Hari ini bersamaan dengan 12 Ramadhan 1432. Sempena bulan Ramadhan dan Nuzul al-Qur’an pada tahun ini, para jemaah diingatkan bahawa al-Qur’an diturunkan bertujuan untuk memimpin manusia.
Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Sesungguhnya al-Qur’an ini memberi petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang-orang beriman yang mengerjakan amal soleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar. (Surah al-Israk: Ayat 9).
Rasulullah s.a.w. telah berjaya mendidik para sahabat baginda menjadi generasi al-Qur’an. Mereka sanggup berjihad di jalan Allah dan sebahagian daripada mereka sanggup menyerahkan harta untuk tujuan tersebut. Mereka juga sanggup mati syahid kerana mempertahankan agama Islam.
Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Di antara orang-orang beriman itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah. Maka di antara mereka ada yang gugur dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu (apa yang Allah janjikan) dan mereka sedikit pun tidak mengubah (janji). (Surah al-Ahzab: Ayat 23).
Para sahabat Rasulullah s.a.w. merupakan generasi al-Qur’an yang terbaik. Generasi al-Qur’an boleh dilahirkan semula jika kita kembali kepada al-Qur’an.
Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia. Menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar serta beriman kepada Allah. (Surah Ali Imran: Ayat 110).
Menuurut Syed Qutb, generasi al-Qur’an pada masa kini dapat dilahirkan kembali jika kita mencintai al-Qur’an dan menjadikannya sebagai sumber kehidupan. Kita mestilah memiliki ketaatan yang tidak berbelah bahagi kepada Allah dan meninggalkan jahiliyah moden.
Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Kitab (al-Qur’an) ini tidak ada keraguan padanya. Petunjuk bagi mereka yang bertakwa. (Surah al-Baqarah: Ayat 2).
Kita juga mesti mentauhidkan Allah dengan aqidah yang benar. Allah menurunkan al-Qur’an sebagai sumber rujukan kepada umat manusia.