Maksud hadis: Daripada Abu Hurairah
r.a. telah berkata: Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Orang beriman yang kuat
lebih baik dan lebih disukai oleh Allah berbanding daripada orang beriman yang
lemah. (Riwayat Muslim).
Agama Islam mendidik umatnya untuk mencapai kebahagiaan dunia dan
akhirat. Jadi, amalan beriadah atau bersukan menjadi sebahagian perkara yang
perlu diberi perhatian bagi melahirkan masyarakat cerdas pemikiran dan kuat
fizikal.
Umat Islam tanpa mengira usia dan kedudukan wajar memanfaatkan
masa terluang dengan melakukan senaman dan bersukan untuk mengekalkan
kecergasan tubuh badan seterusnya dapat menunaikan amal ibadah yang difardhukan
dengan sempurna dan penuh khusyuk.
Nabi Muhammad s.a.w. sentiasa mengingatkan umatnya supaya menjaga
kesihatan, kuat dan terhindar daripada sebarang penyakit yang memudaratkan. Ini
penting kerana kekuatan tenaga dan fizikal akan dapat melahirkan rasa gerun
dalam kalangan musuh Islam yang sentiasa mengambil kesempatan untuk melakukan
ancaman dan provokasi terhadap umat Islam.
Nabi kita juga sentiasa menunjukkan
contoh terbaik kepada para sahabatnya dalam soal ibadah mahupun perkara yang membabitkan
kehidupan seharian. Baginda melakukan aktiviti riadah seperti memanah, berkuda,
berenang, bergusti dan berlumba lari. Otak yang cerdas datangnya daripada badan yang sihat.