
Pada 23 Jun 1970, Majlis Fatwa Kebangsaan menggariskan empat syarat yang mesti diambil kira dalam memfatwakan hukum menderma organ sebagai harus. 1-Pemindahan organ dibenarkan jika ia merupakan jalan terakhir untuk menyelamatkan nyawa seseorang yang mengalami kegagalan organ. 2-Penderma organ mesti disahkan telah mati. 3-Mendapat kebenaran daripada keluarga penderma. 4-Tidak melibatkan urusan jual beli. Dalam kata lain, organ tubuh bukan barang dagangan tetapi mesti dianggap sebagai derma.
Ulama kontemporari termasuk Dr Yusuf al-Qardhawi sepakat menderma organ atau sel stem adalah harus dengan syarat-syarat berikut. 1-Tidak ada unsur perdagangan. 2-Terbukti ia boleh memanfaatkan atau meningkatkan kualiti hidup. 3-Tidak mendatangkan mudarat kepada penderma. 4-Dilakukan untuk kepentingan umum. 5-Dilakukan dengan kebenaran penderma. 6-Dilakukan dengan ikhlas tidak ada paksaan.