Minggu ini ialah Cuti Penggal 2, Sesi 2024/2025. Anak sulung yang belajar di peringkat Diploma tidak sama cuti pengajiannya dengan cuti persekolahan. Walaupun begitu, kami bertujuh sempat berkumpul di Jasin ketika Cuti Maulidur Rasul dan Cuti Hari Malaysia pada 12/03/1446 (Isnin) 16/09/2024.
Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia atau Malaysia Agriculture, Horticulture and Agrotourism Show (MAHA) Peringkat Antarabangsa 2024 (sambutan 100 tahun MAHA) sedang diadakan di MAEPS, Selangor pada 11 September 2024 hingga 22 September 2024 iaitu selama 12 hari. Ia bermula dari jam 10:00 pagi hingga 10:00 malam. Menuai Harapan Membina Masa Depan (Harvesting Tomorrow Where Dreams Blossom). Hari ini ialah hari kesepuluh pameran.
Proton Exora yang saya pandu bergerak meninggalkan rumah TJ pada jam 6:27 petang. Masuk ke Lebuhraya Kajang SILK (E18) di Kilometer 20.1 dan membuat pusingan U sebelum Plaza Tol Bukit Kajang menuju ke MAEPS. Saya terus memandu di E18 dan melalui Plaza Tol Sungai Ramal (B) RM1.66 ke destinasi. Simpang di Kilometer 20.1 tersebut cuma boleh masuk ke E18 sahaja tetapi tidak boleh keluar dari E18. Jika ingin keluar dari E18 ke kawasan TJ bagi kenderaan yang datang dari arah Putrajaya atau MAEPS selepas laluan Plaza Tol Sungai Ramal (T) RM1.66, boleh dibuat dua pilihan. Sama ada keluar dari E18 melalui Jalan Bukit yang terdapat stesen kereta api di bandar Kajang atau terus ke Plaza Tol Bukit Kajang (RM1.66).
Kenderaan yang saya pandu melalui sedikit kesesakan lalu lintas di sempadan E18 dan E26 iaitu Lebuhraya Lembah Klang Selatan atau SKVE (South Klang Valley Expressway). Kami sampai ke pintu gerbang MAEPS pada jam 6:58 petang. Dari rumah TJ ke pintu gerbang MAEPS ialah sejauh 16.2 kilometer. Kami mengambil masa yang lama untuk meletakkan kenderaan di tempat parkir (percuma). Ini kerana orang ramai masih berada di sini sejak siang tadi hingga ke waktu malam. Jam 7:12 malam, azan Maghrib berkumandang. Kami dapat parkir kenderaan tanpa petak di tepi jalan bersebelahan ladang unta dan berhampiran dengan Dewan D.
Kami berdua berjalan kaki dari tempat parkir dan terus ke Dewan D, Aras G (Empayar Makanan). Naik ke tingkat atas dan terus berjalan kaki ke surau. Solat Maghrib berjemaah. Aplikasi tanpa tunai Maybank Anytime Everyone (MAE) akan digunakan untuk membeli barang-barang. Selepas solat, masuk ke Dewan A. Di sebelah Dewan B, pergi ke Dewan Pavilion MAHA - Madani (guna aplikasi MAE) dan Dewan Agrobisnes (guna aplikasi MAE). Pergi pula ke pameran di Dewan C (MAHA Go Global) dan membeli juga barang-barang di Dewan D, Aras G (guna aplikasi MAE).
Kami berjalan kaki mendapatkan kenderaan di tempat parkir. Hujan mula turun. Saya pandu kenderaan dan bergerak meninggalkan kawasan parkir untuk pulang. Jam 9:47 malam, kami tiba di depan pintu pagar rumah TJ (bukan rumah SI dan bukan juga rumah TTD). Perodua Kelisa berada di rumah SI. Perodua Bezza dan Proton Exora berada di rumah TJ.