Ketika menulis artikel ini, saya telah diberi cuti sakit oleh pihak Hospital Kajang dan beberapa hari lagi akan kembali semula ke hospital tersebut. Tarikh lawatan akan datang telah diberi kepada saya. Ia adalah susulan daripada kejadian saya terjatuh ke dalam longkang di sekolah tempat saya mengajar pada 23/03/2012 (Jumaat). Saya tergelincir dan kaki kanan saya terjatuh ke dalam longkang.
Hari ini (01/04/2012), kaki kanan saya masih berbalut dengan P.O.P. (Plaster of Paris) atau dikenali sebagai plaster simen. Ia dibuat begitu kerana telah didapati seperti ada tulang yang retak.
Pada tahun 2000, saya juga pernah berkunjung ke Hospital Kajang kerana telah terjatuh daripada motosikal. Tulang selangka kanan saya patah. Ia adalah tulang yang membentuk bahu dan menghubungkan lengan atas pada batang tubuh. Ketika itu, saya masih bujang dan baru beberapa bulan berhijrah ke daerah Hulu Langat, Selangor.
Setakat ini, saya, isteri dan tiga orang anak kami tidak mengalami banyak masalah ketika berurusan dengan Hospital Kajang walaupun terdapat cerita-cerita tidak baik daripada orang lain berkenaan layanan yang diterima. Diharap pihak hospital dapat membuat penambahbaikan untuk kecemerlangan pada masa yang akan datang.