Memaparkan catatan dengan label Tazkirah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Tazkirah. Papar semua catatan

Jumaat, 14 Mac 2025

Zakat Fitrah 13 Ramadan 1446

Kajang, 14/03/2025 (Jumaat) - Tajuk tazkirah saya pada hari ini ialah Zakat Fitrah 13 Ramadan 1446.

Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya: Islam itu ditegakkan di atas lima dasar. Menyaksikan bahawa tiada tuhan selain Allah dan bahawa Nabi Muhammad itu utusan Allah, mendirikan solat, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji serta berpuasa di bulan Ramadan. (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan Ahmad).

Kadar zakat fitrah ialah satu gantang Baghdad bersamaan 2.70 kilogram beras atau senilai dengannya. Kadar ini berdasarkan ketentuan oleh Pihak Berkuasa Agama Negeri-Negeri di Malaysia.

Di Selangor, kempen bayar Zakat Fitrah ikut harga beras dimakan. RM7.00 untuk Beras Putih Import dan Beras Putih Tempatan. RM15.00 untuk Beras Merah, Beras Perang, Beras Pulut dan Beras Wangi. RM22.00 untuk Beras Herba Ponni, Beras Jepun dan Beras Basmathi.

Hari ini, saya telah membuat pembayaran Zakat Fitrah (RM22.00 x 7 orang = RM154.00) dengan menggunakan FPX (Financial Process Exchange) di laman web FPX.Zakat.Selangor.com.my - Lembaga Zakat Selangor (Majlis Agama Islam Selangor). Ia merupakan satu kaedah pembayaran "online" terkini di Malaysia yang diuruskan oleh MEPS (Malaysian Electronic Payment System) Sdn Bhd. Ia adalah satu platform transaksi kewangan secara "online" yang menghubungkan antara bank-bank dalam urusan pembayaran melalui internet.

Khamis, 1 Ogos 2024

Lima Jenis Alam Untuk Manusia

Kajang, 01/08/2024 (Khamis) - Tajuk tazkirah saya pada hari pertama bulan Ogos tahun 2024 ialah Lima Jenis Alam Untuk Manusia.

Menurut keterangan daripada al-Quran dan al-Hadis, setiap manusia akan melalui lima alam. 1-Alam Roh. 2-Alam Rahim. 3-Alam Dunia. 4-Alam Barzakh. 5-Alam Akhirat.

Kita yang masih hidup di atas muka bumi ini sedang berada di Alam Dunia yang merupakan alam pertengahan di antara dua alam sebelumnya iaitu Alam Roh dan Alam Rahim serta dua alam selepasnya iaitu Alam Barzakh dan Alam Akhirat.

Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanah (tugas-tugas keagamaan) kepada langit, bumi dan gunung-ganang tetapi semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka bimbang tidak mampu melaksanankannya (berat), lalu dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya, manusia itu sangat zalim dan sangat bodoh. (Surah al-Ahzab: Ayat 72).

1-Alam Roh. Pengetahuan kita tentang hakikat alam ini sangat terbatas kerana ia hanya terdapat dalam pengetahuan Tuhan Yang Maha Esa. Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Dan mereka bertanya kepadamu (Muhammad) berkenaan roh. Katakanlah, roh itu termasuk urusan Tuhanku, sedangkan kamu hanya diberi sedikit pengetahuan. (al-Isra’: Ayat 85).

2-Alam Rahim. Wujudnya alam ini seperti dinyatakan oleh Hadis Sahih Bukhari dan Muslim yang ringkasannya seperti berikut. Manusia dicipta oleh Allah di dalam perut ibunya. 40 hari pertama dalam bentuk air mani, 40 hari kedua menjadi segumpal darah dan 40 hari ketiga menjadi seketul daging. Setelah genap 120 hari (4 bulan) Allah mengutuskan malaikat untuk menentukan ke atas janin itu empat perkara iaitu berkenaan rezeki, ajal, amalan dan akan menjadi bahagia atau derita.

3-Alam Dunia. Setelah manusia dilahirkan maka bermulalah perjalanan manusia memasuki alam ketiga yang sangat singkat jika dibandingkan dengan dua alam berikutnya. Syaitan sentiasa berusaha untuk memesongkan kita daripada Tuhan yang mencipta jalan yang lurus. Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Kebenaran itu daripada Tuhanmu, maka janganlah sekali-kali engkau (Muhammad) termasuk dalam kalangan orang-orang yang ragu. (Surah al-Baqarah: Ayat 147).

4-Alam Barzakh. Ia juga disebut alam kubur walaupun tidak berada di dalam tanah selepas meninggal dunia. Nabi Muhammad s.a.w. menggambarkan bahawa alam kubur itu seperti taman syurga atau kawah neraka berdasarkan usaha dan sikap manusia ketika berada di Alam Dunia. Allah S.W.T. telah berfirman (sebahagian ayat al-Quran): Maksudnya: Setiap yang bernyawa akan merasai mati. (Surah Ali Imran: Ayat 185).

5-Alam Akhirat. Bermulanya alam ini apabila terjadi hari kiamat. Semua manusia akan dibangkitkan oleh Allah dan selanjutnya dihisab di Padang Mahsyar. Sesiapa yang berat timbangan amalan baiknya, maka dia akan dimasukkan ke dalam syurga dan jika sebaliknya, dia akan dilemparkan ke dalam api yang menyala (neraka). Allah S.W.T. telah berfirman (sebahagian ayat al-Quran): Maksudnya: Dan hanya pada hari kiamat sahajalah disempurnakan balasan bagimu. Maka sesiapa yang dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, sesungguhnya dia memperoleh kemenangan. Ingatlah kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang memperdaya. (Surah Ali Imran: Ayat 185).

Alam Roh (hanya Allah sahaja yang mengetahuinya). Alam Rahim (lebih kurang 9 bulan). Alam Dunia (kebiasaannya di antara 60 hingga 70 tahun berdasarkan umur nabi Muhammad dan umatnya). Alam Barzakh (bergantung kepada kematiannya di dunia dan terjadinya hari kiamat). Alam Akhirat (sejak hari kiamat hinggalah seterusnya dengan kehendak Allah).

