Menyambut kedatangan tahun baru masihi bukanlah sesuatu yang salah tetapi cara sambutan dan orang-orang yang menyambutnya. Mereka menyambutnya dengan cara yang salah kerana inginkan keseronokan semata-mata. Sepatutnya ia diselitkan dengan unsur kesyukuran dan ingatan kepada Allah S.W.T.
Perkataan ‘Masihi’ diambil daripada gelaran al-Masih bagi Nabi Isa a.s. Sempena tahun baru masihi kali ini, marilah sama-sama kita mengingati semula kisah kelahiran Nabi Isa a.s. berdasarkan al-Qur’an.
Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: (Ingatlah), ketika malaikat (Jibril) berkata: “Wahai Maryam, sesungguhnya Allah mengembirakan kamu (dengan kelahiran seorang putera yang diciptakan) dengan kalimah (yang datang) daripada-Nya, namanya al-Masih Isa putera Maryam, seorang terkemuka di dunia dan akhirat serta termasuk orang-orang yang didekatkan (kepada Allah). Dia juga berbicara dengan manusia dalam buaian dan ketika dewasa serta dia termasuk di antara orang-orang yang saleh”. (Surah Ali Imran: Ayat 45 dan 46).
Nabi Isa a.s. ialah anak kepada Maryam yang telah dibesarkan oleh Nabi Zakaria a.s. Kitab Injil telah diturunkan sebagai syariat yang akan diikuti oleh orang-orang yang beriman ketika itu. Kelahiran baginda adalah suatu ketentuan Allah S.W.T. kerana Nabi Isa a.s. tidak mempunyai ayah.
Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Maryam berkata: “Wahai Tuhanku, betapa mungkin aku mempunyai anak, padahal aku belum pernah disentuh oleh seorang lelaki pun”. Allah berfirman (dengan perantaraan Jibril): “Demikianlah Allah menciptakan apa yang dikehendaki-Nya. Apabila Allah berkehendak menetapkan sesuatu, maka Allah hanya cukup berkata kepadanya: ‘Jadilah’, lalu jadilah dia”. (Surah Ali Imran: Ayat 47).
Ini bagi membuktikan kepada manusia bahawa Allah amat berkuasa melakukan apa yang disukai-Nya. Apa yang berlaku adalah untuk menguji keimanan manusia pada zaman itu hinggalah hari kiamat nanti.
Allah S.W.T. telah mengajar Nabi Isa a.s. ilmu menulis, hukum-hukum agama dan kitab-kitab yang diturunkan sebelumnya seperti kitab Taurat. Baginda dianugerahkan kitab Injil sebagai syariat.
Nabi Isa a.s. dilantik oleh Allah S.W.T. sebagai seorang rasul kepada Bani Israil yang juga dikenali sebagai kaum Yahudi. Baginda melaksanakan tugasnya sebagai seorang rasul dengan tekun dan sabar.