Melalui kajian- kajian sains, khasiat buah zaitun diiktiraf oleh dunia moden. Minyak zaitun mempunyai nilai yang tinggi dalam bidang perubatan. Seandainya minyak zaitun diambil sebagai bahan makanan, ia bertindak sebagai penambah zat makanan, mencuci dan membaik pulih perut dan menjadi penawar racun. Ia akan membantu pesakit gastrik dan juga yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang. Jika minyak zaitun diambil sebagai sapuan luaran, ia bertindak sebagai pelicin dan pelembut kepada kulit yang mengalami masalah serta dapat meremajakan kulit.
Minyak zaitun diklasifikasikan sebagai minyak diet yang sihat memandangkan ianya mengandungi asid lemak tidak tepu yang mampu merendahkan kolesterol berbahaya di dalam darah. Ia boleh digunakan dalam masakan menggantikan minyak masak kelapa sawit. Walaupun banyak pendapat mengatakan bahawa makanan yang dimasak atau digoreng menggunakan minyak zaitun tidaklah sesedap makanan yang digoreng dengan menggunakan minyak kelapa sawit, namun ia ada kelebihan tersendiri dari sudut kesihatan. Minyak masak selain yang berasaskan buah zaitun apabila digunakan berulang kali menyebabkan jumlah kolesterol teroksida dan menjadi tepu serta tidak elok untuk kesihatan. Kesannya dapat dilihat apabila minyak tersebut memerangkap sisa makanan serta berubah warna dan bau. Namun berbeza dengan minyak zaitun kerana ia boleh digunakan berulangkali, tidak akan mengalami proses pengoksidaan dan menjadi tepu serta tidak akan berubah dari segi warna dan bau. Setelah makan makanan yang digoreng menggunakan minyak zaitun, perut akan terasa ringan dan puas sehingga seseorang akan berhenti makan sebelum kenyang. Ini adalah kerana kesan daripada penguraian tenaga di hati oleh minyak zaitun yang mempunyai banyak kandungan zat yang bermanfaat.