Ia dibuktikan pada bulan Ogos 2011 apabila harga emas dunia melepasi paras AS$1,800 (RM5,400) seauns buat pertama kalinya malah sejak 10 tahun lalu harga emas telah meningkat sebanyak 700 peratus.
Kenaikan harga pasaran emas telah mendorong minat orang ramai melaburkan wang mereka dengan membeli pelbagai jenis emas untuk dijadikan aset atau bentuk pelaburan pada masa depan.
Harga emas yang naik mendadak itu juga telah menarik perhatian masyarakat dunia termasuk Malaysia terhadap kepentingan dan keuntungan melakukan pelaburan emas.
Emas dilihat satu bentuk pelaburan yang meyakinkan terutama dalam tempoh masa panjang kerana harganya tidak pernah jatuh sebaliknya sentiasa meningkat sejak kebelakangan ini.
Peti deposit keselamatan bagi menyimpan barang-barang berharga seperti emas di bank sudah habis dilanggan.
Fenomena ini berlaku ekoran kenaikan harga emas yang mendadak dan menjadikan bank sebagai tempat simpanan yang selamat.
Menurut perangkaan, ratusan pelanggan berada dalam senarai menunggu dan ia bakal mengambil masa yang lama untuk mendapatkannya.
Pelaburan emas juga mempunyai risiko yang hampir sama dengan bentuk pelaburan lain. Harga emas semasa semakin meningkat kerana ia bergantung pada keadaan persekitaran politik dan ekonomi antarabangsa yang semakin stabil. Jika persekitaran dunia aman, harga emas akan meningkat tetapi jika keadaannya kucar kacir harganya akan jatuh.
Umat Islam di Malaysia dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dalam pelaburan emas fizikal kerana tidak semua bank dan syarikat pelaburan yang terbabit berlandaskan tuntutan syarak.
Mengikut hukum syarak, perlu wujud fizikal emas pada pihak bank bagi pelaburan emas. Ia haruslah mengikut harga semasa dan pembayaran dibuat secara terus tanpa ada tangguhan.
Pastikan pelaburan emas fizikal berlandaskan hukum syarak. Setakat ini, hanya ar-Rajhi Bank dan Kuwait Finance House menepati kriteria tersebut.
SUMBER: Mingguan Utusan Melayu. 26 September 2011.