Memaparkan catatan dengan label Saujana Impian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Saujana Impian. Papar semua catatan

Sabtu, 12 Ogos 2023

Pilihan Raya Negeri DUN Kajang 2023

Kajang, 12/08/2023 (Sabtu) - Saya, isteri dan lima orang anak kami sedang berada di rumah TJ. Pagi hingga petang tadi, kami bertujuh berada di rumah SI kerana saya dan isteri mengundi di SKSI. Rumah TTD pula terletak di luar Selangor.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) serentak di enam buah negeri pada hari ini iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. Keputusan rasmi PRN 2023 bagi Selangor masih belum diumumkan lagi setakat jam 10:43 malam ini. Beberapa buah negeri yang lain telah diumumkan keputusannya oleh pihak SPR.

Kerusi N25 Kajang diletakkan tiga orang calon yang bertanding. SPR telah mengadakan PRN bagi memilih wakil rakyat untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang (N25) dan calon-calonnya ialah David Cheong daripada Pakatan Harapan, Allan Liew Sin Kim daripada Perikatan Nasional serta Arul daripada Parti Sosialis Malaysia.

Hari pengundian biasa telah diadakan pada hari ini mulai jam 8:00 pagi hingga jam 6:00 petang di tempat-tempat mengundi yang ditetapkan. Saya dan isteri telah mengundi serta memilih wakil rakyat untuk DUN Kajang (N25) bagi kawasan Saujana Impian.

Kawasan di sini mempunyai banyak fasa seperti Impian Murni, Impian Gemilang, Impian Indah, Impian Kasih, Impian Setia, Impian Jaya, Impian Makmur dan Impian Sejati. Setakat ini terdapat tiga buah sekolah yang menggunakan nama Saujana Impian iaitu Sekolah Kebangsaan Saujana Impian (SKSI), Sekolah Kebangsaan Saujana Impian 2 (SKSI2) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Impian (SMKSI). Pusat pengundian biasa di Saujana Impian pada hari ini cuma melibatkan SKSI sahaja. SKSI2 dan SMKSI tidak terlibat.

Sabtu, 19 November 2022

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)

Kajang, 19/11/2022 - Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) yang terletak di Saujana Impian masih sibuk sebagai Pusat Penjumlahan Undi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi Parlimen Hulu Langat (P101) sekarang dalam keadaan hujan pada malam ini.

Hari ini (Sabtu, 19 November 2022) merupakan hari PRU-15 di seluruh negara. Selangor cuma mengadakan pemilihan wakil rakyat untuk Parlimen dan tidak ada pemilihan untuk Dewan Undangan Negeri.

Pusat-pusat mengundi telah dibuka untuk PRU-15 hari ini bermula dari jam 8:00 pagi hingga 6:00 petang.

Saya telah ditugaskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di sekolah tempat saya mengajar (Zon Semenyih) sebagai Kerani Pengundian/ Mengira Undi. Saya bertugas di Saluran 3 di tempat mengundi bagi Parlimen Hulu Langat (P101). Bilangan pengundi di saluran ini ialah seramai 672 orang dalam daftar pemilih. Seramai 562 orang telah mengundi siang tadi di Saluran 3. Parti-parti yang bertanding ialah Pakatan Harapan 165, Gerakan Tanah Air (Pejuang) 10, Warisan Sabah 3, Barisan Nasional 219, Bebas (lambang pokok) 1, Perikatan Nasional 160 dan undi rosak 4.

Saya telah mengundi pos pada hari Khamis, 17 November 2022 sebelum PRU-15 dijalankan. Undi pos dengan cara menghantar dengan tangan kertas undi Parlimen ke bangunan Pejabat Daerah/ Tanah Hulu Langat di Bandar Baru Bangi. Peti-peti undi ada disediakan di sana.

Pihak SPR telah memberi peluang kepada petugas-petugasnya untuk mengundi awal supaya tugas kami pada hari pengundian dapat berjalan lancar.

Saya dan isteri telah mengundi serta memilih wakil rakyat untuk Parlimen Bangi (P102) bagi kawasan Saujana Impian.

Khamis, 1 September 2022

Saujana Impian (Ruby) Pada 1 September 2022

Kajang, 01/09/2022 - Fasa Impian Sejati, Saujana Impian telah wujud sebelum ini iaitu rumah teres dua tingkat jenis Ruby dengan keluasan 30 kaki x 55 kaki. Harganya bermula RM379,880 (Pegangan Bebas) yang telah diiklankan pada bulan Ogos 2010. Kini pada 2022 ada tambahan binaan sebanyak 23 unit rumah teres dua tingkat jenis Ruby dengan keluasan 30 kaki x 55 kaki. Harganya sudah pasti berbeza dengan unit rumah sebelum ini iaitu bermula RM688,888 (Pegangan Bebas). Keluasan binaan dalaman ialah bermula 2,234.80 kaki persegi. Papan tanda iklan ini telah dinaikkan pada bulan Ogos 2022.

Kawasan perumahan ini terletak di persimpangan jalan iaitu dari Persiaran Impian Perdana yang menuju ke MRT Feeder Bus Depot - Kajang dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang di Jalan Sungai Sekamat.