Jumaat, 29 Mac 2024

Turunnya al-Quran Sekali Gus Pada Bulan Ramadan

Semenyih, 29/03/2024 (Jumaat) - Tajuk ceramah (tazkirah) 18 Ramadan 1445 (pagi Jumaat tadi) ialah Turunnya al-Quran Sekali Gus Pada Bulan Ramadan. Ia telah disampaikan oleh Ustaz Jeehan antara jam 7:50 hingga 8:25 pagi di Dataran Perhimpunan, Sekolah Kebangsaan Bandar Rinching, Hulu Langat, Selangor.

Ramadan al-Mubarak fi yaum al-Jumuah al-Mubarakah (Ramadan yang berkat pada hari Jumaat yang berkat). Penghulu segala bulan dan penghulu segala hari.

al-Quran telah diturunkan pada malam 17 Ramadan. Ia telah diturunkan oleh Allah sekali gus dari Lohmahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia. al-Quran yang mengandungi 30 juzuk dan 114 buah surah dengan pelbagai nama. Diturunkan pula kepada Nabi Muhammad s.a.w. melalui malaikat Jibril secara beransur-ansur selama 23 tahun (13 tahun sebelum peristiwa Hijrah dan 10 tahun selepas peristiwa Hijrah). Ustaz Jeehan berceramah sambil bersoal jawab (saling memberikan soalan dan jawapan) dengan murid-murid. Banyak doa yang kita baca bersumberkan ayat-ayat al-Quran.

Ustaz Jeehan menyanyikan beberapa baris nasyid yang bertajuk Keroncong Zikir Doa. Nasyid asal daripada Isman Hijjaz.

Hanya pada-Mu. Kami meminta. Hanya pada-Mu. Tempat kami mengadu.

Oh Ya Allah. Pimpinlah hamba-Mu. Oh Ya Allah. Kau rahmatilah kami.

Subhanallah. Walhamdulillah. Wala-ilaha-illallah. Wallahu-akbar.

Subhanallah. Walhamdulillah. Wala-ilaha-illallah. Wallahu-akbar.

Allah S.W.T. telah berfirman (Ustaz Jeehan membaca sebahagian ayat al-Quran): Maksudnya: Bulan Ramadan adalah bulan yang diturunkan padanya al-Quran. (Surah al-Baqarah: Ayat 185).

Dijelaskan makna Nuzul al-Quran dari segi kata nama yang berasal daripada kata kerja. al-Quran ialah kata-kata Allah (Kalamullah) dan bukan kata-kata manusia. Ia terus ditulis sejak diturunkan dan terus dihafal sehingga sekarang. Wahyu daripada Tuhan yang merangkumi perkara akidah (tauhid) dan syariat. Allah menjamin keaslian al-Quran sehingga hari kiamat. Tidak seperti kitab-kitab suci terdahulu.

Allah S.W.T. telah berfirman (Ustaz Jeehan membaca sepotong ayat al-Quran): Maksudnya: Sesungguhnya Kami yang menurunkan al-Quran dan (pasti) Kami juga yang memeliharanya. (Surah al-Hijr: Ayat 9).

Ustaz Jeehan menyanyikan beberapa baris nasyid yang bertajuk al-Quran Kalamullah. Nasyid asal daripada kumpulan Hijjaz (Copyright Control).

al-Quran... Kalamullah. al-Quran... Kalamullah.

al-Quran... kitab suci kalam Tuhan. Bacaan umat yang beriman. Menjadi amal ibadah... seharian. al-Quran... kalam Tuhan. al-Quran... kalam Tuhan.  

al-Quran ialah kitab mukjizat (perkara luar biasa). Walaupun penyair hebat dalam Bahasa Arab di zaman jahiliah tetapi al-Quran lebih hebat yang mempunyai mukjizat pada bahasa. Juga mukjizat pada tabiat alam semula jadi.

Cuba lihat di sekeliling kita. Tidakkah kita akan melihat kehebatan Allah yang telah menjadikan alam ini? Ia terbentang luas. Awan yang berarak, langit yang membiru, planet, cakerawala, matahari, bulan dan sebagainya. Begitu harmoni dan sempurna.

Allah S.W.T. telah berfirman 
(Ustaz Jeehan membaca beberapa potong ayat al-Quran): Maksudnya: Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan kesemuanya berpasangan sama ada yang ditumbuhkan oleh bumi dan daripada diri mereka sendiri serta dari apa yang mereka tidak tahu. Juga suatu tanda (kekuasaan Allah yang besar) untuk mereka ialah malam. Kami tinggalkan siang daripadanya, maka dengan serta merta mereka berada dalam kegelapan. Juga matahari yang bergerak di tempat peredarannya. Demikianlah ketetapan Yang Maha Kuasa lagi Maha Mengetahui. Juga bulan yang telah Kami tetapkan beredar melalui beberapa peringkat sehingga kembalinya (ke peringkat awalnya) seperti bentuk tandan yang tua (tandan kering yang melengkung). Tidak mudah bagi matahari mendapatkan (mengejar) bulan dan malam pula tidak dapat mendahului siang kerana masing-masing beredar di atas garisannya. (Surah Yasin: Ayat 36, 37, 38, 39 dan 40).

Ustaz Jeehan menyanyikan beberapa baris nasyid yang bertajuk Semua Allah Punya. Nasyid asal daripada Iwan Syahman.

Lihatlah gunung yang tinggi. Subhanallah itu Allah yang punya. Lihatlah pantai yang indah. Subhanallah itu Allah yang punya.

Tiada yang engkau punya. Semuanya Allah punya. Tiada yang engkau punya. Semuanya Allah punya.

Lihatlah burung yang terbang. Subhanallah itu Allah yang punya. Lihatlah bunga yang mekar. Subhanallah itu Allah yang punya.

