah diucapkan kepada daerah Hulu Langat.

Selangor mempunyai sepuluh buah pejabat pelajaran daerah iaitu Hulu Selangor, Petaling Perdana, Kuala Langat, Sabak Bernam, Gombak, Kuala Selangor, Klang, Hulu Langat, Sepang dan Petaling Utama.

Keputusan pertandingan untuk Johan (1), Naib Johan (2) dan Tempat Ketiga (3) bagi kategori Sekolah Rendah (SR) ialah seperti berikut:

Tilawah al-Qur’an SR (Lelaki):
1. Gombak. 2. Hulu Langat. 3. Hulu Selangor.
Tilawah al-Qur’an SR (Perempuan):
1. Sepang. 2. Hulu Langat. 3. Gombak.
Hafazan al-Qur’an SR (Lelaki):
1. Petaling Perdana. 2. Hulu Langat. 3. Petaling Utama.
Hafazan al-Qur’an SR (Perempuan):
1. Petaling Perdana. 2. Hulu Langat. 3. Petaling Utama.
Bercerita Kisah al-Qur’an SR (Lelaki):
1. Hulu Langat. 2. Petaling Perdana. 3. Petaling Utama.
Bercerita Kisah al-Qur’an SR (Perempuan):
1. Hulu Langat. 2. Petaling Perdana. 3. Gombak.
Nasyid SR:
1. Hulu Langat. 2. Klang. 3. Gombak.

Keputusan pertandingan untuk Johan (1), Naib Johan (2) dan Tempat Ketiga (3) bagi kategori Sekolah Menengah (SM) ialah seperti berikut:

Tilawah al-Qur’an SM (Lelaki):
1. Gombak. 2. Petaling Perdana. 3. Klang.
Tilawah al-Qur’an SM (Perempuan):
1. Kuala Langat. 2. Hulu Langat. 3. Klang.
Hafazan al-Qur’an SM (Lelaki):
1. Hulu Langat. 2. Sepang. 3. Gombak.
Hafazan al-Qur’an SM (Perempuan):
1. Klang. 2. Gombak. 3. Kuala Langat.
Syarahan Agama SM (Lelaki):
1. Klang. 2. Kuala Selangor. 3. Petaling Perdana.
Syarahan Agama SM (Perempuan):
1. Petaling Perdana. 2. Klang. 3. Hulu Selangor.
Nasyid SM:
1. Hulu Langat. 2. Kuala Selangor. 3. Klang.

Ahad, 10 April 2011

Guru Jutawan Akhirat

Tahniah diucapkan kepada Unit Operasi Dakwah, Sektor Pendidikan Islam, Jabatan Pelajaran Selangor kerana telah menerbitkan sebuah buku yang bertajuk ‘Guru Jutawan Akhirat’. Buku ini telah ditulis oleh sekumpulan panel yang terdiri daripada Guru-guru Pendidikan Islam dan ia amat sesuai untuk semua guru yang beragama Islam tanpa mengira mata pelajaran yang diajar. Ini adalah kerana buku ini memfokuskan kepada kerjaya seorang guru Muslim.

Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan, menyuruh berbuat kebaikan (perbuatan yang mendekatkan diri kepada Allah) serta mencegah daripada segala yang salah (perbuatan yang menjauhkan diri daripada Allah). Merekalah orang-orang yang berjaya. (Surah Ali Imran: Ayat 104).

Seorang guru yang beragama Islam mesti bercita-cita menjadi guru yang memiliki 5M iaitu mudarris, mu’allim, muaddib, murabbi dan mursyid.

Guru sebagai mudarris (pengajar) menyampaikan ilmu di dalam kelas tidak kira apa mata pelajaran tanpa jemu dan bosan. Alangkah malangnya jika guru mudah putus asa dalam menyampaikan ilmu.

Guru sebagai mu’allim (orang yang berilmu dan menyampaikan). Sebagai mu’allim, para pendidik mesti menguasai bidang yang diajarnya. Pastikan dia memiliki ilmu dan kefahaman yang benar kerana ilmu yang silap diajar akan ditanggung oleh murid.

Guru sebagai muaddib (pendidik adab dan akhlak) iaitu orang yang mengajar anak muridnya tentang adab dan tingkah laku yang baik. Menyemai sifat terpuji (mahmudah) dan menyingkirkan sifat keji (mazmumah).