Pemaju projek ialah Bandar Subang Sdn Bhd (114944-K) anak syarikat Farlim Group (M) Sdn Bhd. Hartanah terletak di lokasi yang strategik, berhampiran dengan kemudahan seperti sekolah, pusat membeli-belah, lebuh raya dan lain-lain. Majlis Perbandaran Kajang ialah majlis yang meluluskan projek ini. Papan tanda iklan pula telah diluluskan oleh Jabatan Perumahan Negara.

Rabu, 8 September 2021

Solat Fardu Berjemaah, September 2021

Kajang, 08/09/2021 - Saya telah pergi solat Subuh berjemaah di Surau Raudhatul Firdaus, Impian Murni, Saujana Impian pagi tadi. Selangor masih berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara. Sejak Subuh Jumaat, 3 September 2021 hingga ke hari ini (Rabu, 8 September 2021) masih dibenarkan solat fardu lima waktu seramai 50 orang termasuk pentadbir surau. Solat Jumaat juga dibenarkan seramai 50 orang termasuk pentadbir surau dengan mematuhi peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Surau di Selangor yang dibenar menunaikan solat Jumaat dihadkan kepada 50 orang jemaah sahaja tetapi 100 orang jemaah dibenarkan hadir ke masjid di seluruh Selangor bagi menunaikan solat Jumaat susulan penurunan kes harian jangkitan Covid-19. Pihak JAIS dalam satu pekeliling kepada masjid dan surau di seluruh negeri memaklumkan, kebenaran itu selepas mengambil kira kadar vaksinasi Covid-19 terkini serta usaha pengekangan wabak. Kebenaran solat berjemaah tersebut diberikan kepada rakyat Malaysia yang telah menerima vaksin Covid-19 lengkap dua dos.

Waktu solat di Kajang pada hari Rabu, 8 September 2021 bersamaan dengan 1 Safar 1443 ialah seperti waktu solat di Kuala Lumpur dan Putrajaya. Subuh pada jam 5:59 pagi, Syuruk (terbit matahari) pada jam 7:06 pagi, Zohor pada jam 1:14 petang, Asar pada jam 4:18 petang, Maghrib pada jam 7:18 malam dan Isyak pada jam 8:27 malam.

Rabu, 16 September 2020

Hari Malaysia Ke-57 Tahun 2020

Kajang, 16/09/2020 - Kempen kibarkan Jalur Gemilang di hadapan rumah. Pamerkan Jalur Gemilang sempena negara kita menyambut Hari Malaysia Ke-57 hari ini.

Jalur Gemilang merupakan lambang kedaulatan dan kemerdekaan negara. Ia bukan sekadar selembar kain yang mencorakkan perlambangan negara. Kita telah banyak kali menyaksikan Jalur Gemilang ini dikibar seluruh pelusuk dunia apabila rakyat negara Malaysia mencapai sesuatu kejayaan.

Di peringkat kebangsaan, sambutan diadakan di Stadium Tertutup Sibu, Sarawak malam ini. Sambutan yang bertemakan 'Malaysia Prihatin'. Sambutan tahun ini diadakan secara ringkas dan sederhana kerana negara masih berjuang mendepani wabak Covid-19.

Sambutan Hari Malaysia 2020 dalam persekitaran normal baharu, namum tetap penuh bermakna dengan atur cara sederhana. Kehadiran dengan pakaian batik Malaysia lengan panjang untuk lelaki dan baju kurung atau kebaya untuk perempuan. Jemputan terhad kepada dif kehormat, anggota keselamatan dan petugas bagi memastikan majlis berjalan mengikut prosedur operasi standard.

Pelbagai acara diadakan dan meriahkan sambutan kemuncak jam 8:30 malam ini secara langsung di TV1. Maklumat akan diadakan sambutan di peringkat kebangsaan pada malam ini telah diberitahu melalui Berita Tengah Hari. Laporan oleh RTM (Radio Televisyen Malaysia).

Isnin, 31 Ogos 2020

Hari Kebangsaan Ke-63 Tahun 2020

Kajang, 31/08/2020 - Kempen kibarkan Jalur Gemilang di hadapan rumah. Pamerkan Jalur Gemilang sempena negara kita menyambut Hari Kebangsaan Ke-63 hari ini.

Jalur Gemilang merupakan lambang kedaulatan dan kemerdekaan negara. Ia bukan sekadar selembar kain yang mencorakkan perlambangan negara. Kita telah banyak kali menyaksikan Jalur Gemilang ini dikibar seluruh pelusuk dunia apabila rakyat negara Malaysia mencapai sesuatu kejayaan.

Di peringkat kebangsaan, sambutan diadakan di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya pagi ini. Sambutan yang bertemakan 'Malaysia Prihatin'. Sambutan tahun ini diadakan secara ringkas dan sederhana kerana negara masih berjuang mendepani wabak Covid-19.