Jumaat, 15 Mac 2024

Bulan Ramadan, Bulan Yang Berkat

Semenyih, 15/03/2024 (Jumaat) - Tajuk tazkirah 4 Ramadan 1445 (pagi Jumaat tadi) ialah Bulan Ramadan, Bulan Yang Berkat. Ia telah disampaikan oleh Ustaz Jeehan antara jam 7:20 hingga 7:45 pagi di Dewan Seri Budiman, Sekolah Kebangsaan Semenyih, Hulu Langat, Selangor.

Turunnya perintah wajib berpuasa di bulan Ramadan ialah pada tahun kedua Hijrah iaitu tahun kedua sesudah Nabi Muhammad s.a.w. berpindah dari Kota Mekah ke Kota Madinah. Ia merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima. Hukumnya fardu ain bagi orang Islam yang berakal (aqil) dan sampai umur (baligh). Orang yang aqil baligh disebut mukallaf iaitu seorang yang telah dipertanggungjawabkan dengan kewajipan untuk menjalankan tuntutan agama Islam.

Allah S.W.T. telah berfirman (Ustaz Jeehan membaca sepotong ayat al-Quran): Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertakwa. (Surah al-Baqarah: Ayat 183).

Allah telah menyampaikan perintah kewajipan berpuasa kepada orang-orang yang beriman. Puasa merupakan syariat yang penting. Ia bukan suatu perkara yang baharu kerana umat-umat terdahulu juga diperintahkan untuk berpuasa.

Puasa mendidik kita meninggalkan keinginan kepada perkara-perkara yang telah dihalalkan pada waktu siang sebelum bulan Ramadan. Puasa merupakan ibadat yang amat hampir dengan keikhlasan bagi seorang hamba kerana ianya merupakan rahsia antara hamba dan Tuhannya. Kejayaan sebenar seorang mukmin dalam melaksanakan kewajipan berpuasa ialah mencapai darjat ketakwaan.

Orang Islam di seluruh dunia berpuasa dalam bulan yang sama. Ia menandakan kesatuan ummah. Masing-masing merasai nikmat kebaikan bulan Ramadan yang penuh keberkatan dan kerahmatan tanpa mengira warna kulit, bangsa, keturunan, bahasa dan sempadan geografi.

Puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Ketika berpuasa, kita mesti mengetahui hukum-hakam berkenaan puasa kerana ia menguji keimanan orang yang berpuasa. Sejauh mana kejujuran kita terhadap ibadat puasa yang dilaksanakan dan keyakinan bahawa Allah Maha Melihat. Menguji keyakinan kita terhadap pengawasan Allah.

Beberapa pengajaran dan penghayatan daripada tazkirah pada hari ini. 1-Laksanakan ibadat puasa dengan berpandukan syariat Allah. 2-Jauhilah perkara-perkara maksiat zahir dan batin. 3-Puasa adalah perisai daripada azab api neraka.

Ustaz Jeehan menyanyikan beberapa baris nasyid yang bertajuk Rahmat Ramadan. Nasyid asal daripada kumpulan Hijjaz.

Bulan Ramadan bulan yang mulia.
Bulan rahmat dan bulan berkat.
Bulan kebajikan pahala berganda.
Bulan keampunan doa diterima.
Bulan keampunan doa diterima.

Khamis, 1 Februari 2024

Di Sebalik Rahsia Cinta Adam dan Hawa'

Di Sebalik Rahsia Cinta Adam dan Hawa' @ https://youtu.be/MeBaXDktPdA

(Nabi Adam dicipta oleh Allah daripada tanah. Setelah disempurnakan bentuknya, ditiupkanlah roh ciptaan Tuhan dan menjadi seorang manusia yang sempurna).

Pertemuan ini bagaikan terbuka. Satu rahsia di dalam rahsia. Ketika kita sama di kota cinta. Kenikmatan pengabdian yang suci.

(Nabi Adam dipertemukan dengan Hawa' di dalam syurga oleh Allah sebagai teman hidupnya untuk mengembangkan keturunan manusia).

Dan di waktu itu kau dan aku satu. Berlindung di dalam kebesaran. Tiada kenal erti perpisahan. Penuh restu-Mu oh Tuhan.

(Nabi Adam dan isterinya tinggal bersama di syurga yang penuh kenikmatan dengan restu Allah diiringi rahsia cinta antara manusia).

Dan kini kita terbuang di awangan. Terpisahlah dari kenyataan. Lalu ada yang terlupa pada perjanjian. Kerana leka dengan kepalsuan. Tersesat kita dalam perjalanan.

(Nabi Adam dan isterinya dikeluarkan dari syurga oleh Allah angkara pujukan iblis, dipisahkan mereka berdua serta dihantar ke bumi).

Kau dan aku kini bertemu kembali. Menunaikan perjanjian sejati. Dalam suka duka jauh terpisah. Terbukalah rahsia cinta.

(Nabi Adam dan Hawa' dipertemukan semula oleh Allah di bumi menghadapi cara hidup baharu dengan penuh rahsia cinta). 

Sabtu, 13 Januari 2024

13 Januari 2024 (Sabtu) 1 Rejab 1445

Kajang, 13/01/2024 (Sabtu) - Saya, isteri dan lima orang anak kami sedang berada di rumah TJ. Jarak di antara rumah SI dan rumah TJ ialah 8 kilometer sahaja. Kedua-duanya terletak di Kajang dalam daerah yang sama. Rumah TTD pula terletak di negeri lain.

Kami cukup bertujuh orang pada hari ini (Sabtu). Esok (Ahad) ialah hari keputeraan ke-78 Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan. Oleh itu, anak sulung dan anak ketiga akan bercuti pada hari Isnin. Anak kedua tidak bercuti pada hari Isnin kerana Wilayah Persekutuan dan Selangor kami belajar serta bekerja seperti biasa.

