
Siang tadi (semalam), kami bertolak dari rumah ketika hujan lebat kira-kira jam 5:15 petang. Isi petrol sebelum meneruskan perjalanan. Tiba di Stadium Malawati kira-kira jam 6:30 petang. Berjalan-jalan di sekitar gerai jualan. Sempat juga bertemu rakan-rakan yang sudah lama tidak berjumpa.
Radio IKIMfm telah dilancarkan pada 6 Julai 2001 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad. Bercogankata 'Pilihan Utama Anda' menjadikan ia radio pilihan utama saya sejak sembilan tahun lalu.
Karnival Sambutan Ulangtahun Ke-9 Radio IKIMfm pada 9 hingga 11 Julai 2010 di Stadium Malawati Shah Alam bertujuan meraikan para pendengar IKIMfm yang telah memberikan sokongan berterusan kepada radio berkonsepkan Islam di negara ini.
Saya, isteri dan dua orang anak kami telah menghadiri acara kemuncak karnival sambutan kali ini dengan menyaksikan Konsert Mahabbah Gaza pada 10 Julai 2010 (Sabtu) bermula jam 8:30 malam. Majlis dimulakan dengan bacaan doa’, ucapan, persembahan nasyid dan puisi. Artis-artis nasyid yang kami saksikan persembahan mereka mengikut turutan ialah Raihan, Ummul Qura, Inteam, Saujana, Nowseeheart dan Rabbani. Tidak ketinggalan “Disk Jockey” (DJ) atau para penyampai IKIMfm seramai 11 orang turut tampil membuat persembahan khas di konsert ini. Tarikh 10 Julai 2010 bersamaan dengan 27 Rejab 1431 mengingatkan saya berkenaan peristiwa Israk dan Mikraj.