Sambutan Hari Kebangsaan 2020 dalam persekitaran normal baharu, namum tetap penuh bermakna dengan atur cara sederhana. Kehadiran di Dataran Pahlawan Negara yang julung kali dipilih sebagai lokasi sambutan, terhad kepada dif kehormat, anggota keselamatan dan petugas bagi memastikan majlis berjalan mengikut prosedur operasi standard.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang berkenan berangkat ke sambutan Hari Kebangsaan 2020, tiba di Dataran Pahlawan Negara pada 8 pagi, dan ini disusuli nyanyian lagu keramat, Negaraku, sebagai menandakan bermulanya acara sambutan. Laporan oleh BERNAMA (Pertubuhan Berita Nasional Malaysia).

Jumaat, 17 Julai 2020

Perluasan Solat Jumaat Mulai 17 Julai 2020

Kajang, 17/07/2020 - Saya pergi awal ke Surau Raudhatul Firdaus (SRF) Impian Murni di Saujana Impian hari ini yang masih berada dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan untuk mendapatkan tempat bagi menunaikan solat Jumaat dengan jemaah yang terhad. Jika minggu lepas bilangan jemaah disenaraikan berdasarkan pendaftaran solat Jumaat melalui permohonan di Google Forms dan minggu ini pula, siapa cepat dia dapat.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor mengeluarkan surat rasmi yang bertarikh 16/07/2020 menyatakan bahawa Sultan Selangor telah meneliti laporan pelaksanaan solat fardu Jumaat dan solat fardu lima waktu serta data-data penularan wabak Covid-19 yang terus dapat dikawal dengan baik dan kawalan kendiri jemaah yang tinggi untuk mematuhi Prosedur Operasi Standard atau Standard Operating Procedures (SOP) yang ditetapkan, maka Sultan Selangor telah berkenan untuk semua kategori masjid dan surau di Selangor dibenarkan beroperasi secara maksima berdasarkan kapasiti selepas penjarakan 1.5 meter berkuatkuasa pada hari Jumaat, 17 Julai 2020.

Minggu lepas, jemaah di SRF bagi mendirikan solat fardu Jumaat dan solat fardu lima waktu ditetapkan pada 40 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa surau. Mulai minggu ini iaitu kebenaran yang berkuatkuasa hari ini, jemaah di masjid kariah dan surau kebenaran Jumaat bagi mendirikan solat fardu Jumaat serta solat fardu lima waktu ditetapkan berdasarkan kapasiti jemaah sebenar masjid dan surau berkenaan setelah mengambil kira penjarakan 1.5 meter. Semua surau biasa juga diberi kebenaran untuk mendirikan solat fardu lima waktu secara berjemaah berdasarkan kapasiti jemaah sebenar surau berkenaan setelah dibuat penjarakan 1.5 meter.

Jumaat, 10 Julai 2020

Prosedur Operasi Standard Solat Jumaat, Julai 2020

Kajang, 10/07/2020 - Saya merupakan antara jemaah yang terpilih hari ini dapat menunaikan solat Jumaat di Surau Raudhatul Firdaus (SRF) Impian Murni di Saujana Impian semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan bagi mencegah penularan wabak Covid-19 di Malaysia.

Masjid dan surau di Selangor mesti mematuhi semua Prosedur Operasi Standard atau Standard Operating Procedures (SOP) untuk solat Jumaat dan solat fardu.

Sultan Selangor berkenan supaya semua masjid dan surau dibuka mulai bulan Julai tahun 2020 untuk mendirikan solat Jumaat dengan mengambil maklum perkembangan terbaharu wabak Covid-19.

Bilangan jemaah pada satu-satu masa perlu mengikut jumlah ditetapkan. SRF menyediakan Google Forms untuk pendaftaran solat Jumaat. Apabila jumlah telah cukup, nama jemaah yang selebihnya boleh didaftarkan semula untuk minggu berikutnya kerana jemaah yang telah datang hari ini tidak boleh mendaftar untuk minggu depan. Ini disebabkan untuk memberi penggiliran kepada jemaah yang lain.

Jemaah solat Jumaat dan solat fardu ditetapkan pada 1,000 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid bagi Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Masjid Tengku Ampuan Jemaah di Bukit Jelutong dan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah di Cyberjaya.

Jumlah kehadiran jemaah bagi solat Jumaat dan solat fardu di semua masjid lain ditetapkan maksimum pada 500 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa masjid, tertakluk kepada kapasiti masjid berkenaan.

Jemaah di surau bagi mendirikan solat Jumaat dan solat fardu ditetapkan pada 40 orang tidak termasuk pegawai dan ahli jawatankuasa surau.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut bertitah agar ibadat korban sempena Hari Raya Aidiladha hanya dilaksanakan di masjid sahaja.

Bagi surau-surau yang merancang melakukan ibadah korban, boleh melaksanakannya di masjid berdekatan.

Semua orang juga perlu mematuhi SOP termasuk berwuduk di rumah, membawa sejadah masing-masing, memakai pelitup muka ketika hadir di masjid dan surau serta mengamalkan penjarakan sosial.

Sabtu, 1 Februari 2020

Jelajah Lambaian Kaabah PPDHL 2020

Kajang, 01/02/2020 - Jom hadir ke acara Jelajah Lambaian Kaabah tahun ini di Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat (PPDHL) pada 1 dan 2 Februari 2020. Ia diadakan pada hari ini (Sabtu) dan esok (Ahad). PPDHL terletak di Saujana Impian, Kajang, Selangor.

