Guru-guru hadir ke SKTP awal-awal pagi lagi. Diikuti dengan kehadiran para ibu bapa dan penjaga. Mereka mendaftarkan diri. Saya berada di Dewan SKTP sejak awal lagi ketika dewan masih kosong. Saya terlibat dalam mengendalikan komputer riba menayangkan tirai latar dalam bentuk "Power Point". Saya menggunakan komputer riba persendirian yang disambungkan kepada projektor sekolah dan dipancarkan ke skrin besar. Sementara menunggu perasmi tiba, para hadirin yang berada di dewan dihidangkan dengan tayangan video.
Pengacara majlis memulakan majlis dengan ucapannya. Bacaan doa’ pembukaan juga dimulakan. Majlis diteruskan dengan ucapan Penasihat PIBG (Guru Besar SKTP), ucapan Yang Dipertua (YDP) PIBG sesi 2011/2012 dan ucapan perasmian. Kemudian, seorang murid SKTP membuat persembahan nyanyian solo.
Majlis berhenti rehat. Selepas itu, para hadirin masuk semula ke dewan. Majlis diserahkan kepada YDP PIBG sesi 2011/2012 untuk memulakan Mesyuarat Agung PIBG Kali Ke-9.
Selepas itu, PIBG 2011/2012 dibubarkan dengan rasminya. Ahli-ahli jawatankuasa PIBG sesi 2012/2013 pula dilantik. Saya dilantik sebagai Setiausaha Kehormat PIBG sesi 2012/2013. Sebelum ini, saya pernah menjadi Setiausaha Kehormat PIBG sesi 2008/2009 di SKTP.