Guru sebagai murabbi (penjaga/pemelihara) yang menjaga kebajikan anak didik. Guru sebenarnya mewarisi sifat Tuhan iaitu tidak membiarkan murid-muridnya seperti Tuhan tidak membiarkan makhluk-Nya begitu sahaja. Guru sewajarnya mengambil tahu kehidupan mereka.

Guru sebagai murysid (pembimbing jalan yang benar). Tunjukkan kebenaran dan bimbing mereka ke arah kebenaran itu. Bimbing jiwa, perasaan dan pemikiran supaya mereka sentiasa di atas landasan yang benar. Manusia apabila hatinya benar, jalannya akan menjadi lurus.

Jumaat, 1 April 2011

Sekolah Menengah Agama Padang Tengku

Saya telah belajar di Sekolah Menengah Agama Padang Tengku (SMAPT) bermula daripada Januari 1988 sehingga Disember 1992 sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Sekolah ini dikenali sebagai “al-Ma’idah ad-Diniyah” yang bermaksud ‘Hidangan Agama’. Ia terletak di daerah Lipis iaitu di negeri Pahang.

Mengimbas kembali kenangan ketika saya belajar di SMAPT. Tahun 1988, saya berada di Kelas Peralihan bersama rakan-rakan yang lahir pada tahun 1975. Tahun 1989, saya terus melompat ke Tingkatan Dua tanpa masuk ke Tingkatan Satu berdasarkan keputusan peperiksaan. Sejak itu, saya belajar bersama rakan-rakan yang lahir pada tahun 1974 sehingga berada di Tingkatan Lima pada tahun 1992.

SMAPT telah disempurnakan perasmiannya oleh D.Y.A.M. Tengku Mahkota Pahang iaitu Tengku Ahmad Shah pada 12 Mei 1957. Pada peringkat awal, sekolah ini bertaraf Sekolah Agama Rakyat. Kewujudan sekolah ini di kawasan Padang Tengku membolehkan guru-guru mengajar pendidikan agama Islam secara formal kepada anak-anak tempatan.

Mata pelajaran yang diajar di sekolah ini berteraskan Bahasa Arab. Oleh itu, masyarakat tempatan memanggilnya Sekolah Arab yang dikenali dengan nama “Madrasah al-Ma’idah ad-Diniyah”. Ia terletak berhadapan dengan stesen kereta api Padang Tengku.

Pada awalnya, SMAPT diletakkan di bawah pentadbiran Majlis Agama Islam Pahang (MAIP). Ia telah diambil alih oleh Kerajaan Negeri Pahang pada tahun 1967 dan diletakkan di bawah pentadbiran Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) sehingga ke hari ini. Setelah pentadbiran sekolah diambil alih oleh kerajaan negeri, perubahan amat ketara dapat dilihat dari segi pertambahan kemudahan asas merangkumi bangunan kelas, makmal sains, asrama, dewan makan dan kemudahan lain yang bertambah dari masa ke semasa.

Terkini iaitu tahun 2011 ini, pihak sekolah mahu membina surau yang lebih besar bagi menampung bilangan pelajar yang semakin bertambah. Surau yang ada sekarang cuma di bangunan sementara.

Marilah sama-sama kita menderma untuk mengumpul dana bagi pembinaan surau tersebut. Nama akaunnya ialah Tabung Surau SMAPT yang bernombor akaun 06110000123-10-2 (CIMB BANK). Bagi menyertai Saham Waqaf dan keterangan lanjut berkenaan pembinaannya, sila hubungi nombor telefon pejabat SMAPT di talian 09-3291226. Terima kasih.

Kumpulan Nasyid Hijjaz

Kumpulan Nasyid Hijjaz
Klik pada gambar untuk menonton video YouTube.

Anugerah Sahabat Hijjaz Setia

Kenangan di Negara Arab

WELCOME

WELCOME
http://jeehan75.blogspot.com

MURAQABAH

  • Naib 2007 SMKBBSL.
  • Dhabit 2009 SKSS.
  • Rais 2010 SKSI2 (SMKSAAS).
  • Naib 2012 SJK(C)B.
  • Rais 2013 SKTR (SMKSAAS).
  • Rais 2015 SKBT (SMKBTK).
  • Rais 2016 SKJE (SMKDABB).
  • Rais 2017 SKLA (SMKTK).
  • Rais 2018 SKBTHO2 (SMKTT).
  • Dhabit 2023 UIS & UTAR (SMKTT) Murafiq.