Rezeki kurniaan Allah amat bermakna kepada wanita. Dikurniakan peluang hamil lagi pada umur 40-an merupakan rezeki yang tidak diduga oleh kebanyakan suami dan isteri, apatah lagi jika anak-anak sebelum ini semuanya sudah besar belaka.
Jangan resah jika seorang wanita itu hamil pada umur 40 tahun. Kalau dia menjangkakan komplikasi, ini sendiri akan menyebabkan komplikasi. Jika dia dan doktor menjangkakan sesuatu yang buruk, dia akan rasa tertekan. Stres seterusnya akan merosakkan keseimbangan hormon dan bahan kimia semula jadi dalam bayi.
Yakinlah bahawa walaupun ada risiko, kemungkinan bagi seorang ibu yang sudah berumur untuk melahirkan bayi yang sihat biasanya sama sahaja dengan ibu-ibu yang lebih muda. Risiko mengalami masalah serius sebenarnya sangat rendah bagi kesemua kumpulan umur.
Kini dengan teknologi perubatan moden dan terkini, ramai wanita yang telah berjaya melalui fasa kehamilan pada lewat usia serta selamat melahirkan anak yang sihat dan sempurna.
Apa yang penting, ibu mestilah menjalani pemeriksaan kehamilan yang lebih kerap di bawah pantauan doktor supaya sebarang masalah dapat dipantau dan diberikan rawatan yang sewajarnya sepanjang kehamilan dan semasa proses melahirkan bayi kelak.