Sabtu, 30 Julai 2011

Konsert Ana For Gaza

Kajang, 30/07/2011 – Saya pergi ke Konsert Ana For Gaza di Stadium Kajang pada malam ini. Kumpulan Rabbani bersama-sama dengan Saujana, Nowseeheart, Inteam dan Aishah bergabung tenaga menjayakan konsert tersebut. Turut muncul dalam konsert ini ialah Datuk Dr Ibrahim Ghaffar dan Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah.

Konsert nasyid ini adalah sebahagian daripada karnival sebelum menyambut Ramadhan. Karnival tersebut menyediakan pelbagai aktiviti menarik yang diadakan pada 29, 30 dan 31 Julai 2011 bermula jam 8:30 pagi sehingga 12:00 tengah malam. Ia adalah anjuran Rabbani Productions Sdn Bhd dan Ana Edar Sdn Bhd dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj). Konsert diadakan secara percuma di Stadium Kajang pada malam ini bermula kira-kira jam 9:15 malam bagi mengisi Tabung Palestin untuk Gaza.

Saya dan orang ramai yang hadir ke konsert ini solat Isyak berjemaah terlebih dahulu di surau yang disediakan. Oleh sebab itu, kira-kira jam 9:15 malam konsert baru bermula. Ia dimulai dengan nasyid 99 nama Allah. Kemudian muncul “Disk Jockey” (DJ) Erwan dan DJ Maslina daripada radio IKIMfm sebagai pengacara majlis. Nasyid yang saya sempat dengar pada malam ini ialah Syahadah, Satu Kiblat Yang Sama, Hanzalah, Pergi Tak Kembali, Mahabbah dan Intifada (Rabbani). Suci Sekeping Hati dan Pahlawan Gaza (Saujana). Damai dan Damai Yang Hilang (Nowseeheart). Hanya Takdir dan Dia Muhammad (Inteam). Lagu daripada Aishah serta sajak daripada Datuk Dr Ibrahim Ghaffar dan Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah.

Malam ini saya pergi seorang sahaja ke Konsert Ana For Gaza tetapi pada petang tadi saya, isteri dan tiga orang anak kami telah sampai terlebih dahulu ke Stadium Kajang. Kami pergi ke karnival yang ketika itu sedang berlangsung pertandingan azan di pentas utama.

Ketika kami sampai petang tadi ke Stadium Kajang, terdapat lebih daripada 30 buah khemah yang terdiri daripada gerai-gerai jualan dan sebagainya. Sempat juga kami membeli barang-barang di situ seperti bahan bacaan, mainan dan produk minuman. Saya juga sempat membeli susu kambing segera (Power Goat) edaran Ana Edar Sdn Bhd. Kumpulan Rabbani merupakan Duta produk Ana Edar Sdn Bhd. Selain itu, saya juga sempat membeli kopi pracampuran (Rabbani Café) keluaran PRM Global Vision Sdn Bhd yang diedarkan oleh Rabbani Productions (M) Sdn Bhd.

Jarak perjalanan pulang dari Stadium Kajang ke rumah kami di Kajang ialah kira-kira 4.5 kilometer sahaja.

Ahad, 24 Julai 2011

Ladang Arnab di Broga

Semenyih, 24/07/2011 – Saya, isteri dan tiga orang anak kami pergi ke “Rabbit Fun Land” pagi tadi. Ia merupakan sebuah ladang arnab yang terletak di Broga, Mukim Beranang, Semenyih, Selangor. Broga terletak di negeri Selangor dan bersempadan dengan Negeri Sembilan. Kami bertolak dari rumah menuju ke sana untuk melihat arnab dan lain-lain binatang seperti kambing, biri-biri, lembu, rusa, kuda, monyet dan angsa. Saya mendapat maklumat berkenaan ladang tersebut daripada media cetak dan media elektronik termasuk daripada internet.

Saya memandu kereta membawa keluarga bertolak dari rumah melalui jalan Pintasan Kajang-Semenyih dan masuk ke Jalan Semenyih. Kemudian melalui Pekan Semenyih. Saya membelok ke jalan yang menuju ke “Rabbit Fun Land” di Broga. Akhirnya sampai ke destinasi yang dituju. Jarak perjalanan dari rumah kami di Kajang ke ladang tersebut ialah 19 kilometer sahaja.

Setakat ini, ladang arnab di Broga merupakan ladang arnab terbesar di Malaysia. Ia diuruskan oleh East Asia Rabbit Corporation Sdn Bhd. Berkenaan dengan arnab daging yang terdapat di situ, berat maksimanya boleh mencecah 5 hingga 7 kilogram bagi seekor arnab. Kelahirannya dalam setahun ialah 6 hingga 8 kali dan setiap kelahiran boleh mencapai 6 hingga 8 ekor arnab.

