Perkemahan Ibadah ini merupakan salah satu pengisian untuk pembangunan Islamiah peribadi murid-murid Pendidikan Islam di sekolah ini. Program ini mengandungi pelbagai aktiviti yang lebih menekankan kepada peningkatan dari sudut kerohanian dan pemahaman kewajipan di kalangan murid-murid. Program ini juga telah memberikan pendedahan kepada murid-murid tentang Qiyamullail atau solat Tahajjud. Amalan ini antara amalan sunat yang paling berat untuk dilaksanakan. Sedangkan inilah amalan yang selalu diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. dan para Sahabat r.a.
Program ini dapat memberikan pendedahan kepada murid-murid berkenaan bentuk-bentuk amalan yang boleh dilakukan untuk meningkatkan kerohanian diri. Mereka juga dapat merasai pengalaman dan penghayatan solat Tahajjud secara berjemaah di sepertiga malam. Di samping mendapat penjelasan yang lebih terperinci mengenai kepentingan solat dan tanggungjawab sebagai seorang yang beriman.
Semua guru SKTP diberikan tugas tertentu untuk kelancaran program. Daripada proses pendaftaran peserta semalam hinggalah ke majlis penutup hari ini. Solat Maghrib dan kuliah Maghrib dikendalikan oleh Ustaz Saaban SKTP. Solat Isyak, solat Hajat dan bacaan surah Yasin dikendalikan oleh Ustaz Norsalami, Imam Masjid Subang Jaya. Qiamullail atau solat Tahajjud dikendalikan oleh Ustaz Azam SKTP. Solat Subuh dan kuliah Subuh dikendalikan oleh Ustaz Jeehan SKTP.