Kuala Lumpur, 26/07/2014 – Warga kota mula meninggalkan ibu negara untuk pulang ke kampung halaman bagi menyambut A’idil Fitri pada 1 Syawwal yang akan menjelma beberapa hari sahaja lagi. Saya, isteri dan tiga orang anak kami juga mengambil peluang cuti kali ini pulang menziarahi emak saya di kampung. Saya memandu kenderaan jenis Proton Exora.
Tarikh hari ini ialah 28 Ramadhan 1435 Hijrah bersamaan dengan 26 Julai 2014 Masihi. Sebelum bertolak dari rumah di Kajang dan dalam perjalanan menuju ke Pahang Barat, saya serta isteri menggunakan aplikasi WhatsApp untuk mengetahui keadaan trafik semasa. Rakan-rakan, adik-beradik dan saudara-mara boleh menghantar mesej serta gambar melalui aplikasi ini menggunakan talian internet dengan telefon pintar masing-masing. Kami mendapat maklumat berlaku kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (E8). Kesesakan bermula sebelum Plaza Tol Gombak menuju ke Pantai Timur.
Pagi tadi, saya memandu kenderaan
di Lebuhraya Cheras-Kajang (E7) dan Lebuhraya
Lingkaran Tengah 2 atau Middle Ring Road 2 (MRR2). Pada jam 12:00 tengah hari, kami
sampai ke persimpangan sebelum Plaza Tol Gombak. Kami tidak
masuk ke plaza tol berkenaan kerana telah berlaku kesesakan lalu lintas tetapi saya
membelok ke jalan di sebelah kiri plaza tol. Saya terus menuju ke Jalan Sungai
Pusu dan masuk ke Jalan Gombak.
Saya memandu di Jalan Gombak dan
meneruskan perjalanan hingga sampai berhampiran Kampung Janda Baik menuju ke bandar
Bentong melalui Jalan Kuala Lumpur. Kami terus menuju ke bandar Raub dan
berhenti membeli barang-barang dapur di Pasar Besar Raub. Kami meneruskan
perjalanan dan berhenti solat di Masjid al-Hidayah, Kampung Batu Talam.
Saya terus memandu kenderaan dan merentasi
sempadan daerah Raub-Kuala Lipis. al-Hamdulillah, akhirnya kami selamat
sampai ke perkarangan rumah emak saya yang terletak di daerah Lipis pada jam 4:40
petang.