![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjKTvz8PMQXy23U1xZU775Fzr6Fko3rP20rUE65srVrRMfTLjH7ynkwW4F9x8siZLij6JRbwuGml9pHrXCSkoT2tcF7C2WnIivYJ5UJ5MyYqM5hRBR8KXyc3AZOe1S75rLS9E-yFQy9KwxF/s320/Majalah+Anis+Jun+2013.jpg)
Fenomena gangguan sihir, saka, santau dan sebagainya telah lama berlaku dan berakar umbi dalam masyarakat Melayu. Ia dikatakan ada kaitan sejarah umat Melayu dahulu kala yang tidak dapat dipisahkan dengan ajaran-ajaran berunsur animisme, Hinduisme, budaya khurafat yang memuja jin dan sebagainya.
Nampaknya kemajuan, kemodenan dan kecanggihan tidak berupaya mengekang pengamalan sihir ini bahkan pengamalan sihir juga turut subur dan terus aktif di alaf 21 ini.
Walaupun Allah dan Rasul telah mengharamkan sihir namun amalan sihir terus sahaja berleluasa dan diguna pakai oleh manusia zaman ini termasuk yang mengaku sebagai umat Islam. Apakah mereka tidak takut akan dosa dan kemurkaan Allah?
Gangguan sihir, saka, santau dan sebagainya adalah antara manifestasi dendam iblis dan syaitan yang panjang sepanjang umur iblis dan sihir itu sendiri. Dendamnya kepada Nabi Adam a.s. dan zuriat keturunannya sampai hari kiamat.
Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Yang dilaknat Allah dan syaitan itu mengatakan: “Aku benar-benar akan mengambil daripada hamba-hamba Engkau bahagian yang sudah ditentukan [untuk aku].” (Surah an-Nisak: Ayat 118).
Bahagian yang sudah ditentukan [untuk aku] tafsirannya ialah pada setiap manusia itu ada persediaan untuk baik dan ada persediaan untuk jahat, syaitan akan mempergunakan persediaan untuk jahat bagi mencelakakan manusia.
SUMBER: Anis. Jun 2013.