Rabu, 27 November 2013

Percutian ke Pulau Langkawi 2013

Hari pertama (24 November 2013), saya, isteri dan tiga orang anak kami bertolak dari rumah di Kajang, Selangor menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang dengan menyewa sebuah Nissan Grand Livina berserta pemandu. Kami turun di Terminal Penerbangan Tambang Rendah atau “Low Cost Carrier Terminal” (LCCT) dan daftar masuk untuk penerbangan domestik. Kemudian menaiki kapal terbang Air Asia (AIRBUS berwarna kuning). Kira-kira jam 7:00 malam, kami mula berada di udara dan pada jam 7:40 malam, pesawat kami mendarat dengan selamat di landasan terbang. Kami berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Kedah. Mendapatkan kereta sewa pandu sendiri, Perodua Viva Elite (Automatik) dan saya memandu menuju ke Bella Vista Hotel di Jalan Kuala Muda, Padang Matsirat dengan bantuan Sistem Kedudukan Sejagat atau “Global Positioning System” (GPS). Keluar makan malam dan kembali ke hotel.

Hari kedua (25 November 2013), kami bersarapan di Wing’s Restaurant, Bella Vista Hotel. Kembali ke bilik. Kemudian, kami pergi bersiar-siar di sekitar Pulau Langkawi berpandukan GPS. Pergi ke Dataran Lang berhampiran dengan pelantar Jeti Kuah, membeli-belah di kedai barangan bebas cukai Perniagaan Haji Ismail Group dan singgah makan tengah hari di restoran berhampiran. Selepas itu, pergi ke Underwater World Langkawi, Pantai Cenang dan pulang ke hotel. Sempat mandi-manda di kolam hotel, keluar makan malam dan kembali ke hotel.

Hari ketiga (26 November 2013), selepas bersarapan di Wing’s Restaurant, Bella Vista Hotel, kami terus pergi ke Kampung Oriental di Teluk Burau dan menaiki Kereta Kabel Langkawi. Naik ke atas puncak Gunung Mat Chinchang. Turun semula ke bawah, berjalan-jalan, naik kereta kuda dan sempat bergambar dengan kuda. Kemudian, kami singgah ke Tapak Kawasan Beras Terbakar. Kembali ke hotel dan daftar keluar pada waktu tengah hari. Pergi makan tengah hari dan melawat Kota Mahsuri di Kampung Mawat. Singgah ke tempat orang bermain ski jet di Pantai Cenang dan pergi ke sebuah masjid di Jalan Kedawang sebelum berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi. Pulangkan kereta sewa pandu sendiri, daftar masuk ke balai berlepas, makan malam dan berada di surau lapangan terbang. Kemudian menaiki kapal terbang Air Asia (AIRBUS berwarna kuning). Jam 9:35 malam, kami mula berada di udara dan pada jam 10:40 malam, pesawat kami mendarat dengan selamat di landasan terbang. Kami berada di LCCT, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur. Berpandukan GPS yang berada di tangan saya, jarak perjalanan dari sini ke Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi ialah kira-kira 582.4 kilometer. Kami menyewa sebuah teksi Nissan Serena MPV untuk pulang ke rumah di Kajang.

Hari keempat (27 November 2013), jam 12:00 tengah malam, kami masih dalam perjalanan pulang dengan teksi Nissan Serena MPV. Akhirnya, kami selamat sampai ke rumah di Kajang beberapa minit sebelum jam 1:00 pagi tadi.

Klik Sepanduk Jeehan al-Maliziy Untuk ke Laman Utama

Kenangan di Negara Arab

Dapatkan Set Beras dan Rempah Nasi Arab Sekarang

Dapatkan Set Beras dan Rempah Nasi Arab Sekarang
Klik pada gambar produk.

Segala Puji Bagi Allah, Tuhan Seluruh Alam