Umur manusia sekarang jarang melebihi 100 tahun. Purata umur manusia sekarang ialah 60 hingga 80 tahun sahaja. Setiap manusia pasti mati dan meninggalkan dunia. Para nabi dan rasul juga meninggal dunia (wafat).
Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Di mana saja kamu berada, kematian akan mendapatkan kamu walaupun kamu di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh. (Surah an-Nisak: Ayat 78).
Manusia berasal daripada tanah dan kembali kepada tanah. Roh yang menyebabkan kita hidup. Alam barzakh akan dihadapi oleh kita semua. Bagi jenazah yang beriman, alam barzakh merupakan tempat yang damai untuknya. Akhir zaman ini, sedikit sahaja daripada kita yang mengingati mati. Buatlah persediaan untuk kehidupan selepas mati.
Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Setiap yang berjiwa akan marasakan mati dan sesungguhnya pada hari kiamat sajalah disempurnakan pahalamu. Sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke dalam syurga, maka dia telah beruntung. Kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah kesenangan yang memperdayakan. (Surah Ali Imran: Ayat 185).
Menghadapi kematian pemimpin yang disayangi memang memeritkan. Kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. juga mesti diterima oleh umatnya. Allah S.W.T. sahaja yang tidak mati. Para nabi dan malaikat pun cuma mengetahui sebahagian sahaja daripada perkara-perkara ghaib. Ingatlah dan sedarlah bahawa alam barzakh serta padang mahsyar menanti kedatangan kita.
Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: (Dia ialah Tuhan) Yang Mengetahui yang ghaib, maka Dia tidak memperlihatkan kepada seorang pun tentang yang ghaib itu. Kecuali kepada rasul yang diredhai-Nya, maka sesungguhnya Dia mengadakan penjaga-penjaga (malaikat) di muka dan di belakangnya. (Surah al-Jin: Ayat 26 dan 27).
Juga telah berfirman: Maksudnya: Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang rasul dan telah berlalu (wafat) sebelumnya beberapa orang rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh (khabar angin ketika perang Uhud), kamu berbalik ke belakang (murtad)? Sesiapa yang berbalik ke belakang, maka dia tidak dapat mendatangkan mudharat kepada Allah sedikit pun dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur. (Surah Ali Imran: Ayat 144).