Pada malam ini, apa yang telah kami rancangkan telah berjaya dilaksanakan. Majlis ramah mesra tersebut dihadiri oleh ahli-ahli keluarga penghuni di sini. Di samping itu juga, kami menjemput wakil-wakil dari jalan yang berhampiran di fasa IXORA ini. Sebelum maghrib, kami telah bersiap-siap serba sedikit dengan memasang api di tempat untuk membakar lauk-lauk BBQ. Ada ikan, ayam dan daging. Yang istimewanya daging tersebut ialah daging kambing.
Selepas solat Maghrib, kami telah mula membakar lauk-lauk itu di atas tempat pembakar yang menggunakan arang. Selepas lauk-lauk sebahagiannya telah masak, majlis pun dimulakan. Saya diminta membacakan doa'. Saya pun mulakan dengan ucapan salam, bacaan surah al-fatihah dan berdoa'. Majlis diteruskan dengan sedikit ucapan daripada Penolong Pengerusi Wakil Penduduk Fasa IXORA, Impian Murni. Beliau juga tinggal di Jalan 3/4. Para hadirin dipersilakan menjamu selera. Aktiviti BBQ diteruskan sambil makan dan minum. Nampaknya ramai yang meminati daging kambing bakar termasuk kanak-kanak. Lain-lain juadah, kami bawa dari rumah masing-masing.
Dengan adanya majlis seperti ini, diharapkan kami yang berjiran dapat menjadikan ia sebagai salah satu cara untuk bersatu-padu, bekerjasama dan bantu-membantu. Juga boleh merapatkan lagi hubungan baik sesama jiran sama ada yang telah berkenalan sebelum ini atau yang baru berkenalan sebentar tadi. Pada masa akan datang, saya dan kawan-kawan merancang untuk mangadakan majlis lebih besar yang melibatkan semua penduduk di fasa IXORA, Impian Murni ini.