Selasa, 25 Jun 2013

Jerebu dan Cuti Sekolah 2013

Kajang, 25/06/2013 – Sekolah-sekolah di negeri Selangor ada yang dibuka semula hari ini dan ada yang masih ditutup sejak semalam. Jerebu yang teruk telah sampai ke Kajang dan kawasan Lembah Klang pada hari Ahad (23/06/2013). Ia dipercayai berpunca daripada kebakaran ladang/ hutan tanah gambut di Indonesia.

Arahan cuti kepada semua sekolah di daerah Hulu Langat pada hari Isnin (24/06/2013) telah dikeluarkan oleh Jabatan Pelajaran Selangor melalui Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Langat. Arahan tersebut telah dikeluarkan pada hari Ahad (23/06/2013) kerana keadaan jerebu semakin buruk pada jam 5:00 petang hari tersebut. Sekolah-sekolah diarah tutup sebagai tindakan perlu sejak kualiti udara yang merosot boleh memudaratkan kesihatan murid dan pelajar.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengeluarkan Indeks Pencemaran Udara (IPU). Pencemaran udara dinilai berdasarkan IPU. Semakin besar nilai IPU menunjukkan semakin tinggi tahap pencemaran udara.

IPU juga digunakan sebagai panduan untuk mengetahui kualiti udara dan kesannya terhadap kesihatan. Di sini disertakan kategori IPU dan tahap pencemarannya. Nilai 0 hingga 50 adalah baik, nilai 51 hingga 100 adalah sederhana, nilai 101 hingga 200 adalah tidak sihat, nilai 201 hingga 300 adalah sangat tidak sihat dan nilai 301 hingga 400 adalah berbahaya. 

Guru-guru, ibu bapa, murid-murid dan pelajar-pelajar dinasihatkan menghubungi Guru Besar/ Pengetua sekolah masing-masing untuk maklumat lanjut berkenaan penutupan sekolah akibat jerebu. Pihak sekolah perlu sentiasa mengikuti perkembangan menerusi media dan laman sesawang JAS mengenai bacaan IPU sebelum mengambil sebarang keputusan, termasuk menghentikan aktiviti luar darjah seperti terkandung dalam pekeliling Kementerian Pendidikan Malaysia.

Khamis, 20 Jun 2013

Restoran ar-Rawshah, KL

Kuala Lumpur, 20/06/2013 – Saya memandu kereta ke Kuala Lumpur dan singgah ke Restoran ar-Rawshah selepas menghantar barang yang dipesan kepada pelanggan di Flat PPR Seri Alam, Jalan Lapangan Terbang Lama. Saya telah beberapa kali makan minum di Restoran ar-Rawshah ini dan cawangannya yang lain sama ada berseorangan atau bersama keluarga. Di surau sekolah tempat saya mengajar tadi, saya sempat solat Zohor terlebih dahulu sebelum bertolak pergi ke Kuala Lumpur.

Saya memang sukakan makanan Arab sejak belajar di Jordan lagi. Maklumlah, kira-kira 5 tahun menetap di sana menuntut ilmu. Apabila terasa hendak makan makanan Arab, saya akan ke restoran yang bersesuaian.

Saya memesan menu Mandy Daging (Traditional Hadramaut earth baked rice with lamb), Shawarma Daging dan minuman Koktel ar-Rawshah. Ada menu yang saya makan minum di restoran dan ada yang dibungkus untuk dibawa pulang ke rumah.

RM25.00 untuk Mandy Daging (Traditional Hadramaut earth baked rice with lamb), RM8.00 untuk Shawarma Daging dan RM12.00 untuk minuman Koktel ar-Rawshah. Mungkin harganya lebih mahal daripada restoran di tempat lain.

Sebelum ini, saya dan keluarga pernah ke beberapa buah restoran makanan Arab di sekitar Lembah Klang, Cyberjaya, Negeri Sembilan dan Kajang.

Sesiapa yang ingin singgah ke Restoran ar-Rawshah di Kuala Lumpur, alamatnya ialah:
No 8, Jalan Kampung Pandan,
55100 Kuala Lumpur.

Saya memandu kereta beredar meninggalkan kawasan restoran pada jam 3:00 petang. Jarak perjalanan pulang dari situ ke rumah saya di Kajang ialah kira-kira 23 kilometer sahaja.

