Namun, mendidik anak pada zaman siber ini bukan suatu perkara yang mudah. Banyak cabaran terpaksa ditempuhi kerana anak-anak masa kini banyak pendedahan yang dipelajari daripada persekitaran dunia tanpa sempadan. Kadang-kadang ilmu mereka menjangkaui pengetahuan ibu bapa. Ilmu-ilmu yang bermanfaat tidak pernah kita rungsingkan sebaliknya menjadi kebanggaan tetapi ilmu-ilmu yang merosakkan itulah yang menghantui kebimbangan ibu bapa.
Bapa berperanan sebagai ketua keluarga. Ketetapan hukum ini termaktub dalam al-Qur’an. Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) (dengan beberapa keistimewaan) atas sebahagian yang lain (wanita) dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian daripada harta mereka. (Surah an-Nisak: Ayat 34).
Sebagai seorang bapa, mereka perlu gigih dan tidak berputus asa mendidik anak-anak serta membimbing keluarganya ke arah keredhaan Allah S.W.T. kerana ini adalah satu tanggungjawab yang akan dipersoalkan di hari akhirat kelak. Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka. (Surah at-Tahrim: Ayat 6).
SUMBER: Anis. Jun 2009.