Pelbagai aktiviti menarik menanti para pengunjung seperti gerai jualan, pameran umrah, pelancongan islamik, kursus umrah perdana, majlis perasmian, cabutan bertuah, pertandingan Beyblade (kanak-kanak bawah 12 tahun), pertandingan azan (sekolah rendah dan menengah), sukaneka kanak-kanak, forum perdana (Imam Muda Fakhrul, Ustaz Nabil dan Ustaz Haslin), kuliah dhuha (Ustaz Nabil Ahmad daripada kumpulan nasyid Far East), sukaneka Muslimah (gubahan tuala), simulasi umrah cilik (kanak-kanak bawah 12 tahun), pertandingan mewarna, ramah mesra dengan Iron Man, demonstrasi lukisan, sukaneka dewasa, majlis penutupan dan pelbagai aktiviti menarik. Orang ramai dijemput hadir. Masuk adalah percuma.

Acara Jelajah Lambaian Kaabah ini juga dikuasakan oleh Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd serta Karnival Geng Masjid. Pelbagai aktiviti ilmiah dan kekeluargaan disusun. Dapatkan juga diskaun percuma untuk pakej pelancongan daripada agensi pelancongan yang ada. 

Jumaat, 28 Jun 2019

Majlis Jamuan Aidilfitri MPKj 2019

Kajang, 28/06/2019 - Saya dan isteri telah pergi menikmati jamuan Aidilfitri di Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) yang terletak di Saujana Impian. Kami pergi berdua sahaja kira-kira jam 3:00 petang tadi kerana empat orang anak kami sedang bersekolah ketika ini di Sekolah Menengah Agama, Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Kebangsaan dan Taska.

Dewan Seri Cempaka MPKj boleh memuatkan kira-kira 1,000 orang tetamu untuk penganjuran majlis keramaian manakala 2,000 bagi program seminar.

Pembukaan Dewan Seri Cempaka di Saujana Impian telah memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk bagi penganjuran program komuniti setempat. Dewan ini dirasmikan pada 18 Julai 2017. Kerja-kerja pembinaannya dijalankan sejak 9 Disember 2014 dengan peruntukan kos sebanyak RM15 juta.

Sebelumnya, pembinaan Dewan Seri Cempaka dibangunkan bagi menggantikan Dewan Bandaran MPKj yang mana tapak lokasi asalnya terletak berhampiran Stadium Kajang telah dijadikan stesen MRT (Mass Rapid Transit).

Saya dan isteri meninggalkan Dewan Seri Cempaka MPKj. Saya memandu keluar dari Persiaran Impian Perdana. Masuk ke Persiaran Saujana Impian dan Jalan Impian Mahkota 1. Kereta diletakkan di tepi jalan tanpa nama yang terletak di antara Jalan Impian Mahkota 1 dan Persiaran Saujana Impian. Kami berjalan kaki ke stesen MRT. Naik tren MRT dari Stesen Sungai Jernih ke Stesen Stadium Kajang guna Kad T'nG (RM1.10 x 2 orang). Lebih kurang 1 minit sahaja perjalanan antara dua buah stesen. Kami berjalan kaki ke Stadium Kajang. Ketika kembali berjalan kaki ke stesen MRT, saya menunjukkan kepada isteri lokasi asal Dewan Bandaran MPKj yang telah dijadikan Stesen Stadium Kajang untuk MRT.

Khamis, 10 Mei 2018

Sehari Selepas PRU-14

Kajang, 10/05/2018 - Azan Subuh pagi tadi ialah pada jam 5:43 pagi. Waktu Syuruk pula ialah pada jam 7:01 pagi. Kira-kira jam 6:45 pagi, saya telah keluar dari rumah dan memandu kereta pergi mengambil anak sulung yang bersekolah menengah agama dan tinggal di asrama. Saya memandu sejauh kira-kira 93 kilometer dari rumah ke sekolah tersebut.

Saya, isteri dan tiga orang anak kami berada di rumah ketika ini kerana sekolah-sekolah di seluruh Malaysia bercuti hari ini serta esok. Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) telah diadakan pada hari semalam (Rabu, 9 Mei 2018).

Semalam, saya telah ditugaskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di sekolah tempat saya mengajar sebagai Kerani Penyemak Daftar Pemilih. Saya bertugas di bahagian hadapan di tempat mengundi bagi Parlimen Hulu Langat (P101) dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua (N23).

Saya telah mengundi pos pada hari Sabtu, 5 Mei 2018 sebelum PRU-14 dijalankan. Undi pos dengan cara menghantar dengan tangan kertas undi Parlimen dan DUN ke bangunan Pejabat Daerah/ Tanah Hulu Langat di Bandar Baru Bangi. Peti-peti undi ada disediakan di sana.

Pihak SPR telah memberi peluang kepada petugas-petugasnya untuk mengundi awal supaya tugas kami pada hari pengundian dapat berjalan lancar.

Saya dan isteri telah mengundi serta memilih wakil rakyat untuk Parlimen Bangi (P102) dan DUN Kajang (N25) bagi kawasan Saujana Impian.

