Rabu, 27 Mei 2009

Mengaji di Rumah

Nur Syazwana binti Sanaidi dan adiknya Mohd Syazwan bin Sanaidi dari Jalan 3/2 mengaji Iqra' dengan saya sejak 15 April 2009 yang lalu.

Mereka dua beradik datang mengaji tiga kali seminggu iaitu pada hari Rabu, Khamis dan Jumaat selepas Maghrib. Ibu mereka ialah seorang guru di Sekolah Kebangsaan Bandar Tun Hussein Onn (SKBTHO). Dia ialah kawan kepada isteri saya. Sebelum isteri saya berpindah ke Sekolah Kebangsaan Saujana Impian 2, mereka sama-sama mengajar di SKBTHO.

Kami tinggal di fasa IXORA Impian Murni. Mereka pula tinggal di fasa DAISY Impian Murni. Kadang-kadang Syazwana dan Syazwan dihantar oleh ibu mereka. Kadang-kadang dihantar oleh ayah mereka untuk mengaji di rumah saya. Waktu mereka mengaji ialah antara jam 8:00 malam hingga 8:30 malam. Mereka akan diambil semula oleh ibu atau ayah selepas itu.

Sabtu, 23 Mei 2009

Mesyuarat AJK Wakil Penduduk IXORA Kali Ke-2

Kira-kira jam 9:25 malam hingga 10:35 malam (23 Mei 2009), saya dan ahli-ahli jawatankuasa yang lain telah bermesyuarat di Restoran AL-SHIFAN'S untuk kali yang kedua bagi sesi ini.

Bendahari membentangkan laporan kewangan yang terkini. Beliau juga menjelaskan berkenaan kawalan keselamatan di fasa IXORA Impian Murni. Jika sebelum ini, kawalan keselamatan melibatkan dua orang pengawal pada waktu malam sahaja, kini ditambah lagi seorang pengawal untuk kawalan pada waktu siang. Ia sebagai percubaan. Bergantung kepada kutipan yuran akan datang.

Masalah-masalah yang dihadapi oleh AJK-AJK antaranya ialah kutipan wang untuk kawalan keselamatan. Masih ada yang liat untuk membayar yuran yang cuma RM 30.00 sebulan. Jika tiada masalah, fasa DAISY Impian Murni juga mahu meyertai fasa IXORA berkenaan kawalan keselamatan.

Pelbagai cadangan diajukan berkenaan masalah pembayaran yuran tersebut. Antaranya ialah pengedaran surat makluman dan program ziarah dari rumah ke rumah untuk kutipan yuran tersebut.

Kami juga berbincang mengenai aktiviti-aktiviti yang akan dijalankan seperti aktiviti gotong royong membersih kawasan perumahan, tapak surau dan program menyambut ketibaan bulan Ramadhan. Bagi tujuan tersebut, kami akan mengadakan mesyuarat khusus pada masa akan datang.

Sabtu, 16 Mei 2009

Hari Guru 2009








Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada hari bulan yang sama dalam tahun 1956, Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of The Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita.

Dokumen tersebut yang dikenali sebagai Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.

Majlis Pelancaran Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali Ke-38 Tahun 2009 telah diadakan pagi tadi di Taman Tamadun Islam (Islamic Civilization Park), Pulau Wan Man, Terengganu.

Khamis, 14 Mei 2009

Mesyuarat Pembinaan Surau

Selepas bersolat Maghrib di rumah (14 Mei 2009), saya berjalan kaki ke sebuah rumah di Jalan 3/9. Ada sedikit jamuan kesyukuran di rumah tersebut selepas tetamu yang hadir solat Isyak secara berjemaah. Saya dan beberapa orang rakan yang mewakili penduduk IXORA turut hadir. Begitu juga dengan para tetamu dari fasa-fasa yang lain di seluruh kawasan Impian Murni. Fasa-fasa tersebut merupakan unit-unit yang terdapat di Impian Murni.

Tujuan kami berkumpul pada malam ini adalah untuk membincangkan berkenaan pembinaan Surau Impian Murni. Tanah yang telah diwartakan oleh pemaju dan majlis perbandaran, kami akan membuat tindakan susulan untuk pembinaan surau tersebut. Pada awalnya ada ahli mesyuarat bercadang untuk mengalihkan tapak surau. Setelah diperjelaskan yang ia memakan masa yang lama untuk permohonan baru, tapak asal yang telah diwartakan akhirnya disepakati untuk pembinaan tersebut.

Oleh kerana sudah ada Persatuan Penduduk Impian Murni yang telah didaftarkan, ahli jawatankuasa pembinaan surau yang bakal dilantik bersama persatuan yang sedia ada akan bekerjasama untuk memohon pembinaan surau di atas tanah yang telah diwartakan.

Ahli-ahli jawatankuasa pembinaan surau pun dilantik di dalam mesyuarat ini berdasarkan format daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS). Saya pula dilantik sebagai Wakil Pemuda.

Selasa, 12 Mei 2009

Apa Ertinya Saya Menganut Islam ?

Buku ini terbahagi kepada dua bahagian. Bahagian pertama membentangkan sifat-sifat yang semestinya wujud pada setiap muslim supaya dengan kewujudan sifat-sifat ini beliau benar-benar Islam.

