Oleh kerana pihak TV al-Hijrah tidak membenarkan kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah masuk ke Dewan Plenari ketika siaran langsung pertandingan akhir ANI2014 diadakan, saya menghantar isteri dan tiga orang anak kami pulang ke rumah selepas makan tengah hari di sebuah restoran di Presint 18. DJ Erwan yang bertugas di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)fm telah memberitahu saya perkara ini ketika berhubung dengannya beberapa hari sebelum diadakan pertandingan akhir. Dia ialah rakan lama saya yang sama-sama belajar di University of Jordan dalam tahun 1990-an. Isteri saya dan tiga orang anak kami akan menonton siaran langsung di TV al-Hijrah pada malam ini di rumah.
Saya seorang sahaja akan kembali ke PICC untuk menyaksikan pertandingan akhir Anugerah Nasyid IKIMfm 2014 di Dewan Plenari mulai jam 9:00 malam ini. Pagi tadi saya telah memandu Proton Exora membawa isteri dan tiga orang anak kami pergi ke PICC. Petang ini saya akan memandu Perodua Kelisa pula untuk kembali ke PICC.
Sebanyak 10 buah lagu nasyid telah dipilih untuk disenaraikan ke pertandingan akhir ANI2014. Tangis Sebatang Tamar (Dakmie), Jodoh Berdua (Hafiz Hamidun), Kasih Padamu (Hafiz Hamidun), Seiring Sehaluan (UNIC), Maafkan Aku (Nowseeheart), Iman & Aman (InTeam), Dalam Sujud Cintaku (Halim Ahmad), al-Haq… Yang Satu (Mawi & AC Mizal), Ucaplah al-Hamdulillah (Amirul Haswendy) dan Rindu Ini (Du’a, Ustaz Amal, al-Kautsar, Anas Tahir & Azfar).
Amin Idris dan Heliza Helmi bakal menjadi pengacara menyaksikan pertarungan hebat dalam pertandingan akhir Anugerah Nasyid IKIMfm 2014 mulai jam 9:00 malam ini (Sabtu, 10 Januari 2015).