Di Malaysia, tarikh hari ini ialah 1 Rejab 1445 Hijrah bersamaan dengan 13 Januari 2024 Masihi. Hari ini ialah hari Sabtu. Kehadiran bulan Rejab menujukkan bahawa bulan Ramadan akan tiba tidak lama lagi. Bulan Syaaban pula terletak di antara Rejab dan Ramadan. Rejab, Syaaban dan Ramadan merupakan bulan ke-7, 8 dan 9 dalam kalendar tahun hijrah.

Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan dalam ketetapan Allah di waktu Dia mencipta langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram (Muharam, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah). Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu (dengan melakukan perbuatan yang dilarang seperti mengadakan peperangan kecuali mereka diugut) pada bulan berkenaan (bulan yang empat itu). Perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa. (Surah at-Taubah: Ayat 36).

Bebarapa peristiwa telah berlaku di dalam bulan Rejab. 1-Hijrah pertama dalam Islam iaitu hijrah ke Habsyah (Ethiopia) pada tahun kelima kenabian Nabi Muhammad s.a.w. kerana berlakunya tekanan dan ancaman kepada umat Islam di Mekah. 2-Israk dan Mikraj iaitu peristiwa perjalanan Rasulullah s.a.w. dari Masjid Haram ke Masjid Aqsa serta diangkat ke langit bertemu Allah S.W.T. pada tahun kedua belas kenabian. 3-Peperangan Tabuk iaitu peperangan yang berlaku pada tahun kesembilan Hijrah di antara bangsa Rom dan tentera Islam, diketuai oleh Rasulullah s.a.w. tetapi peperangan berkenaan dimenangi oleh Islam tanpa pertumpahan darah. 4-Lahirnya Imam Syafie iaitu salah seorang imam yang terkenal telah lahir pada tahun 150 Hijrah. 5-Pembebasan dan kejatuhan Baitulmaqdis. Khalifah Umar al-Khattab membuka kota suci ini dan berjaya mempertahankannya selama 500 tahun. Musuh Islam menawannya kembali dan mereka mempertahankannya selama 50 tahun. Solahuddin al-Ayyubi merampas semula Baitulmaqdis pada 27 Rejab 583 Hijrah dan berjaya mempertahankannya selama 760 tahun. Mustafa Kamal Ataturk menghapuskan sistem Khalifah Islamiah selepas itu. Tahun 1387 Hijrah (1967 Masihi), Baitulmaqdis jatuh semula kepada musuh Islam sehingga kini (1445 Hijrah bersamaan dengan 2024 Masihi).

Ahad, 31 Disember 2023

4 Perkataan 5 Huruf Sama

Kajang, 31/12/2023 (Ahad) - Saya sedang berada di rumah TJ. Jom kita bersama mengingati perkataan-perkataan Bahasa Melayu ini. Tazkirah (peringatan) untuk 4 perkataan 5 huruf sama.

Bina 4 perkataan menggunakan huruf-huruf yang sama iaitu TUHAN, HUTAN, TAHUN dan HANTU.

Bina 4 perkataan menggunakan huruf-huruf yang sama iaitu PARSI, SIRAP, PASIR dan PARIS.

Bina 4 perkataan menggunakan huruf-huruf yang sama iaitu UMRAH, RUMAH, HARUM dan MURAH.

Bina 4 perkataan menggunakan huruf-huruf yang sama iaitu MARAK, KARAM, RAKAM dan KAMAR.

Rabu, 1 November 2023

Tentera Israel Masih Mengganas Serang Palestin, 1 November 2023

Kajang, 01/11/2023 (Rabu) - Saya telah sampai ke rumah SI selepas pulang dari tempat bekerja di Sekasih. Mulai tengah hari tadi di Sekasih, saya mendengar ceramah berkenaan Kempen Kesedaran Kanser oleh Majlis Kanser Nasional.

Di rumah, saya terus mendapatkan berita mengenai Gaza di Palestin yang diserang oleh tentera pengganas Israel sejak 7 Oktober 2023. Hari ini ialah 1 November 2023, mereka masih mengganas menyerang Palestin. Tentera Hamas terus berjuang mempertahankan tanah Palestin.

Jam 12:55 tengah hari. Enam buah trak dari negara Jordan yang membawa ubat-ubatan dan peralatan perubatan selamat tiba di gudang Kementerian Kesihatan Palestin di Ramallah, sebuah bandar di Tebing Barat.

Ketika belajar di University of Jordan pada tahun 1993 hingga tahun 1998, saya dan beberapa orang rakan pernah menziarahi Palestin yang terletak di barat Jordan. Pergi ke Palestin dari Jordan dengan menaiki bas.

Jam 1:59 petang. 59 buah trak yang penuh dengan bantuan seperti air, makanan, ubat-ubatan dan peralatan perubatan dapat masuk ke Gaza melalui Rafah yang bersempadan dengan Mesir.

Jam 2:20 petang. Tentera Israel merosakkan jalan raya di Jenin. Ia sebuah bandar yang terletak di utara Tebing Barat, Palestin.

Jam 2:23 petang. Hari ini (Rabu), kerajaan Arab Saudi mengutuk serangan tentera Israel ke atas kem pelarian Jabalia di utara Gaza, semalam (Selasa). Ia merupakan tindakan yang tidak berperikemanusiaan kerana menyebabkan kematian dan kecederaan kepada ramai orang awam.

Jam 2:39 petang. Jumlah korban rakyat Palestin yang disebabkan oleh serangan udara tentera Israel meningkat di Khan Younis. Ia terletak di selatan Gaza. Terdapat juga yang cedera. Dua buah bangunan kediaman menjadi sasaran mereka.

Jam 3:31 petang. Pegawai Kesihatan di Gaza merayu dibekalkan bahan api segera umtuk hospital yang terletak di bahagian utara.

Jam 3:47 petang. Negara-negara Arab yang lain hari ini (Rabu), turut mengecam serangan udara daripada tentera Israel semalam (Selasa), ke atas kem pelarian Jabalia di utara Gaza.