Bahagian pertama ini menerangkan sifat-sifat yang seharusnya terdapat pada setiap mereka yang menggabungkan dirinya ke dalam agama Islam.

Kebanyakan orang menganut agama Islam kerana hobi atau kerana mereka dilahirkan oleh dua ibu bapa yang muslim. Pada hakikatnya mereka ini tidak memahami erti penggabungan diri mereka ke dalam agama Islam. Mereka juga tidak mengetahui tuntutan daripada penggabungan diri mereka ke dalam agama Islam. Oleh kerana itulah saudara lihat mereka berada di satu pihak, sedang Islam pula berada di pihak yang lain.

Matlamat daripada bahagian pertama ini ialah untuk menjawab semua soalan ini. Juga untuk menjelaskan apa yang dituntut oleh Islam daripada seorang muslim supaya dengan itu, penggabungan dirinya ke dalam agama Islam merupakan penggabungan yang betul dan hakiki. Seterusnya supaya beliau benar-benar Islam.

Bahagian kedua pula menjelaskan kewajipan beramal untuk Islam dan kewajipan menggabungkan diri ke dalam harakah Islamiah. Bahagian ini juga menerangkan sifat-sifat gerakan Islam, matlamat, wasilah, falsafah dan cara beramal bagi gerakan Islam dan sifat-sifat yang seharusnya ada pada mereka yang menggabungkan diri ke dalam gerakan Islam.

Ahad, 10 Mei 2009

MIHAS 2009

Saya, isteri dan dua orang anak kami bersiap-siap selepas bersarapan di rumah. Kami bercadang hendak ke Kuala Lumpur pula hari ini (10 Mei 2009). Semalam sudah pergi ke Putrajaya dan Cyberjaya.

Bertolak dari rumah menuju ke Pusat Bandar. Kami menuju ke Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE (MECC) di Jalan Duta, Kuala Lumpur. Nampaknya sudah banyak kenderaan yang diletakkan di tepi jalan. Ingatkan PARKING sudah penuh. Saya terus sahaja masuk ke bahagian dalam. Rupa-rupanya masih ada tempat letak kereta yang kosong. Cuma dikenakan sedikit bayaran.

Turun dari kereta, kami terus ke pusat pameran menghadiri Pameran Perdagangan Halal Antarabangsa Ke-6. Ia juga dikenali sebagai MALAYSIA INTERNATIONAL HALAL SHOWCASE (MIHAS). Berbagai negara menyertai pameran ini. Sejak pagi lagi, sudah ramai pengunjung yang hadir. Sehingga ke tengah hari, semakin ramai yang datang. Kami sekeluarga mula bergerak pulang pada waktu Zohor.

Sabtu, 9 Mei 2009

Restoran Saba', Cyberjaya

Pada bulan lepas, saya sekeluarga telah pergi ke Restoran Saba' di Cyberjaya. Hari ini (9 Mei 2009) kami pergi lagi. Saya memang sukakan makanan Arab sejak belajar di Jordan lagi. Maklumlah, kira-kira 5 tahun menetap di sana menuntut ilmu. Apabila terasa hendak makan makanan Arab, saya akan mencari restoran tersebut. Sebelum ini, saya dan keluarga pernah ke Restoran Tarbush di Ampang. Semasa pergi ke Bukit Bintang pun, pernah singgah di sebuah restoran makanan Arab, beli dan bungkus shawarma.

Jika di pasar malam, ada orang kita yang jual kebab tetapi sudah diubah citarasa Malaysia. Saya lebih suka makan makanan Arab yang tulen. Ini kerana saya sudah meminati citarasa Arab sebenar. Bagi orang Malaysia yang tidak biasa dengan makanan Arab, mungkin mereka lebih menggemari makanan tersebut yang telah diubahsuai sebagai citarasa Malaysia.

Sebenarnya hari ini, saya sekeluarga pergi bersiar-siar di Putrajaya sambil membeli belah. Sempat Zohor di Masjid Putra. Dalam perjalanan pulang ke rumah, singgah di Restoran Saba', Cyberjaya. Sempat juga berborak dengan orang Arab di situ.

Jumaat, 8 Mei 2009

Aiskrim Toyyibah










Antara produk keluaran terbaharu Herba Penawar Alwahida (HPA) ialah Aiskrim Toyyibah. Ia mempunyai berbagai perisa. Saya pun baru mencubanya minggu ini. Ia memang sedap.

Jadilah ahli HPA sekarang.

'Produk Halal Tanggungjawab Bersama'.

Kumpulan Nasyid Hijjaz

Kumpulan Nasyid Hijjaz
Klik pada gambar untuk menonton video YouTube.

Anugerah Sahabat Hijjaz Setia

Kenangan di Negara Arab

WELCOME

WELCOME
http://jeehan75.blogspot.com

MURAQABAH

  • Naib 2007 SMKBBSL.
  • Dhabit 2009 SKSS.
  • Rais 2010 SKSI2 (SMKSAAS).
  • Naib 2012 SJK(C)B.
  • Rais 2013 SKTR (SMKSAAS).
  • Rais 2015 SKBT (SMKBTK).
  • Rais 2016 SKJE (SMKDABB).
  • Rais 2017 SKLA (SMKTK).
  • Rais 2018 SKBTHO2 (SMKTT).
  • Dhabit 2023 UIS & UTAR (SMKTT) Murafiq.