Pakatan Harapan (PH), gabungan empat parti politik (Parti Amanah Negara, Parti Keadilan Rakyat, Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan Parti Tindakan Demokratik) menang besar dalam PRU-14 yang berakhir semalam, menamatkan pemerintahan Barisan Nasional (BN) selama lebih 60 tahun. PH memenangi 113 daripada 222 kerusi Parlimen dengan majoriti mudah menumbangkan BN.

Sabtu, 1 April 2017

Karnival Dakwah Surau Raudhatul Firdaus 2017

Kajang, 01/04/2017 - Saya dan isteri pergi ke Surau Raudhatul Firdaus (SRF) Impian Murni di Saujana Impian sejak awal pagi lagi kerana hari ini ada program Karnival Dakwah SRF 2017. Kami solat Subuh berjemaah dan mendengar kuliah Subuh yang disampaikan oleh Pencetus Ummah (PU) Syed Mohd Bakri bin Syed Ishak. Beliau ialah Juara PU Musim Ketiga (2015) di Astro Oasis.

Saya, isteri dan tiga orang anak kami berulang-alik dengan berjalan kaki sahaja dari rumah ke surau. Anak-anak kami menyertai pertandingan azan, pertandingan mewarna dan sukaneka. Banyak gerai jualan, kaunter perkhidmatan dan bas pameran bergerak disediakan di tapak karnival. Majlis perasmian disempurnakan oleh Yang Berhormat Dr Che Rosli bin Che Mat (Ahli Parlimen Hulu Langat).

Penyampaian hadiah diselang-seli dengan pelbagai program yang disediakan. Para hadirin solat Zohor berjemaah di surau. Program diteruskan dengan Santapan Rohani dan Street Dakwah. Kumpulan as-Salam Buskers bersama Ustaz Yusri dan Ijam Medicine menyampaikan dakwah dengan menggabungkan seni muzik dalam tazkirah. Mereka juga bersatu tenaga dengan artis-artis lain yang telah berhijrah seperti Iwan Syahman, Zul Handy Black dan Ali Terra Rossa menyampaikan lagu-lagu dakwah. Para hadirin solat Asar berjemaah di surau.

Acara sukaneka dan penyampaian hadiah berlangsung lagi pada sebelah petang. Gerai-gerai jualan masih dibuka dan para pengunjung sentiasa datang ke kawasan di sekitar perkarangan surau. Hujan lebat turun pada petang ini.

Saya sedang menulis artikel ini di rumah ketika hujan lebat sedang turun. Insya-Allah pada malam ini para hadirin akan solat Maghrib dan Isyak berjemaah di surau. Ceramah Perdana akan disampaikan oleh Datuk Ustaz Mohd Kazim bin Elias.

Ahad, 26 Jun 2016

Aktiviti Surau Raudhatul Firdaus, 21 Ramadhan 1437

Kajang, 26/06/2016 - Hari ini ialah hari Ahad dan merupakan hari kedua puluh satu umat Islam di Malaysia menunaikan ibadah puasa pada bulan Ramadhan. Tarikh hari ini ialah 21 Ramadhan 1437 Hijrah bersamaan dengan 26 Jun 2016 Masihi. Ini bermaksud kita sudah berada di hari kesepuluh terakhir bulan Ramadhan 1437.

Surau Raudhatul Firdaus Impian Murni di Saujana Impian telah mengadakan pelbagai aktiviti sejak awal bulan Ramadhan untuk mengimarahkan surau khususnya bagi menghidupkan bulan yang mulia ini.

Pihak surau juga mendapat kerjasama daripada Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Kajang dan Aman Palestin menganjurkan program pada hari ini di Surau Raudhatul Firdaus.

Pihak ISMA dan Aman Palestin telah membawa seorang Imam dari Palestin iaitu Imam Muhammad Badreddin bin Belal Abdo bagi memimpin Qiamullail, Solat Subuh dan menyampaikan Tazkirah Subuh pada pagi ini. Sebelum itu, jemaah surau juga boleh bersahur di sini.

Surau Raudhatul Firdaus akan terus menghidupkan bulan Ramadhan tahun ini yang tinggal sepuluh hari sahaja lagi. Paling penting dapat mengimarahkan surau sampai bila-bila.

Ahad, 12 Julai 2015

Aktiviti Surau Raudhatul Firdaus Akhir Ramadhan 1436

Kajang, 12/07/2015 - Hari ini ialah hari Ahad dan merupakan hari kedua puluh lima umat Islam di Malaysia menunaikan ibadah puasa pada bulan Ramadhan. Tarikh hari ini ialah 25 Ramadhan 1436 Hijrah bersamaan dengan 12 Julai 2015 Masihi. Ini bermaksud kita sudah berada di akhir bulan Ramadhan 1436.

Surau Raudhatul Firdaus Impian Murni di Saujana Impian telah mengadakan pelbagai aktiviti sejak awal bulan Ramadhan untuk mengimarahkan surau khususnya bagi menghidupkan bulan yang mulia ini.

Pihak surau juga mendapat kerjasama daripada Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Kajang dan Aman Palestin menganjurkan program Iktikaf dan Iftar Perdana selama dua hari (11 dan 12 Julai 2015) di Surau Raudhatul Firdaus.