Khamis, 1 Disember 2022

10 Orang Perdana Menteri Malaysia Setakat 2022

Hari ini ialah Khamis, 1 Disember 2022 bersamaan dengan 6 Jamadilawwal 1444. Hari Khamis minggu lepas iaitu pada 24 November 2022, Perdana Menteri Malaysia Ke-10 telah dilantik dan mengangkat sumpah jawatan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah Perdana Menteri Malaysia Ke-10 telah dilantik pada 24 November 2022.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ialah Perdana Menteri Malaysia Ke-9 dari 21 Ogos 2021 hingga 24 November 2022.

Tan Sri Muhyiddin Yassin ialah Perdana Menteri Malaysia Ke-8 dari 1 Mac 2020 hingga 20 Ogos 2021.

Tun Dr Mahathir Mohamad ialah Perdana Menteri Malaysia Ke-7 dari 10 Mei 2018 hingga 24 Februari 2022.

Datuk Seri Najib Tun Razak ialah Perdana Menteri Malaysia Ke-6 dari 3 April 2009 hingga 9 Mei 2018.

Tun Abdullah Ahmad Badawi ialah Perdana Menteri Malaysia Ke-5 dari 31 Oktober 2003 hingga 3 April 2009.

Tun Dr Mahathir Mohamad ialah Perdana Menteri Malaysia Ke-4 dari 16 Julai 1981 hingga 30 Oktober 2003.

Tun Hussein Onn ialah Perdana Menteri Malaysia Ke-3 dari 15 Januari 1976 hingga 16 Julai 1981.

Tun Abdul Razak Hussein ialah Perdana Menteri Malaysia Ke-2 dari 22 September 1970 hingga 14 Januari 1976.

Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ialah Perdana Menteri Malaysia Pertama dari 31 Ogos 1957 hingga 22 September 1970.

Jumaat, 1 Julai 2022

1 Julai 2022 (Jumaat) 1 Zulhijjah 1443

Kajang, 01/07/2022 - Hari ini ialah Jumaat, 1 Julai 2022 bersamaan dengan 1 Zulhijjah 1443. Hari Jumaat ialah penghulu segala hari. Kaum muslimin berkumpul di surau dan masjid menunaikan solat Jumaat. Hari yang utama dan pahala digandakan berbanding hari-hari yang lain.

Waktu petang hingga malam hari ini, saya sedang berada di Kajang. Waktu pagi hingga tengah hari tadi, saya telah berada di Semenyih.

Pihak sekolah mengadakan kejohanan Sekasih Road Run 2022. Murid-murid Tahun 4, 5 dan 6 terlibat dengan acara tersebut. Saya memantau pergerakan mereka dengan mengayuh basikal lipat. Dua orang anggota polis trafik membantu kami guru-guru memudahkan tugas mengawal murid-murid ketika berlari.

Sabtu, 21 Ogos 2021

Angkat Sumpah Jawatan Perdana Menteri Malaysia Ke-9

Kuala Lumpur, 21/08/2021 - Alhamdulillah, setelah negara kita menghadapi kemelut kepimpinan politik, maka pada jam 2:30 petang ini (Sabtu, 21 Ogos 2021), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-9.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri di hadapan Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah telah diadakan di Istana Negara. Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ialah Sultan Pahang Darul Makmur yang merupakan seorang sultan di negeri kelahiran saya.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ahli Parlimen Bera dari Pahang mendapat sokongan 114 orang ahli parlimen daripada 222 orang ahli Dewan Rakyat (termasuk 2 kerusi parlimen kosong) untuk membolehkannya beliau menjadi seorang Perdana Menteri Malaysia Ke-9. Jumlah 114 merupakan kepercayaan majoriti.

Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong Ke-16 memainkan peranan yang penting dalam pelantikan Perdana Menteri Malaysia Ke-9 ini selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Kemelut politik negara berlaku menyebabkan Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan pada hari Isnin, 16 Ogos 2021 selepas 17 bulan setengah memegang jawatan sebagai 
Perdana Menteri Malaysia Ke-8.

Perikatan Nasional (PN) serta Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Persekutuan Malaysia sebelum ini meneruskan pemerintahan dan akan membentuk kabinet baharu dalam Kerajaan Persekutuan Malaysia selepas ini. PN dan BN ialah gabungan parti-parti politik di Malaysia.

Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya: Mendengar dan mentaati pemerintah (adalah wajib) bagi setiap Muslim, sama ada dalam perkara yang disukai atau ataupun yang tidak disukai selagi dia tidak diperintahkan melakukan kemaksiatan. Jika dia diperintahkan melakukan kemaksiatan, maka tidak boleh dia mendengar dan mentaati. (Riwayat al-Bukhari).

Sabtu, 12 Jun 2021

1 Zulkaedah 1442 Pada 12 Jun 2021

Kajang, 12/06/2021 - Saya, isteri dan lima orang anak kami sedang berada di rumah sendiri (rumah TJ). Jarak di antara rumah SI dan rumah TJ ialah 8 kilometer sahaja. Kedua-duanya terletak di Kajang dalam daerah yang sama. Kami tidak boleh merentas daerah dan negeri semasa Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 dan tidak dapat berada di rumah TTD. Ia bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

Pada tarikh 1 Zulkaedah 1439 Hijrah bersamaan dengan 14 Julai 2018 Masihi, saya pernah menerbitkan catatan berkenaan bulan Zulkaedah. Hari ini, saya membuat cataan berkenaan Zulkaedah lagi kerana ia merupakan peringatan (tazkirah) yang boleh diulang siar. Tahun 2018, kami masih berlima dan tahun 2021, kami sudah bertujuh.

Di Malaysia, tarikh hari ini ialah 1 Zulkaedah 1442 Hijrah bersamaan dengan 12 Jun 2021 Masihi. Hari ini ialah hari Sabtu. Kehadiran bulan Zulkaedah menujukkan bahawa bulan Zulhijjah akan tiba dalam masa sebulan lagi. Perkataan Zulkaedah diambil daripada perkataan Zu bermaksud yang empunya dan al-Qaadah bermaksud duduk. Zulkaedah ialah bulan untuk berehat dan merupakan salah satu daripada empat bulan haram. Bulan persediaan untuk mengerjakan Haji. Zulkaedah dan Zulhijjah ialah bulan ke-11 dan 12 dalam kalendar tahun hijrah.

Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan dalam ketetapan Allah di waktu Dia mencipta langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram (Muharram, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah). Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu (dengan melakukan perbuatan yang dilarang seperti mengadakan peperangan kecuali mereka diugut) pada bulan berkenaan (bulan yang empat itu). Perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa. (Surah at-Taubah: Ayat 36).

Bebarapa peristiwa telah berlaku di dalam bulan Zulkaedah dan antaranya ialah Perjanjian Hudaibiyah yang berlaku pada tahun ke-6 Hijrah. Dinamakan Perjanjian Hudaibiyah sempena nama tempat perjanjian ini ditandatangani. Satu perjanjian di antara pihak Muslimin Madinah dan pihak Musyrikin Mekah. Rasulullah s.a.w. bersama kira-kira 1400 orang Islam Madinah menuju ke Mekah untuk menunaikan ibadah Haji. Apabila pihak Musyrikin mendapat tahu, wakil mereka datang menemui Rasulullah s.a.w. untuk mengetahui tujuan kedatangan orang Islam ke Mekah. Uthman bin Affan dihantar ke Mekah untuk menjelaskan tujuan tersebut. Uthman ditahan dan tersebar berita bahawa beliau dibunuh yang membawa kepada peristiwa Perjanjian Hudaibiyah ini.

Selasa, 4 Mei 2021

Cinta Kepada Negara

Malaysia negara kita tercinta,

Kita hidup aman dan sentosa,

Bersyukurlah dan sayangilah ia,

Nagara kita negara Malaysia.

 

Jalur Gemilang lambang negara,

Semoga ia sentiasa mekar,

Kita semua mesti diajar,

Kasih dan sayang rakyat sekitar.

 

Marilah dengar pesanan ini,

Kepada yang lain dan sendiri,

Hidup kita mesti berbakti,

Terhadap negara dikasihi.

 

Kepada Tuhan yang Maha Kaya,

Limpahkanlah keberkatan sentiasa,

Negara kita yang diagungkan,

Majulah ia terus merdeka.

 

Jika negara kita diancam,

Mari bersama kita bertahan,

Perbanyakkanlah bekal amalan,

Moga negara sentiasa aman.

Jumaat, 10 April 2020

Aisyah binti Abu Bakar

Rasulullah s.a.w. telah bernikah dengan Aisyah binti Abu Bakar yang ketika itu umurnya menjadi perselisihan pendapat di kalangan ulamak. Abu Bakar as-Siddiq ialah bapa Aisyah yang pernah menemani Nabi Muhammad s.a.w. semasa peristiwa hijrah dari Kota Mekah ke Kota Madinah.

Imam Malik menolak hadis riwayat Hisham bin Urwah yang dicatat daripada orang-orang Iraq. Ini kerana terdapat kecelaruan dalam periwayatannya. Rujuk Tahzib at-Tahzib, Ibnu Hajar al-Asqalani, Dar Ihya' ath-Thurast al-Islami jilid 2, halaman 50.

Ini menunjukkan dari segi sanad hadis, didapati penceritaan berkenaan Aisyah yang berumur di antara 6 hingga 9 tahun ketika dinikahi Rasulullah s.a.w. adalah amat meragukan kita.

Imam Bukhari menyatakan di dalam kitabnya bahawa Anas meriwayatkan, pada perang Uhud, dia melihat Aisyah dan Ummu Sulaim, mereka berdua menyinsing kain untuk memudahkan pergerakan. Rasulullah s.a.w. mengenakan syarat yang ketat bagi mereka yang hendak mengikuti peperangan Badar, Uhud dan Khandaq. Mereka mesti berumur 15 tahun ke atas. Sesiapa yang berumur di bawah 15 tahun, tidak dibenarkan mengikuti peperangan Badar, Uhud dan Khandaq. Ini menunjukkan umur Aisyah ialah 15 tahun ke atas pada waktu peperangan Uhud. Jika umur Aisyah pada 625 Masihi (3 Hijrah) ialah di antara 14 dan 15 tahun, maka dia telah dilahirkan pada 610 Masihi. Umur Aisyah semasa bernikah dengan Nabi Muhammad s.a.w. pada 623 Masihi (1 Hijrah) ialah di antara 13 dan 14 tahun.

Aisyah adalah seorang wanita berparas cantik yang berkulit putih kemerah-merahan pipinya dan dipanggil sebagai Aisyah Humaira'. Dia juga merupakan seorang wanita yang cerdas dan Allah S.W.T. telah mempersiapkannya untuk menjadi pendamping Rasulullah s.a.w.

Ahad, 1 Mac 2020

Angkat Sumpah Jawatan Perdana Menteri Malaysia Ke-8

Kuala Lumpur, 01/03/2020 - Setelah seminggu iaitu bermula hari Ahad lepas, negara kita menghadapi kemelut kepimpinan politik. Alhamdulillah, pada jam 10:33 pagi ini (Ahad, 1 Mac 2020), Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia Ke-8.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri di hadapan Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah telah diadakan di Istana Negara. Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ialah Sultan Pahang Darul Makmur yang merupakan seorang sultan di negeri kelahiran saya.

Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapat sokongan 114 orang ahli parlimen daripada 222 orang ahli Dewan Rakyat untuk membolehkannya beliau menjadi seorang Perdana Menteri Malaysia Ke-8. Jumlah 114 merupakan kepercayaan majoriti.

Kebawah Duli Yang di-Pertuan Agong Ke-16 memainkan peranan yang penting dalam pelantikan Perdana Menteri Malaysia Ke-8 ini selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Kemelut politik negara berlaku pada minggu lepas setelah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) keluar daripada Pakatan Harapan (PH) disusuli dengan perletakan jawatan Tun Dr Mahathir Mohamad, Perdana Menteri Malaysia Ke-7.

