![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh6TlupGkhuf5q2sXnrZtkx-GQyfbvDaLKkfnn_jK-qhG3uX-9l0PDeo6tJZyRS7ALQaGYFrmkKiZTbAbadpKZkRuAtSb4vLJR_Sm0D_czXTsGC7T8y7Mv-sK5P5ZklYiMNZFC2aIPfNNSE/s320/Masjid+Putra.jpg)
Saya tiba di perkarangan Masjid Putra kira-kira jam 7:10 pagi tadi setelah memandu kereta dari rumah di Kajang. Jarak perjalanan ialah kira-kira 22 kilometer. Perjalanan pergi saya dari Kajang ke Putrajaya awal pagi tadi melalui Lebuhraya Kajang SILK (E18) dan Lebuhraya SKVE "South Klang Valley Expressway" (E26). Di E18 melalui Plaza Tol Sungai Balak dan di E26 tidak melalui plaza tol.
Para peserta dan tetamu yang hadir bersarapan terlebih dahulu di Dewan Makan Ibnu Khaldun sebelum program bermula.
Program Indahnya Islam telah diadakan di Auditorium Ibnu Sina, Masjid Putra, Putrajaya bermula sejak pagi tadi sehingga petang. Ia dilaksanakan oleh Unit Pendidikan Islam, Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Langat. Pelaksanaan program ini juga telah diselaraskan mengikut permuafakatan bersama antara pihak Sektor Pendidikan Islam di Jabatan Pelajaran Selangor, Pejabat-pejabat Pelajaran Daerah di Selangor dan Masjid Putra di Putrajaya.
Program ini adalah suatu usaha sentuhan minda dan emosi kepada murid-murid sekolah untuk memantap serta mengukuhkan aqidah sebagai orang Islam. Mereka dapat merasakan Islam sebagai satu pegangan dan cara hidup.
Objektif program ini ialah untuk menanam keinsafan bahawa hanya Islam agama dan cara hidup yang benar. Juga menanam kesedaran hidup sebagai orang Islam merupakan suatu nikmat yang amat besar daripada Allah. Di samping memupuk semangat sayang dan cinta kepada Islam sebagai suatu anutan dan perlu dipertahankan. Diharap melalui program ini dapat melahirkan generasi pewaris para nabi yang berkesanggupan menjadikan dakwah kepada bukan Islam sebagai suatu usaha.
Program pada hari ini disasarkan kepada murid-murid sekolah rendah yang belajar Pendidikan Islam di SJK Cina dan SJK Tamil. Mereka terdiri daripada murid-murid Tahun 3, 4, 5 dan 6. Pada minggu lepas iaitu pada 15/09/2011, program seperti ini telah diadakan untuk murid-murid sekolah rendah yang belajar Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan.
Saya membentangkan tajuk berkenaan ‘Hebatnya Solat’. Saya menggunakan komputer riba persendirian yang disambungkan kepada projektor auditorium dan dipancarkan ke skrin besar.
Selepas solat Zohor di Masjid Putra dan makan tengah hari di Dewan Makan Ibnu Khaldun, program disambung kembali. Ia merupakan slot penutup sebagai muhasabah diri dan kesimpulan daripada program sepanjang hari ini.