Pihak ISMA dan Aman Palestin telah membawa seorang Imam dari Palestin iaitu Sheikh Ahmad Mazouz bagi memimpin Qiamullail, Solat Subuh dan menyampaikan Kuliah Subuh pada pagi Sabtu, 11 Julai 2015. Sebelum itu, jemaah surau juga boleh bersahur di surau. Banyak lagi aktiviti yang dijalankan selama dua hari ini. Antaranya ialah perjalanan sambil berjalan kaki (Rehlah Masyi) dari surau ke padang Impian Murni, padang Impian Makmur dan kembali ke surau untuk merenung kembali peristiwa Perang Badar melalui tazkirah yang disampaikan. Iktikaf boleh diteruskan di surau dengan solat-solat sunat, solat-solat fardhu, tazkirah-tazkirah, bacaan al-Qur'an dan lain-lain. Majlis berbuka puasa (Iftar) juga diadakan di sini.

Aktiviti diteruskan pada hari ini (Ahad, 12 Julai 2015) seperti Qiamullail, bersahur, Solat Subuh, Kuliah Subuh, solat-solat sunat, Solat Zohor, Tazkirah Zohor dan sebagainya. Walaupun program kerjasama anjuran pelbagai pihak tamat di sini, Surau Raudhatul Firdaus akan terus menghidupkan bulan Ramadhan tahun ini yang tinggal beberapa hari sahaja lagi. Paling penting dapat mengimarahkan surau sampai bila-bila.

Ahad, 14 September 2014

Setiausaha Surau Raudhatul Firdaus Sesi 2014/ 2016

Kajang, 14/09/2014 – Seminggu yang lalu iaitu pada hari Ahad, 7 September 2014 saya telah dilantik sebagai Setiausaha Surau Raudhatul Firdaus (SRF) ketika Mesyuarat Agung SRF Kali Pertama. 

Pengerusi mendapat 42 undi, Naib Pengerusi 45 undi, Setiausaha (saya) 56 undi, Naib Setiausaha 45 undi, Bendahari 40 undi, Naib Bendahari 25 undi, Wakil Pemuda 42 undi, Wakil Pemudi dengan sokongan sebulat suara, dua orang Pemeriksa Kira-kira 40 undi dan 36 undi serta tujuh orang ahli jawatankuasa dengan sokongan sebulat suara.

Pada hari yang sama iaitu selepas Mesyuarat Agung SRF Kali Pertama, saya telah mewujudkan laman blog surau beralamat www.surau-raudhatul-firdaus.blogspot.com untuk saluran maklumat kepada umum.

Tiga hari selepas itu iaitu pada hari Rabu, 10 September 2014 saya telah dilantik pula sebagai Ketua Biro Penerbitan dan Teknologi Maklumat ketika Mesyuarat Jawatankuasa SRF Kali Pertama Sesi 2014/ 2016.

SRF Impian Murni, Saujana Impian terletak di Kajang dalam daerah Hulu Langat, negeri Selangor.

Isnin, 1 September 2014

Sehari Selepas Hari Kemerdekaan Ke-57

Kajang, 01/09/2014 – Saya, isteri dan tiga orang anak kami berada di rumah ketika ini kerana sekolah-sekolah di Selangor bercuti hari ini. Kami baru sampai dari Melaka. Sambutan Hari Kemerdekaan Yang Ke-57 di peringkat kebangsaan telah diadakan pada hari semalam (Ahad, 31 Ogos 2014) di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. Sambutan yang bertemakan ‘Malaysia… Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta’.

Sambutan Hari Kemerdekaan kali ini amat istimewa kerana angka 57 membawa maksud ulangtahun yang ke-57 kemerdekaan negara kita. Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Pemilihan tema daripada lirik lagu Warisan yang dipopularkan oleh Allahyarham Datuk Sudirman bin Haji Arshad itu dapat menyemai dan menyemarakkan semangat cintakan negara ke dalam jiwa rakyat.

Logo Hari Kemerdekaan tahun 2014 menampilkan kibaran Jalur Gemilang menyelimuti angka 57 mencerminkan kemakmuran dan keamanan negara yang telah wujud sejak mengecapi kemerdekaan pada tarikh 31 Ogos 1957.

Malaysia sudah merdeka pada tahun 1957 dan saya pula telah dilahirkan pada tahun 1975. Jeehan al-Maliziy (Jeehan orang Malaysia) mengucapkan Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Yang Ke-57.

Selasa, 1 Julai 2014

Pembukaan Surau Raudhatul Firdaus 2014

Kajang, 01/07/2014 – Hari ini ialah hari Selasa dan merupakan hari ketiga umat Islam di Malaysia menunaikan ibadah puasa pada bulan Ramadhan. Tarikh hari ini ialah 3 Ramadhan 1435 Hijrah bersamaan dengan 1 Julai 2014 Masihi. 

