Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan, menyuruh berbuat kebaikan (perbuatan yang mendekatkan diri kepada Allah) serta mencegah daripada segala yang salah (perbuatan yang menjauhkan diri daripada Allah). Merekalah orang-orang yang berjaya. (Surah Ali Imran: Ayat 104).
Seorang guru yang beragama Islam mesti bercita-cita menjadi guru yang memiliki 5M iaitu mudarris, mu’allim, muaddib, murabbi dan mursyid.
Guru sebagai mudarris (pengajar) menyampaikan ilmu di dalam kelas tidak kira apa mata pelajaran tanpa jemu dan bosan. Alangkah malangnya jika guru mudah putus asa dalam menyampaikan ilmu.
Guru sebagai mu’allim (orang yang berilmu dan menyampaikan). Sebagai mu’allim, para pendidik mesti menguasai bidang yang diajarnya. Pastikan dia memiliki ilmu dan kefahaman yang benar kerana ilmu yang silap diajar akan ditanggung oleh murid.
Guru sebagai muaddib (pendidik adab dan akhlak) iaitu orang yang mengajar anak muridnya tentang adab dan tingkah laku yang baik. Menyemai sifat terpuji (mahmudah) dan menyingkirkan sifat keji (mazmumah).
Guru sebagai murabbi (penjaga/pemelihara) yang menjaga kebajikan anak didik. Guru sebenarnya mewarisi sifat Tuhan iaitu tidak membiarkan murid-muridnya seperti Tuhan tidak membiarkan makhluk-Nya begitu sahaja. Guru sewajarnya mengambil tahu kehidupan mereka.
Guru sebagai murysid (pembimbing jalan yang benar). Tunjukkan kebenaran dan bimbing mereka ke arah kebenaran itu. Bimbing jiwa, perasaan dan pemikiran supaya mereka sentiasa di atas landasan yang benar. Manusia apabila hatinya benar, jalannya akan menjadi lurus.