![](https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEjzRTlhmPuvFmfpx47BM0n3WlwElJ5OdyXyVu0pwq_Lfc5wjzLBY_aQ6XwukJMij5D5zYwHS6TLUUh2VAs1eMmIFDqQCUPKfh4Vs1HrFV-lyKZqGrG5-Zt1qBPe9QAL-A0jCYSkgtEyw3iI/s320/Tahun+Baru.jpg)
Masyarakat kita terutamanya di kalangan kumpulan tertentu seperti kumpulan yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah, penagihan arak dan orang-orang yang dianggap sebagai mempunyai penyakit jiwa, bilangan mereka adalah ramai. Ini amat membimbangkan.
Bagi menangani masalah ini, ibu bapa, guru-guru dan masyarakat hendaklah memberi khidmat nasihat terutamanya kepada golongan muda remaja supaya mereka menyedari tentang betapa teruknya isu ini melanda komuniti kita.
Kita hendaklah menggunakan kaedah yang digunakan oleh Rasulullah s.a.w. iaitu agama itu nasihat. Kita mahu mendidik masyarakat dalam perkara yang berkaitan dengan amar makruf dan nahi mungkar (menyuruh kepada yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar).
Rasulullah s.a.w. bersabda: Maksudnya: Agama itu nasihat. Kami (sahabat-sahabat baginda) pun bertanya: Hak siapa (nasihat itu)? Baginda menjawab: Nasihat itu adalah hak Allah, kitab-Nya, Rasul-Nya, pemimpin-pemimpin kaum muslimin dan rakyat mereka. (Riwayat Muslim).
Agama yang dimaksudkan di sini ialah agama Islam iaitu agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w.
Allah S.W.T. telah berfirman: Maksudnya: Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah hanyalah Islam. (Surah Ali Imran: Ayat 19).
Allah S.W.T. juga telah berfirman: Maksudnya: Sesiapa mencari agama selain (daripada agama) Islam, maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu) daripadanya dan dia di akhirat (termasuk) daripada orang-orang yang rugi. (Surah Ali Imran: Ayat 85).