Pelaksanaan KBS hari ini memang mengikut perancangan kerana telah termaktub di dalam takwim sekolah. Pihak penyelaras mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa dan penjaga yang memberi sumbangan berbentuk kewangan kepada program ini. Juga diucapkan terima kasih kepada guru-guru yang telah menjadi fasilitator termasuk guru-guru pelatih yang menjalani praktikum di sekolah ini.
Model Bestari Solat adalah sebahagian daripada program j-QAF (Jawi, al-Qur'an, Bahasa Arab dan Fardhu A'in) yang wajib dilaksanakan. Ia dikategorikan sebagai aktiviti kokurikulum Pendidikan Islam dan dimasukkan dalam takwim sekolah. Pelaksanaannya juga memerlukan kerjasama semua pihak terutama penglibatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), guru-guru sedia ada di sekolah dan tidak semata-mata diserahkan kepada guru Pendidikan Islam.
Aspek solat ditekankan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam (PI). Guru Pendidikan Islam (GPI) program j-QAF bersama dengan GPI sedia ada akan menggunakan sebahagian daripada waktu PI untuk menerap dan mengukuhkan aspek solat kepada murid-murid secara mingguan.
Diharap pelaksanaan kem ini akan memberi kesan kepada murid-murid dalam meningkatkan kemahiran, kesungguhan dan rasa tanggungjawab untuk melaksanakan fardhu ain yang diperintahkan oleh Allah.