Seorang pemimpin hendaklah berlaku adil dan berbuat baik terhadap orang bawahannya. Rasulullah s.a.w. merupakan contoh terbaik dalam melaksanakan tugas baginda sebagai seorang pemimpin dan pemerintah. Baginda sendiri pernah menziarahi jiran yang sakit. Pemimpin yang adil mesti berlaku amanah. Apabila amanah disia-siakan, maka tunggulah saat kehancuran yang Allah S.W.T. akan turunkan.
Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah, taatilah Rasul dan pemimpin-pemimpin kamu. Sekiranya kamu berlainan pendapat berkenaan sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al-Qur’an) dan Rasul (as-Sunnah) jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhirat. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. (Surah an-Nisak: Ayat 59).
Dalam khutbah yang kedua, khatib mengajak para jemaah supaya mendoa’kan keselamatan kepada sukarelawan-sukarelawan dan aktivis-aktivis keamanan untuk membantu rakyat Palestin. Mimbar Jumaat mengutuk sekeras-kerasnya serangan rejim Zionis kerana telah menyerang kapal bantuan kemanusiaan ke Gaza. Semasa menunaikan solat Jumaat, imam membacakan doa’ Qunut Nazilah.
Tiba di masjid ini tadi, saya masih lagi teringat suasana semasa saya berdiri di mimbar itu. Ketika belajar di sini, saya telah dilantik sebagai ketua kelas. Juga telah dilantik sebagai EXCO Dakwah dan Kerohanian dalam Jawatankuasa Kebajikan Pelajar (Jawatankuasa Perwakilan Pelajar) untuk Kursus Dalam Cuti (KDC). Saya pernah menjadi khatib untuk menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Imam asy-Syafie ini. Juga pernah menyusun giliran nama-nama khatib bagi menyampaikan khutbah Jumaat. Semasa saya mula belajar di sini, nama asalnya ialah Maktab Perguruan Islam (MPI) Bangi. Proses pertukaran nama MPI kepada Institut Perguruan Islam Selangor (IPIS) telah berlaku ketika saya menjadi pelajar KDC untuk Kursus Perguruan Lepas Ijazah (j-QAF kohort pertama, opsyen Bahasa Arab) antara bulan Januari 2005 hingga Jun 2006. Terkini, nama IPIS ialah IPGM Kampus Pendidikan Islam.