Cara pengubatannya adalah diberikan ubat yang sesuai, selain perlu senaman atau beriadah secukupnya dan menjauhi perkara-perkara yang menyebabkan jangkitan penyakit.
Islam membenarkan orang yang sakit untuk tidak menggunakan air bagi tujuan mandi hadas dan berwuduk, sebaliknya digantikan dengan bertayamum. Tujuannya agar tidak menambah kesakitan bagi orang yang sedang sakit kerana bagi sesetengah sakit, air menjadikan bertambah teruk sakitnya.
Jika kesihatan badan memerlukan penjagaan dan rawatan secukupnya, maka kesihatan hati pun demikian juga halnya. Agar hati tetap kuat dan sihat ia memerlukan keimanan dan sikap tunduk taat mematuhi kewajipan-kewajipan sebagaimana telah ditetapkan ke atas manusia, yang mana ia juga perlu pada penjagaan dan daya tahan daripada perkara-perkara yang boleh menimbulkan penyakit hati, iaitu dengan menjauhi segala bentuk dosa dan maksiat serta amalan-amalan yang bercanggah dengan sunnah.
Dimaklumi bahawa hati itu juga ada kalanya hidup sihat, mati, sakit dan perlu kepada rawatan dan pengubatan. Ia lebih penting daripada merawat badan.
SUMBER: SOLUSI. Isu No. 2. Edisi Ulang Cetak.