Kira-kira jam 8:00 pagi, murid-murid bersama ibu bapa masing-masing mula hadir mendaftarkan diri di kaunter pendaftaran. Majlis dimulakan kira-kira setengah jam kemudian dengan kata-kata aluan daripada pengacara majlis. Saya memimpin bacaan doa’. Selepas itu, ia diteruskan dengan ucapan Pengetua Tadika Permata Harapan dan perarakan masuk murid-murid yang juga peserta-peserta sukan ke tengah padang. Dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku dan Lagu Negeri Selangor. Diteruskan dengan persembahan silat dan senamrobik zikir rentak nasyid.
Pertandingan sukan bermula. Acara-acara yang dipertandingkan ialah junjung pundi kacang, bawa bola ping-pong, kutip gula-gula, lari berkembar, “jumping pony” dan “musical chair”. Acara ibu bapa bersama anak seperti pertandingan memakai kain pelikat, menyuap kek dan makan epal juga diadakan.
Murid-murid dibahagikan kepada tiga buah rumah sukan. Tholhah (Hijau), Abu Dzar (Merah) dan Zubair (Kuning). Rumah Hijau (Tholhah) ialah johan keseluruhan sukan tahunan kali ini. Anak saya merupakan salah seorang daripada peserta Rumah Hijau (Tholhah).
Tema hari sukan pada kali ini ialah ‘Mukmin Yang Kuat Lebih Dicintai Allah Daripada Mukmin Yang Lemah’. Program hari ini diakhiri dengan penyampaian hadiah dan cabutan bertuah. Tahniah diucapkan kepada pihak pengurusan Tadika Permata Harapan Impian Murni kerana telah dapat mengadakan hari sukan kali pertama ini dengan jayanya.