Surah al-Qadr terdiri daripada 5 ayat dan termasuk golongan surah-surah Makiyyah. Ia merupakan surah yang ke-97 di dalam al-Qur’an. Dinamakan al-Qadr (kemuliaan) kerana diambil daripada perkataan al-Qadr yang terdapat pada ayat pertama surah ini.
Surah al-Qadr menerangkan kepada kita bahawa permulaan al-Qur’an diturunkan pada Lailah al-Qadr. Juga menerangkan kepada kita berkenaan kelebihan malam tersebut. Sesiapa yang beramal ibadat pada malam al-Qadr, pahalanya akan digandakan dan mendapat ganjaran lebih banyak daripada malam-malam yang lain. Beramal ibadat pada satu malam tersebut ganjarannya lebih baik daripada beramal ibadat selama seribu bulan (83 tahun 4 bulan).
Untuk menentukan malam al-Qadr, timbul beberapa pendapat daripada para alim ulamak. Pendapat yang lebih kuat mengatakan malam yang ganjil iaitu malam ke-21, 23, 25, 27 atau 29 pada bulan Ramadhan.
Malam al-Qadr tidak ditentukan dengan tepat supaya kita bersungguh-sungguh beramal ibadat pada 10 malam terakhir daripada bulan Ramadhan.