Sesiapa yang ingin pergi ke “Rabbit Fun Land” (Ladang Arnab) di Broga, alamatnya ialah:
PT 133 & 134,
Batu 26,
Jalan Balau,
Mukim Beranang,
43500 Semenyih,
Selangor.

Saya, isteri dan tiga orang anak kami beredar meninggalkan “Rabbit Fun Land” tengah hari tadi. Kami singgah ke beberapa buah tempat sebelum bertolak pulang ke rumah.

Isnin, 18 Julai 2011

Khalifah Abu Bakar as-Siddiq

Abdullah bin Abi Quhafah ialah nama sebenar bagi Abu Bakar as-Siddiq. Beliau suka membela unta dan perkataan “Bakr” (Bakar) bermaksud unta muda. Beliau mendapat gelaran as-Siddiq pula kerana membenarkan segala berita yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Peristiwa Israk dan Mikraj yang dialami oleh baginda telah membawa kepada gelaran ini. Abu Bakar as-Siddiq merupakan antara orang yang pertama memeluk Islam.

Abu Bakar as-Siddiq merupakan sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang paling rapat sekali. Perjalanan hijrah baginda dari Kota Mekah ke Kota Madinah ditemani oleh Abu Bakar as-Siddiq. Beliau termasuk di antara orang yang dijamin masuk ke syurga oleh baginda. Pengorbanannya untuk Islam amat besar. Seluruh jiwa dan hartanya dibelanjakan demi untuk mempertahankan Islam.

Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya: Aku bermimpi semasa aku sedang mengambil air dari sebuah perigi. Tiba-tiba datang Abu Bakar memegang baldi yang telah aku gunakan itu dan beliau mengambil sebaldi atau dua baldi air dari perigi tersebut dengan lemah. Maka Allah mengampuninya. (Riwayat al-Bukhari).

Hadis ini menunjukkan bahawa Abu Bakar as-Siddiq dilantik sebagai khalifah yang pertama selepas Nabi Muhammad s.a.w. Di awal pemerintahannya, Abu Bakar as-Siddiq telah melaksanakan tugasnya dengan menghantar tentera yang diketuai oleh Usamah bin Zaid untuk memerangi orang-orang murtad yang tidak mahu membayar zakat selepas Nabi Muhammad s.a.w.

Khalifah Abu Bakar as-Siddiq tidak menggunakan jawatan yang disandangnya sebagai batu loncatan untuk mencari kemegahan dan kemewahan hidup di dunia. Kekuasaanya digunakan untuk kesenangan umat Islam. Baginya, kepentingan umat Islam mesti diutamakan terlebih dahulu daripada kepentingan diri sendiri dan keluarga.

Pada tahun 13 Hijrah, Khalifah Abu Bakar as-Siddiq telah wafat (meninggal dunia) selepas memerintah selama dua tahun, tiga bulan dan tiga hari. Walaupun menjadi khalifah dalam tempoh masa yang singkat, beliau telah banyak berjasa untuk umat Islam. Inilah tokoh pemimpin yang mesti dipelajari sejarahnya dan mesti diikuti jejaknya oleh semua pemimpin dunia yang inginkan keredhaan Allah S.W.T. dan balasan syurga-Nya.

Isnin, 11 Julai 2011

Dhuha dan Lagu Bahasa Arab

Bandar Baru Bangi, 11/07/2011 – Saya telah pergi petang ini ke Saffron Integrated Marketing cawangan Bandar Baru Bangi bagi mendapatkan album kumpulan Dhuha dalam bentuk “Compact Disc” (CD) Audio. Ia adalah CD nyanyian dalam Bahasa Arab. Saffron Integrated Marketing merupakan pengedar bagi album Dhuha.

Tepat jam 2:30 petang, saya sampai ke Saffron Integrated Marketing cawangan Bandar Baru Bangi. Perjalanan pulang dari sekolah tempat saya mengajar melalui Lebuhraya Cheras Kajang (E7) dan Lebuhraya Kajang SILK (E18) untuk segera sampai ke Bandar Baru Bangi. Selepas itu, saya terus pulang ke rumah menggunakan dua lebuhraya yang sama.

