Dinar emas merupakan mata wang berasaskan emas yang dicadangkan digunakan di seluruh dunia terutama di negara-negara Islam. Emas yang disimpan dalam apa-apa bentuk sekali pun adalah wajib dizakatkan apabila ia melebihi berat asas nisab iaitu 85 gram. Bagi mendapatkan nilai zakat, ambil semua emas yang disimpan dan timbang. Kemudian darabkan dengan harga emas semasa dan darabkan dengan 2.5 peratus.
Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya sebahagian besar daripada orang-orang alim Yahudi dan rahib-rahib Nasrani benar-benar memakan harta orang dengan jalan yang batil serta menghalang (manusia) dari jalan Allah. Juga orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak menafkahkannya pada jalan Allah, maka beritahukanlah kepada mereka (bahawa mereka akan mendapat) azab yang pedih. (Surah at-Taubah: Ayat 34).
Dinar untuk wang emas dan dirham untuk wang perak merupakan mata wang Islam sebenar. Emas mempunyai nilai yang tinggi dan diiktiraf sebagai wang di seluruh dunia. Nilainya lebih stabil daripada wang kertas dan boleh digunakan sebagai harta simpanan, harta cagaran di pusat-pusat gadaian, sumbangan, derma, sedekah, hadiah, bayaran mas kahwin dan lain-lain.
Istilah ‘Dinar’ dipilih berdasarkan mata wang Islam yang pernah digunakan di Kota Madinah pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. Dinar emas telah diperluaskan lagi pada zaman Khalifah-khalifah ar-Rasyidin dan tersebar hingga ke lain-lain kawasan di dunia ini.
Khalifah Umar al-Khattab telah menetapkan berat syiling emas tujuh dinar (seberat 4.25 gram untuk satu dinar berketulenan 916) ialah bersamaan dengan berat syiling perak sepuluh dirham (seberat 3 gram untuk satu dirham berketulenan 999).