Anak sulung saya yang berumur lima tahun telah menduduki peperiksaan akhir tahun pada 4, 5 dan 6 Oktober 2010 yang lalu. Ibu bapa dapat melihat prestasi anak masing-masing berdasarkan keputusan peperiksaan tersebut. Juga dapat membuat perbandingan dengan prestasi berdasarkan peperiksaan pertengahan tahun yang telah diadakan pada bulan Mei lepas. Anak sulung saya masih mengekalkan keputusan gred A dengan markah keseluruhan yang sama.
Anak sulung saya belajar di tadika ini pada hari Isnin, Selasa, Rabu, Khamis dan Jumaat mulai jam 7:30 pagi hingga 11:30 pagi. Oleh kerana saya dan isteri bekerja, ia dilanjutkan untuk penjagaan harian sehingga jam 3:00 petang. Untuk memenuhi masa tersebut, saya telah daftarkan anak saya di kelas menghafaz surah-surah al-Qur’an (Little Hafiz) mulai jam 11:30 pagi hingga 12:00 tengah hari. Setakat ini, pihak tadika tidak mengenakan bayaran lebih masa jika anak saya diambil sebelum jam 3:30 petang. Kadang-kadang, saya atau isteri terpaksa juga mengambil anak selepas jam 3:30 petang sekiranya ada hal yang tidak dapat dielakkan. Bayaran lebih masa dikenakan mengikut jam.
Dengan adanya hari perjumpaan bersama ibu bapa dan guru (Report Day) kali kedua pada petang ini, ibu bapa dapat melihat prestasi anak masing-masing berdasarkan keputusan peperiksaan. Di samping itu juga, ibu bapa dan guru dapat berbincang mengenai tahap kemajuan pembelajaran dan pencapaian serta perkembangan semasa anak-anak. Selain itu, ibu bapa boleh menyuarakan perkongsian idea, pendapat atau komen mengenai keseluruhan perjalanan tadika.