Pihak SKLA telah mengadakan Hari Keusahawanan pada hari ini iaitu bermula jam 8:00 pagi hingga 3:00 petang tadi. Saya mendapat maklumat berkenaan program hari ini melalui rakan yang mengajar di SKLA ini.
Saya menjual produk coklat, keropok dan bahan bacaan. Ketiga-tiga jenis barang tersebut ada pembelinya. Ini merupakan kali pertama saya cuba menjual barang-barang secara menyewa tapak atau membuka gerai. Biasanya saya membuat promosi melalui internet dan mengedarkan iklan-iklan produk dengan tangan sahaja. Kemudian, barang-barang yang ditempah terus dihantar kepada para pelanggan selepas mereka berjumpa dengan saya atau menghubungi nombor telefon bimbit saya. Kali ini berbeza sedikit kerana saya menjualnya secara langsung kepada pelanggan. Ia merupakan satu pengalaman baharu.
Tapak yang saya sewa terletak berhampiran Dataran SKLA. Oleh itu, sempat juga saya melihat majlis perasmian, persembahan pancaragam daripada Rejimen Askar Melayu Diraja dan pertunjukan orang bermain dengan ular.
Walaupun Hari Keusahawanan hari ini tamat pada jam 3:00 petang, sudah ada gerai-gerai yang ditutup kerana para pengunjung sudah mula berkurangan. Saya sendiri pun telah menutup gerai dan beredar meninggalkan SKLA pada jam 2:00 petang.