![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjO_W1bCQjWerO8fQgeUrF2SL5cqWsOMmZftsuCMZZrMvILe1noX7rEroFAaS8tDB1isQWA81MVnxj5DcBoVWheQIhY74XczIrSzJhJU1tb5GQi51pGXjPrwikyouZpOZPiiUzfWLgUGiQ-/s320/Abu+Bakar+as-Siddiq.gif)
Abu Bakar as-Siddiq merupakan sahabat Nabi Muhammad s.a.w. yang paling rapat sekali. Perjalanan hijrah baginda dari Kota Mekah ke Kota Madinah ditemani oleh Abu Bakar as-Siddiq. Beliau termasuk di antara orang yang dijamin masuk ke syurga oleh baginda. Pengorbanannya untuk Islam amat besar. Seluruh jiwa dan hartanya dibelanjakan demi untuk mempertahankan Islam.
Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya: Aku bermimpi semasa aku sedang mengambil air dari sebuah perigi. Tiba-tiba datang Abu Bakar memegang baldi yang telah aku gunakan itu dan beliau mengambil sebaldi atau dua baldi air dari perigi tersebut dengan lemah. Maka Allah mengampuninya. (Riwayat al-Bukhari).
Hadis ini menunjukkan bahawa Abu Bakar as-Siddiq dilantik sebagai khalifah yang pertama selepas Nabi Muhammad s.a.w. Di awal pemerintahannya, Abu Bakar as-Siddiq telah melaksanakan tugasnya dengan menghantar tentera yang diketuai oleh Usamah bin Zaid untuk memerangi orang-orang murtad yang tidak mahu membayar zakat selepas Nabi Muhammad s.a.w.
Khalifah Abu Bakar as-Siddiq tidak menggunakan jawatan yang disandangnya sebagai batu loncatan untuk mencari kemegahan dan kemewahan hidup di dunia. Kekuasaanya digunakan untuk kesenangan umat Islam. Baginya, kepentingan umat Islam mesti diutamakan terlebih dahulu daripada kepentingan diri sendiri dan keluarga.
Pada tahun 13 Hijrah, Khalifah Abu Bakar as-Siddiq telah wafat (meninggal dunia) selepas memerintah selama dua tahun, tiga bulan dan tiga hari. Walaupun menjadi khalifah dalam tempoh masa yang singkat, beliau telah banyak berjasa untuk umat Islam. Inilah tokoh pemimpin yang mesti dipelajari sejarahnya dan mesti diikuti jejaknya oleh semua pemimpin dunia yang inginkan keredhaan Allah S.W.T. dan balasan syurga-Nya.