Surau Raudhatul Firdaus Impian Murni di Saujana Impian telah beroperasi kira-kira seminggu yang lalu. Aktiviti gotong-royong diadakan pada hari Ahad, 22 Jun 2014 dan ahli kariah mula bersolat jemaah pada hari berkenaan. Karpet dipasang di ruang solat dalam surau pada hari Isnin, 23 Jun 2014. Majlis doa' selamat sempena pembukaan surau dan perasmian program menghidupkan bulan Ramadhan 1435 Hijrah diadakan pada hari Rabu, 25 Jun 2014 selepas solat Maghrib. Solat Tarawih serta Witir kali pertama telah diadakan pada malam 1 Ramadhan 1435 di surau ini dan program tadarus al-Qur’an pula baru bermula pada malam 3 Ramadhan 1435. 

Saya, isteri dan anak-anak kami telah tinggal di Impian Murni sejak awal tahun 2008. Anak pertama lahir pada tahun 2005, anak kedua lahir pada tahun 2007 dan anak ketiga lahir pada tahun 2010. al-Hamdulillah, surau yang dirancang pembinaanya sejak sekian lama akhirnya siap dan boleh digunakan.

Ahli-ahli jawatankuasa pembinaan Surau Raudhatul Firdaus Impian Murni mengucapkan ribuan terima kasih kepada masyarakat di sekitar Saujana Impian, individu-individu dan mereka yang lain-lain sama ada terlibat secara langsung atau pun tidak langsung bekerjasama dalam menjayakan kerja-kerja pembukaan surau ini. Pihak surau telah memohon kebenaran Jabatan Agama Islam Selangor untuk mendirikan solat Jumaat walaupun terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi.

Saujana Impian mempunyai banyak fasa perumahan seperti Impian Murni, Impian Gemilang, Impian Indah, Impian Kasih, Impian Setia, Impian Jaya, Impian Makmur dan Impian Sejati. Impian Murni merupakan kawasan terbesar setakat ini.

Sempena bulan Ramadhan yang berkat ini, pihak surau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyumbang-penyumbang yang telah menderma. Mereka yang ingin terus menyumbang ke tabung surau ini, anda boleh masukkan wang sumbangan anda ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad. Nombor akaunnya ialah 1209 2010 0326 81.

Saya, isteri dan tiga orang anak kami cuma berjalan kaki pergi ke Surau Raudhatul Firdaus kerana rumah kami terletak berhampiran dengan surau.

Ahad, 23 Mac 2014

Pilihan Raya Kecil DUN Kajang 2014

Kajang, 23/03/2014 – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi memilih wakil rakyat untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang (N25) pada hari ini.

Kerusi N25 Kajang telah dikosongkan selepas Lee Chin Cheh (Parti Keadilan Rakyat/ PKR) meletakkan jawatannya sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri berkuat kuasa pada 27 Januari 2014.

Selaras dengan Fasal 5 Perkara 70 Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, sesuatu kekosongan luar jangka hendaklah diisi dalam masa 60 hari dari tarikh kekosongan tersebut.

SPR telah mengadakan hari penamaan calon PRK DUN Kajang pada 11 Mac 2014 di Stadium Majlis Perbandaran Kajang, Seksyen 15, Bandar Baru Bangi. Calon PKR ialah Datuk Seri Dr Wan Azizah binti Wan Ismail dan Calon Barisan Nasional (BN) ialah Datin Paduka Chew Mei Fun.
                                                
Undi awal untuk pengundi-pengundi seperti pasukan Polis dan lain-lain telah diadakan pada 19 Mac 2014. Undi biasa pula telah diadakan pada hari ini mulai jam 8:00 pagi hingga jam 5:00 petang di tempat-tempat mengundi yang ditetapkan. Saya dan isteri telah mengundi serta memilih wakil rakyat untuk DUN Kajang (N25) bagi kawasan Saujana Impian.

Kawasan di sini mempunyai banyak fasa seperti Impian Murni, Impian Gemilang, Impian Indah, Impian Kasih, Impian Setia, Impian Jaya, Impian Makmur dan Impian Sejati. Setakat ini terdapat tiga buah sekolah yang menggunakan nama Saujana Impian iaitu Sekolah Kebangsaan Saujana Impian (SKSI), Sekolah Kebangsaan Saujana Impian 2 (SKSI2) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Saujana Impian (SMKSI). Pusat undi biasa di Saujana Impian pada hari ini cuma melibatkan SKSI sahaja. SKSI2 dan SMKSI tidak terlibat.

Keputusan rasmi PRK 2014 bagi DUN Kajang (N25) telah diumumkan pada jam 9:09 malam ini. Datuk Seri Dr Wan Azizah binti Wan Ismail daripada PKR mendapat 16,741 undi dan Datin Paduka Chew Mei Fun daripada BN mendapat 11,362 undi. PKR mengekalkan kerusi DUN Kajang dengan majoriti 5,379 undi dan hanya 72.1 peratus keluar mengundi.

Rabu, 24 Julai 2013

Pembinaan Surau Bermula Ramadhan 1434

Kajang, 24/07/2013 – Kerja-kerja pembinaan Surau Raudhatul Firdaus di atas tapak surau sedia ada (Lot 15972) Impian Murni baru sahaja bermula pada bulan Ramadhan ini. Tarikh hari ini ialah 15 Ramadhan 1434 Hijrah. Impian Murni terdiri daripada beberapa fasa kawasan perumahan. Ia merupakan kawasan terbesar setakat ini di Saujana Impian.