PH dalam Kerajaan Persekutuan Malaysia sebelum ini ialah gabungan PPBM, Parti Keadilan Rakyat, Parti Amanah Negara dan Parti Tindakan Demokratik (Democratic Action Party). Perikatan Nasional (PPBM, Parti Islam Se-Malaysia, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, Persatuan Cina Malaysia, Kongres India Malaysia dan parti-parti dari Sabah serta Sarawak) akan membentuk kabinet baharu dalam Kerajaan Persekutuan Malaysia selepas ini.

Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya: Mendengar dan mentaati pemerintah (adalah wajib) bagi setiap Muslim, sama ada dalam perkara yang disukai atau ataupun yang tidak disukai selagi dia tidak diperintahkan melakukan kemaksiatan. Jika dia diperintahkan melakukan kemaksiatan, maka tidak boleh dia mendengar dan mentaati. (Riwayat al-Bukhari).

Sabtu, 29 Februari 2020

Tarikh Empat Tahun Sekali Kembali Pada 2020

Kajang, 29/02/2020 - Tahun 2020 merupakan tahun lompat yang ke-12 sejak saya dilahirkan pada tahun 1975. Tarikh 29 Februari cuma hadir empat tahun sekali berbanding bulan Februari tahun yang lain.

Tahun biasa ada 365 hari dalam setahun sementara tahun lompat pula ada 366 hari dalam tahun Masihi dengan tambahan satu hari pada akhir bulan Februari.

Ia berlaku disebabkan pergerakan bumi mengelilingi matahari. Satu pusingan lengkap bumi mengelilingi matahari disebut sebagai satu tahun suria.

Tahun lompat berlaku disebabkan pergerakan bumi mengelilingi matahari sebenarnya mengambil masa 365 hari 6 jam. Oleh itu, lebihan 6 jam itu dikumpulkan sehingga cukup untuk dijadikan satu hari dan hari berkenaan diwujudkan pada tarikh 29 Februari setiap empat tahun. Kewujudannya adalah bertujuan memperbetulkan masa.

Tarikh 29 Februari merupakan hari yang ke-60 dalam tahun lompat. Sesiapa yang lahir pada 29 Februari, tarikh ini cuma muncul empat tahun sekali.

Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Tidak mudah bagi matahari mendapatkan (mengejar) bulan dan malam pula tidak dapat mendahului siang kerana masing-masing beredar di atas garisannya. (Surah Yasin: Ayat 40).

Yakinlah bahawa Allah telah menunjukkan tanda-tanda tersebut supaya manusia beriman kepada-Nya. Ia merupakan petunjuk yang benar dan jalan yang lurus. Dekatkan diri sentiasa kepada Allah.

Selasa, 25 Februari 2020

1 Rejab 1441 Pada 25 Februari 2020

Kuala Lumpur, 25/02/2020 - Di Malaysia, tarikh hari ini ialah 1 Rejab 1441 Hijrah bersamaan dengan 25 Februari 2020 Masihi. Hari ini ialah hari Selasa. Kehadiran bulan Rejab menujukkan bahawa bulan Ramadhan akan tiba tidak lama lagi. Bulan Syaaban pula terletak di antara Rejab dan Ramadhan. Rejab, Syaaban dan Ramadhan merupakan bulan ke-7, 8 dan 9 dalam kalendar tahun hijrah.

Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan dalam ketetapan Allah di waktu Dia mencipta langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram (Muharram, Rejab, Zulkaedah dan Zulhijjah). Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu (dengan melakukan perbuatan yang dilarang seperti mengadakan peperangan kecuali mereka diugut) pada bulan berkenaan (bulan yang empat itu). Perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa. (Surah at-Taubah: Ayat 36).

Bebarapa peristiwa telah berlaku di dalam bulan Rejab. 1-Hijrah pertama dalam Islam iaitu hijrah ke Habsyah (Ethiopia) pada tahun kelima kenabian Nabi Muhammad s.a.w. kerana berlakunya tekanan dan ancaman kepada umat Islam di Mekah. 2-Israk dan Mikraj iaitu peristiwa perjalanan Rasulullah s.a.w. dari Masjid al-Haram ke Masjid al-Aqsa serta diangkat ke langit bertemu Allah S.W.T. pada tahun kedua belas kenabian. 3-Peperangan Tabuk iaitu peperangan yang berlaku pada tahun kesembilan Hijrah di antara bangsa Rom dan tentera Islam, diketuai oleh Rasulullah s.a.w. tetapi peperangan berkenaan dimenangi oleh Islam tanpa pertumpahan darah. 4-Lahirnya Imam Syafie iaitu salah seorang imam yang terkenal telah lahir pada tahun 150 Hijrah. 5-Pembebasan dan kejatuhan Bayt al-Maqdis. Khalifah Umar al-Khattab membuka kota suci ini dan berjaya mempertahankannya selama 500 tahun. Musuh Islam menawannya kembali dan mereka mempertahankannya selama 50 tahun. Solahuddin al-Ayyubi merampas semula Bayt al-Maqdis pada 27 Rejab 583 Hijrah dan berjaya mempertahankannya selama 760 tahun. Mustafa Kamal Ataturk menghapuskan sistem Khalifah Islamiah selepas itu. Tahun 1387 Hijrah (1967 Masihi), Bayt al-Maqdis jatuh semula kepada musuh Islam sehingga kini (1441 Hijrah bersamaan dengan 2020 Masihi).

Jumaat, 22 November 2019

Doa' Yang Kerap Dibaca Oleh Rasulullah s.a.w.

Cheras, 22/11/2019 - Tajuk tazkirah pagi Jumaat tadi ialah Doa' Yang Kerap Dibaca Oleh Rasulullah s.a.w. Ia telah disampaikan oleh Ustaz Jeehan di dataran perhimpunan, Sekolah Kebangsaan Taman Puteri, Cheras, Hulu Langat, Selangor.

