Apakah PBD? PBD merupakan pentaksiran yang berterusan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran bagi mendapatkan maklumat tentang perkembangan, kemajuan, kebolehan dan pencapaian murid. PBD berlaku secara formatif dan sumatif; sebagai pembelajaran, untuk pembelajaran dan tentang pembelajaran.
Bila PBD bermula? PBD dahulunya dikenali sebagai Pentaksiran Sekolah (PS) bermula pada tahun 2011. Pada tahun 2016, PS mula dikenali sebagai PBD.
Apakah perbezaan PBS dan PBD? PBS ialah Pentaksiran Berasaskan Sekolah, suatu pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani). Ini selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Oleh itu terdapat empat komponen dalam PBS iaitu Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
PBD pula ialah pentaksiran yang berlaku secara berterusan sepanjang PdP, bagi semua mata pelajaran. PBD bukanlah untuk membandingkan tahap penguasaan antara seorang murid dengan murid yang lain, tetapi ia bertujuan untuk melihat perkembangan kemajuan murid dalam pembelajaran di samping membantu guru menambah baik pengajaran mereka.