Ahli-ahli jawatankuasa pembinaan Surau Raudhatul Firdaus Impian Murni mengucapkan ribuan terima kasih kepada masyarakat di sekitar Saujana Impian, individu-individu, syarikat-syarikat dan mereka yang lain-lain sama ada terlibat secara langsung atau pun tidak langsung bekerjasama dalam menjayakan kerja-kerja pembinaan surau ini.

Terima kasih juga diucapkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (pemilik), Cahaya Jaya Teguh Construction (kontraktor), Qistina Consultant (perunding) dan M.Ali Architecth (arkitek) kerana telah memulakan kerja-kerja pembinaan tersebut. Walaupun rancangan untuk mendirikan surau ini telah tertangguh sejak beberapa tahun lalu tetapi kini ia telah bermula. al-Hamdulillah.

Qistina Consultant,
(Consulting Engineers), alamatnya ialah:
54A, Jalan Renang 13/26, Seksyen 13,
40150 Shah Alam, Selangor.

M.Ali Architecth, alamatnya ialah:
Worldwide Business Centre 2,
No 2, Persiaran Akautik, Seksyen 13,
40100 Shah Alam, Selangor.

Sempena bulan Ramadhan yang berkat ini, pihak surau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada penyumbang-penyumbang yang telah menderma. Mereka yang ingin terus menyumbang ke tabung surau ini, anda boleh masukkan wang sumbangan anda ke akaun Bank Islam Malaysia Berhad. Nombor akaunnya ialah 1209 2010 0326 81.

Isnin, 6 Mei 2013

Sehari Selepas PRU-13

Kajang, 06/05/2013 – Saya, isteri dan tiga orang anak kami berada di rumah ketika ini kerana sekolah-sekolah di Selangor bercuti hari ini. Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) telah diadakan pada hari semalam (Ahad, 5 Mei 2013).

Semalam, saya telah ditugaskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di sekolah tempat saya mengajar sebagai Kerani Pengundian/ Mengira Undi. Saya bertugas di salah satu saluran tempat mengundi bagi Parlimen Hulu Langat (P101) dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua (N23).

Saya telah mengundi pos beberapa hari sebelum PRU-13 dijalankan. Undi pos dengan cara menghantar dengan tangan kertas undi Parlimen dan DUN ke bangunan Majlis Perbandaran Kajang di bandar Kajang. Peti-peti undi ada disediakan di sana.

Pihak SPR telah memberi peluang kepada petugas-petugasnya untuk mengundi awal supaya tugas kami pada hari pengundian dapat berjalan lancar.

Saya dan isteri telah mengundi serta memilih wakil rakyat untuk Parlimen Hulu Langat (P101) dan DUN Kajang (N25) bagi kawasan Saujana Impian.

Keputusan PRU-13 bagi Parlimen Hulu Langat (P101) ialah Dr Che Rosli bin Che Mat daripada Parti Islam SeMalaysia (PAS) mendapat 64,127 undi dan Adzhaliza binti Mohd Nor daripada Barisan Nasional (BN) mendapat 46,860 undi.

Keputusan bagi DUN Dusun Tua (N23) pula, Haji Razaly bin Hassan (PAS) mendapat 22,161 undi dan Haji Ismail bin Sani (BN) mendapat 18,090 undi. Di DUN Semenyih (N24), Datuk Haji Johan bin Abd Aziz (BN) mendapat 17,616 undi, Hamidi bin A Hasan (Parti Keadilan Rakyat/ PKR) mendapat 13,471 undi dan Arutchelvan a/l Subramaniams (Parti Sosialis Malaysia) mendapat 5,568 undi. Untuk DUN Kajang (N25), Lee Chin Cheh (PKR) mendapat 19,571 undi, Lee Ban Seng (BN) mendapat 12,747 undi, Ustaz Mohamad bin Ismail (Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia/ BERJASA) mendapat 1,014 undi, Ir Mohd Iwan Jefry bin Abdul Majid (Bebas) mendapat 249 undi, Ong Yan Foo (Bebas) mendapat 85 undi dan Mohd Khalid bin Kassim (Bebas) mendapat 83 undi.

Kumpulan Nasyid Hijjaz

Kumpulan Nasyid Hijjaz
Klik pada gambar untuk menonton video YouTube.

Anugerah Sahabat Hijjaz Setia

Kenangan di Negara Arab

WELCOME

WELCOME
http://jeehan75.blogspot.com

MURAQABAH

  • Naib 2007 SMKBBSL.
  • Dhabit 2009 SKSS.
  • Rais 2010 SKSI2 (SMKSAAS).
  • Naib 2012 SJK(C)B.
  • Rais 2013 SKTR (SMKSAAS).
  • Rais 2015 SKBT (SMKBTK).
  • Rais 2016 SKJE (SMKDABB).
  • Rais 2017 SKLA (SMKTK).
  • Rais 2018 SKBTHO2 (SMKTT).
  • Dhabit 2023 UIS & UTAR (SMKTT) Murafiq.