![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjTYrR-6Go7dI5VotRpNKytlUkDYEleg1_5ZwKp9BSWTeD4mxY_gKJr4jTar43B1pYWmu10o0JvfB_NTdx895yKoitB6A1dWBzbc17tBhHzQeSCANMLoMlmbmqOtaJBB8LC5ajHr-OZhF6I/s320/Nabi+Idris.jpg)
Nabi Idris a.s. adalah daripada keturunan anak Nabi Adam a.s. Baginda banyak mempelajari ilmu agama dengan anak Nabi Adam a.s. yang bernama Syith semasa baginda masih kanak-kanak. Setelah dewasa, Allah S.W.T. telah memilihnya untuk menyeru manusia yang telah sesat dan meninggalkan ajaran yang telah dibawa oleh Nabi Adam a.s. Sebanyak 30 sahifah telah diturunkan oleh Allah S.W.T. kepada Nabi Idris a.s. yang mengandungi ajaran daripada-Nya untuk disampaikan kepada umatnya. Umatnya berasal daripada keturunan Qabil.
Guru Nabi Idris a.s. yang bernama Syith merupakan anak lelaki ketiga Nabi Adam a.s. Habil dan Qabil ialah abangnya. Dia adalah satu-satunya anak Nabi Adam a.s. dilahirkan oleh Hawa’ yang tidak mempunyai kembar (anak-anak yang lain dilahirkan kembar dan berpasang-pasangan). Dia dilahirkan selepas tragedi pembunuhan Habil oleh Qabil. Hawa’ percaya kepada kekuasaan Allah S.W.T. yang akan menggantingkan Habil dengan yang lain. Oleh itu, Allah S.W.T. telah memberikan Syith sebagai pengganti dan diangkat sebagai salah seorang daripada para nabi yang diutuskan.
Nabi Idris a.s. sangat berani dan gagah di dalam menjalankan tugas dakwah yang diamanahkan oleh Allah S.W.T. kepadanya. Baginda digelar “Asad al-Usud” yang bermaksud ‘Singa daripada segala singa’. Di antara ilmu-ilmu yang baginda miliki ialah menunggang kuda, ilmu bintang, berhitung, menggunting pakaian dan menjahit. Baginda juga dianugerahkan kepandaian di dalam pelbagai disiplin ilmu kemahiran serta mencipta peralatan yang digunakan manusia sekarang ini seperti penulisan, matematik, astronomi dan lain-lain lagi.