Rabu, 12 Jun 2013

Kursus Penyebaran KSSR dan PBS Bahasa Arab 2013

Kajang, 12/06/2013 – Saya dan tiga orang rakan sebagai Jurulatih Utama (JU) Bahasa Arab mengendalikan Kursus Penyebaran Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) Peringkat Daerah Hulu Langat 2013 Bagi Mata Pelajaran Bahasa Arab Tahun 4 Pelaksanaan Sesi 2014 bertempat di Sekolah Kebangsaan Saujana Impian.

Kursus dianjurkan oleh Unit Pendidikan Islam, Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Langat diadakan pada 12, 13, 14 dan 15 Jun di sekolah ini. Saya dan rakan-rakan JU berada di sini kira-kira 4 hari untuk mengendalikan Kursus Penyebaran KSSR dan PBS yang melibatkan mata pelajaran Bahasa Arab Tahun 4 (2014).

Sehari sebelum kursus ini diadakan, para JU berbengkel terlebih dahulu pada 11 Jun 2013 di Blok A, Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Langat. Kami ialah Ustaz Norjeehan bin Ahmad Mustapa dari Sekolah Kebangsaan Taman Puteri, Ustazah Nik Hafizah binti Nikmat dari Sekolah Kebangsaan Sri Jelok, Ustaz Nor Azamri bin Ishak dari Sekolah Kebangsaan Dusun Tua dan Ustazah Nabilah binti Abdullah dari Sekolah Kebangsaan Kantan Permai.

Program pagi hingga tengah hari ini ialah pendaftaran peserta, sesi penerangan yang berkaitan dengan KSSR, PBS dan Modul Transisi sahaja. Sesi yang seterusnya akan disambung pada petang ini dan hari yang berikutnya. Selamat berkursus kepada semua yang terlibat.

Sabtu, 1 Jun 2013

Dendam Syaitan

Tiada noktah sebelum tiba hari kiamat. Begitulah dendam syaitan dan iblis terhadap manusia. Penulis Tamu Majalah Anis, Ustaz Amaluddin Mohd Napiah mengupas tajuk ini dalam Fokus Utama.

Fenomena gangguan sihir, saka, santau dan sebagainya telah lama berlaku dan berakar umbi dalam masyarakat Melayu. Ia dikatakan ada kaitan sejarah umat Melayu dahulu kala yang tidak dapat dipisahkan dengan ajaran-ajaran berunsur animisme, Hinduisme, budaya khurafat yang memuja jin dan sebagainya.

Nampaknya kemajuan, kemodenan dan kecanggihan tidak berupaya mengekang pengamalan sihir ini bahkan pengamalan sihir juga turut subur dan terus aktif di alaf 21 ini.

Walaupun Allah dan Rasul telah mengharamkan sihir namun amalan sihir terus sahaja berleluasa dan diguna pakai oleh manusia zaman ini termasuk yang mengaku sebagai umat Islam. Apakah mereka tidak takut akan dosa dan kemurkaan Allah?

Gangguan sihir, saka, santau dan sebagainya adalah antara manifestasi dendam iblis dan syaitan yang panjang sepanjang umur iblis dan sihir itu sendiri. Dendamnya kepada Nabi Adam a.s. dan zuriat keturunannya sampai hari kiamat.

Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Yang dilaknat Allah dan syaitan itu mengatakan: “Aku benar-benar akan mengambil daripada hamba-hamba Engkau bahagian yang sudah ditentukan [untuk aku].” (Surah an-Nisak: Ayat 118).

Bahagian yang sudah ditentukan [untuk aku] tafsirannya ialah pada setiap manusia itu ada persediaan untuk baik dan ada persediaan untuk jahat, syaitan akan mempergunakan persediaan untuk jahat bagi mencelakakan manusia.

SUMBER: Anis. Jun 2013.

Kumpulan Nasyid Hijjaz

Kumpulan Nasyid Hijjaz
Klik pada gambar untuk menonton video YouTube.

Anugerah Sahabat Hijjaz Setia

Kenangan di Negara Arab

WELCOME

WELCOME
http://jeehan75.blogspot.com

MURAQABAH

  • Naib 2007 SMKBBSL.
  • Dhabit 2009 SKSS.
  • Rais 2010 SKSI2 (SMKSAAS).
  • Naib 2012 SJK(C)B.
  • Rais 2013 SKTR (SMKSAAS).
  • Rais 2015 SKBT (SMKBTK).
  • Rais 2016 SKJE (SMKDABB).
  • Rais 2017 SKLA (SMKTK).
  • Rais 2018 SKBTHO2 (SMKTT).
  • Dhabit 2023 UIS & UTAR (SMKTT) Murafiq.