Daripada Anas r.a. beliau berkata (Ustaz Jeehan membaca matan Hadis): Maksudnya: Doa' Nabi s.a.w. yang paling sering diucapkan ialah Ya Allah, Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat serta peliharalah kami daripada seksa neraka. [Riwayat al-Bukhari (6389) dan Muslim (7016)].

Ini bukan bererti bahawa doa' itu hanya terbatas kepada doa' tersebut tetapi kita digalakkan untuk mengamalkan semua doa' yang baik.

Semoga kita dapat melazimi dan memperbanyakkan doa' dalam kehidupan seharian dan diterima permintaan kita kepada-Nya untuk menuju jalan bahagia.

Ya Allah, Ya Tuhan kami, terimalah doa' dan amalan kami. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.

Ustaz Jeehan menyanyikan beberapa baris nasyid yang bertajuk Jalan Bahagia. Nasyid asal daripada kumpulan Hijjaz.

Oh... Tuhan yang Esa.
Pada-Mu kami panjatkan doa'.
Moga dipeliharakan ditetapkan iman.
Dunia ini penuh cabaran.
Oh... Tuhan yang Esa.
Untuk-Mu kami tempuh segala.
Pandanglah dengan rahmat-Mu.
Pandangan kasih-Mu.
Pimpinlah kami jalan bahagia.
Selamanya.

Jumaat, 4 Oktober 2019

Banyakkan Selawat Pada Hari Jumaat

Cheras, 04/10/2019 - Tajuk tazkirah pagi Jumaat tadi ialah Banyakkan Selawat Pada Hari Jumaat. Ia telah disampaikan oleh Ustaz Jeehan di dataran perhimpunan, Sekolah Kebangsaan Taman Puteri, Cheras, Hulu Langat, Selangor.

Allah S.W.T. telah berfirman (Ustaz Jeehan membaca sepotong ayat al-Qur'an): Maksudnya: Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atasnya dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya. (Surah al-Ahzab: Ayat 56).

Hari Jumaat merupakan hari yang paling digalakkan kepada kita supaya memperbanyakkan beramal. Ini kerana, ia penuh dengan keberkatan dan kebaikan. Janganlah kita menangguhkan untuk mengerjakan amal kebajikan kerana amal yang baik akan dibalas dengan ganjaran pahala. Orang yang paling banyak berselawat kepada Rasulullah s.a.w. akan mendapat syafaat bagida pada hari akhirat nanti dan paling hampir dengan baginda.

Ustaz Jeehan menyanyikan beberapa baris nasyid yang bertajuk Ya Rasulallah menggunakan paparan karaoke daripada komputer riba yang dibawa sendiri. Nasyid asal daripada kumpulan Raihan.

Alangkah indahnya hidup ini.
Andai dapat kutatap wajahmu.

^kan pasti mengalir air mataku.
Ker^na pancaran ketenanganmu.

Alangkah indahnya hidup ini.
Andai dapat kukucup tanganmu.

Moga mengalir keberkatan dalam diriku.
Untuk mengikut jejak langkahmu.

Ya Rasulallah Ya Habiballah.
Tak pernah kutatap wajahmu.

Ya Rasulallah Ya Habiballah.
Kami rindu padamu.

Jumaat, 6 September 2019

Hikmah Mendirikan Solat

Cheras, 06/09/2019 - Tajuk tazkirah pagi Jumaat tadi ialah Hikmah Mendirikan Solat. Ia telah disampaikan oleh Ustaz Jeehan di dataran perhimpunan, Sekolah Kebangsaan Taman Puteri, Cheras, Hulu Langat, Selangor.

Allah S.W.T. telah berfirman (Ustaz Jeehan membaca sepotong ayat al-Qur'an): Maksudnya: Sesungguhnya Aku ini Allah, tiada Tuhan melainkan Aku, maka sembahlah Aku dan laksanakanlah solat untuk mengingati Aku. (Surah Toha: Ayat 14).

Ibadah solat akan mengingat dan menghampirkan diri seseorang hamba itu kepada penciptanya. Ia juga dapat menghapuskan dosa-dosa kecil yang kita lakukan. Di samping itu, solat dapat menghalang perbuatan keji dan mungkar iaitu akan menimbulkan rasa kehebatan, kebesaran, keagungan Allah dan gerun serta takut azab kemurkaan-Nya.

Solat boleh menenteramkan jiwa, seterusnya dapat mengawal tekanan jiwa. Solat juga melahirkan kejayaan, keberkatan dan kebahagiaan dalam hidup.

Ustaz Jeehan menyanyikan beberapa baris nasyid yang bertajuk Murah Hati (Dilwale). Lagu asal daripada Idris Shamsuddin (Versi Islamik).

Jangan, jangan, jangan, jangan kita tak solat.
Duit sana sini apa guna kalau tak berkat.
Hidup mewah di dunia tapi miskin di akhirat.
Janganlah sampai nanti dirimu tidak sempat bertaubat.

Sampai bila solat kita payah nak buat.
Kita ada niat tapi tangan berat nak angkat.
Takut nanti syaitan gelar kita bersahabat.
Cintakan dunia sampai kita semua lupakan akhirat.

Kumpulan Nasyid Hijjaz

Kumpulan Nasyid Hijjaz
Klik pada gambar untuk menonton video YouTube.

Anugerah Sahabat Hijjaz Setia

Kenangan di Negara Arab

WELCOME

WELCOME
http://jeehan75.blogspot.com

MURAQABAH

  • Naib 2007 SMKBBSL.
  • Dhabit 2009 SKSS.
  • Rais 2010 SKSI2 (SMKSAAS).
  • Naib 2012 SJK(C)B.
  • Rais 2013 SKTR (SMKSAAS).
  • Rais 2015 SKBT (SMKBTK).
  • Rais 2016 SKJE (SMKDABB).
  • Rais 2017 SKLA (SMKTK).
  • Rais 2018 SKBTHO2 (SMKTT).
  • Dhabit 2023 UIS & UTAR (SMKTT) Murafiq.