
Begitu mudah menyampaikan maklumat sekarang. Sekiranya tidak berhati-hati, kita akan termasuk dalam golongan penyebar fitnah. Era siber yang diheboh-hebohkan sekarang memang mendedahkan kita kepada berbagai-bagai bentuk fitnah. Tidak dinafikan bahawa internet adalah sumber segala ilmu tetapi menjadi pusat mengumpul dan menyebar fitnah jika jaringan elektronik ini disalah gunakan.
Maklumat palsu amat mudah tersebar di alam siber tanpa sempadan ini. Zaman dulu, orang bersusah payah menulis dan menyebarkan surat layang untuk memfitnah seseorang. Kini tidak perlu lagi surat layang kerana fitnah lebih mudah dan lebih cepat dihantar menerusi kaedah elektronik.
Fitnah amat berbahaya kerana boleh menyebabkan porak peranda dan boleh memecahkan perpaduan ummah. Menyebarkan fitnah dengan apa cara sekali pun, termasuk menggunakan kecanggihan siber adalah satu dosa besar.
Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Dan fitnah itu lebih sangat (dosanya) daripada pembunuhan. (Surah al-Baqarah: Ayat 191).
Juga telah berfirman: Maksudnya: Dan fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan. (Surah al-Baqarah: Ayat 217).
Elakkan diri daripada menjadi penyebar fitnah. Jika menerima maklumat, pesanan atau komen melalui e-mel, laman web, laman blog dan laman sosial, jangan mudah menghantar apa yang diterima itu kepada orang lain. Pastikan dahulu kesahihannya dengan menyemak sumber.
Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepada kamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada satu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatan itu. (Surah al-Hujurat: Ayat 6).
Kecanggihan teknologi maklumat sebenarnya memudahkan kita untuk berkomunikasi dan meneroka alam siber serta memperolehi pelbagai ilmu. Sekiranya kita tidak menggunakan teknologi moden ini secara bijak dan menyalah gunakan kemudahan yang disediakan, kita akan terjerumus ke dalam golongan penyebar fitnah.