Khamis, 1 Ogos 2024

Lima Jenis Alam Untuk Manusia

Kajang, 01/08/2024 (Khamis) - Tajuk tazkirah saya pada hari pertama bulan Ogos tahun 2024 ialah Lima Jenis Alam Untuk Manusia.

Menurut keterangan daripada al-Quran dan al-Hadis, setiap manusia akan melalui lima alam. 1-Alam Roh. 2-Alam Rahim. 3-Alam Dunia. 4-Alam Barzakh. 5-Alam Akhirat.

Kita yang masih hidup di atas muka bumi ini sedang berada di Alam Dunia yang merupakan alam pertengahan di antara dua alam sebelumnya iaitu Alam Roh dan Alam Rahim serta dua alam selepasnya iaitu Alam Barzakh dan Alam Akhirat.

Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanah (tugas-tugas keagamaan) kepada langit, bumi dan gunung-ganang tetapi semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka bimbang tidak mampu melaksanankannya (berat), lalu dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya, manusia itu sangat zalim dan sangat bodoh. (Surah al-Ahzab: Ayat 72).

1-Alam Roh. Pengetahuan kita tentang hakikat alam ini sangat terbatas kerana ia hanya terdapat dalam pengetahuan Tuhan Yang Maha Esa. Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Dan mereka bertanya kepadamu (Muhammad) berkenaan roh. Katakanlah, roh itu termasuk urusan Tuhanku, sedangkan kamu hanya diberi sedikit pengetahuan. (al-Isra’: Ayat 85).

2-Alam Rahim. Wujudnya alam ini seperti dinyatakan oleh Hadis Sahih Bukhari dan Muslim yang ringkasannya seperti berikut. Manusia dicipta oleh Allah di dalam perut ibunya. 40 hari pertama dalam bentuk air mani, 40 hari kedua menjadi segumpal darah dan 40 hari ketiga menjadi seketul daging. Setelah genap 120 hari (4 bulan) Allah mengutuskan malaikat untuk menentukan ke atas janin itu empat perkara iaitu berkenaan rezeki, ajal, amalan dan akan menjadi bahagia atau derita.

3-Alam Dunia. Setelah manusia dilahirkan maka bermulalah perjalanan manusia memasuki alam ketiga yang sangat singkat jika dibandingkan dengan dua alam berikutnya. Syaitan sentiasa berusaha untuk memesongkan kita daripada Tuhan yang mencipta jalan yang lurus. Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Kebenaran itu daripada Tuhanmu, maka janganlah sekali-kali engkau (Muhammad) termasuk dalam kalangan orang-orang yang ragu. (Surah al-Baqarah: Ayat 147).

4-Alam Barzakh. Ia juga disebut alam kubur walaupun tidak berada di dalam tanah selepas meninggal dunia. Nabi Muhammad s.a.w. menggambarkan bahawa alam kubur itu seperti taman syurga atau kawah neraka berdasarkan usaha dan sikap manusia ketika berada di Alam Dunia. Allah S.W.T. telah berfirman (sebahagian ayat al-Quran): Maksudnya: Setiap yang bernyawa akan merasai mati. (Surah Ali Imran: Ayat 185).

5-Alam Akhirat. Bermulanya alam ini apabila terjadi hari kiamat. Semua manusia akan dibangkitkan oleh Allah dan selanjutnya dihisab di Padang Mahsyar. Sesiapa yang berat timbangan amalan baiknya, maka dia akan dimasukkan ke dalam syurga dan jika sebaliknya, dia akan dilemparkan ke dalam api yang menyala (neraka). Allah S.W.T. telah berfirman (sebahagian ayat al-Quran): Maksudnya: Dan hanya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan balasan bagimu. Maka sesiapa yang dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya dia memperoleh kemenangan. Ingatlah kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya. (Surah Ali Imran: Ayat 185).

Alam Roh (hanya Allah sahaja yang mengetahuinya). Alam Rahim (lebih kurang 9 bulan). Alam Dunia (kebiasaannya di antara 60 hingga 70 tahun berdasarkan umur nabi Muhammad dan umatnya). Alam Barzakh (bergantung kepada kematiannya di dunia dan terjadinya hari kiamat). Alam Akhirat (sejak hari kiamat hinggalah seterusnya dengan kehendak Allah).

Kumpulan Nasyid Hijjaz

Kumpulan Nasyid Hijjaz
Klik pada gambar untuk menonton video YouTube.

Anugerah Sahabat Hijjaz Setia

Kenangan di Negara Arab

WELCOME

WELCOME
http://jeehan75.blogspot.com

MURAQABAH

  • Naib 2007 SMKBBSL.
  • Dhabit 2009 SKSS.
  • Rais 2010 SKSI2 (SMKSAAS).
  • Naib 2012 SJK(C)B.
  • Rais 2013 SKTR (SMKSAAS).
  • Rais 2015 SKBT (SMKBTK).
  • Rais 2016 SKJE (SMKDABB).
  • Rais 2017 SKLA (SMKTK).
  • Rais 2018 SKBTHO2 (SMKTT).
  • Dhabit 2023 UIS & UTAR (SMKTT) Murafiq.