Jom menyanyi Bahasa Arab bersama Dhuha. Ia sesuai untuk pelajar-pelajar dan guru-guru bagi sukatan j-QAF (Jawi, al-Qur'an, Bahasa Arab dan Fardhu A'in) yang dilaksanakan di peringkat persekolahan rendah. Pelajar-pelajar atau murid-murid boleh menyanyi sambil belajar Bahasa Arab. Album Dhuha ini memuatkan 14 buah lagu Bahasa Arab. 1-Alu-aluan. 2-Kebersihan Adalah Sebahagian Daripada Iman. 3-Di Rumah Kami. 4-Wahai Pendidik. 5-Bulan-bulan Hijrah dan Masihi. 6-Hari Jadi. 7-Ke Zoo. 8-Keluarga. 9-Hari-hari. 10-Tubuh Badan Saya. 11-Alatan Belajar. 12-Warna-warna (1). 13-Warna-warna (2). 14-Mari Belajar Bahasa Arab.

Saya telah mendengar sebahagian alunan lagu-lagu Dhuha melalui radio IKIMfm dan juga iklan di TV. Anak-anak saya sangat suka mendengarnya. Oleh kerana itu, saya telah membelinya pada hari ini. Lagi pun, saya merupakan seorang guru Bahasa Arab program j-QAF dan ia sangat sesuai untuk murid-murid di sekolah tempat saya mengajar.

Sebelum membeli CD Dhuha, saya dapatkan maklumat terlebih dahulu daripada internet. Melalui halaman Facebook Dhuha, saya dapat berhubung dengan mereka dan telah diberikan nombor telefon serta alamat pengedarnya di cawangan Bandar Baru Bangi.



Jumaat, 1 Julai 2011

Malam Amal Sempena Israk dan Mikraj

Ampang, 01/07/2011 – Saya pergi ke Hotel De Palma setelah mendapat jemputan daripada PRM Global Vision Sdn Bhd melalui laman sosial Facebook untuk menghadiri Malam Amal Madrasah Hidayah at-Taqwa sempena Israk dan Mikraj. Saya telah tiba ke Dewan Banquet, Hotel De Palma, Ampang kira-kira jam 8:40 malam selepas memandu kereta dan menempuh kesesakan lalu lintas yang amat teruk. Solat Maghrib tadi pun berhenti sekejap ketika dalam perjalanan. Semasa saya tiba di dewan, majlis belum bermula.

Saya solat Isyak terlebih dahulu di Surau Nurul Hikmah yang terletak di hotel ini. Di luar dewan, saya sempat membeli kopi pracampuran (Rabbani Café) edaran Rabbani Productions (M) Sdn Bhd. Ia merupakan minuman kesihatan semulajadi dan berkhasiat tinggi. Kopi ini merupakan minuman kesihatan yang diperkaya dengan khasiat Madu dan Habbatus Sawda’ yang telah diperakui khasiatnya. Gabungan Badam dan Ginkgo amat baik untuk prestasi mental secara total.

Saya masuk semula ke dewan untuk menghadiri majlis anjuran PRM Global Vision Sdn Bhd yang diasaskan oleh Dato’ Haji Hashim bin Ismail. Produk syarikat ini berasaskan Madu dan Habbatus Sawda’. Kopi pracampuran (Rabbani Café) juga adalah keluaran PRM Global Vision Sdn Bhd yang diedarkan oleh Rabbani Productions (M) Sdn Bhd.

Tidak lama kemudian, majlis dimulakan dengan persembahan Qasidah oleh tiga orang remaja lelaki. Ia turut diserikan dengan persembahan nasyid daripada kumpulan Rabbani dengan lagu Muhammad Ya Habibi, Mana Milik Kita dan Intifada.

Saya terpaksa meninggalkan majlis lebih awal kerana esok ada program Larian 1 Murid 1 Sukan di sekolah. Perjalanan pulang dari Hotel De Palma, Ampang ke rumah di Kajang melalui Jalan Lingkaran Tengah Dua (E28) dan Lebuhraya Cheras Kajang (E7). Perjalanan pulang ke rumah yang jaraknya kira-kira 24 kilometer adalah lancar. Ia tidak seperti perjalanan pergi tadi kerana terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas yang amat teruk.

Kumpulan Nasyid Hijjaz

Kumpulan Nasyid Hijjaz
Klik pada gambar untuk menonton video YouTube.

Anugerah Sahabat Hijjaz Setia

Kenangan di Negara Arab

WELCOME

WELCOME
http://jeehan75.blogspot.com

MURAQABAH

  • Naib 2007 SMKBBSL.
  • Dhabit 2009 SKSS.
  • Rais 2010 SKSI2 (SMKSAAS).
  • Naib 2012 SJK(C)B.
  • Rais 2013 SKTR (SMKSAAS).
  • Rais 2015 SKBT (SMKBTK).
  • Rais 2016 SKJE (SMKDABB).
  • Rais 2017 SKLA (SMKTK).
  • Rais 2018 SKBTHO2 (SMKTT).
  • Dhabit 2023 UIS & UTAR (SMKTT) Murafiq.