![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEh_qTjNnfHstxqmfx40ncuIGKaFJHCvU5y5oFsif78olXK8Y7tLw0RQcGdhUnckMx4eU7GMTCUHus58RF9Q0179nB6lQEmZsLCAiXt0bAGq3tGcTb_agv1esnClRoxOMMnb8L9fofRBclua/s320/Bulan+Syawwal.jpg)
Pada 1 Syawwal kita diharamkan berpuasa kerana ia merupakan Hari Raya Puasa (A’idil Fitri). Manakala tarikh 2 Syawwal kita sudah boleh memulakan puasa sunat di bulan Syawwal. Nabi Muhammad s.a.w. melarang kita berpuasa pada Hari Raya Puasa (A’idil Fitri) dan Hari Raya Korban (A’idil Adh'ha).
Tidak ada hari raya selepas berpuasa enam hari di bulan Syawwal kerana hari perayaan keagamaan dalam Islam hanya dua iaitu Hari Raya Puasa (A’idil Fitri) dan Hari Raya Korban (A’idil Adh'ha). Dua hari ini bukanlah sesuatu yang dibuat-buat manusia tetapi disyariatkan oleh Allah S.W.T.
Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya: Sesungguhnya Allah telah menggantikan untuk kalian dua perayaan yang lebih baik daripada perayaan (zaman jahiliyah) iaitu (A’idil) Adh'ha dan (A’idil) Fitri. (Riwayat Abu Daud).
Puasa enam hari di bulan Syawwal tidak disyaratkan dilakukan berturut-turut. Harus diselang-selikan asalkan dalam bulan Syawwal dan bilangannya mencukupi enam hari. Walau pun begitu, lebih baik jika dapat dilakukan secara berturut-turut dan lebih baik disegerakan pelaksanaannya.
Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu dan (ke arah mendapatkan) syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertakwa. (Surah Ali Imran: Ayat 133).
Hukum berpuasa enam hari di bulan Syawwal adalah sunat sebagaimana yang dijelaskan oleh Syeikh Abdullah al-Bassam: Disunatkan berpuasa enam hari (di bulan Syawwal). Ini merupakan mazhab as-Salaf dan al-Khalaf serta jumhur ilmuan, termasuklah Imam Abu Hanifah, Imam asy-Syafie dan Imam Ahmad. (Taudhih al-Ahkam).
Berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. di awal artikel ini, baginda mensyaratkan ‘berpuasa bulan Ramadhan’ terlebih dahulu, kemudian barulah ‘mengiringinya dengan enam hari di bulan Syawwal’. Ini menunjukkan puasa sunat enam hari di bulan Syawwal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menyempurnakan puasa Ramadhannya. Jika seseorang itu ada meninggalkan puasa Ramadhannya, ia perlu diganti terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam hari di bulan Syawwal.
Tidak ada dalil dalam al-Qur’an dan hadis yang mengatakan boleh digabungkan puasa ganti Ramadhan dan puasa sunat Syawwal.