Ini merupakan pameran pertanian kali ketujuh yang terbesar di Asia Tenggara. Ia menyediakan kira-kira 2,200 tapak pameran seperti pameran ternakan, agrobazaar dan pelbagai lagi pameran yang disertai oleh agensi kerajaan serta swasta. Negara-negara luar turut menyertai MAHA Antarabangsa 2012 ini.
Walaupun cuaca kadang-kadang hujan dan kadang-kadang tidak, kami tetap meneruskan kunjungan ke dewan-dewan pameran dan gerai-gerai jualan yang ada di MAHA ini. Kemudahan surau ada disediakan di Dewan D. Kami sempat solat Asar sebelum meneruskan kunjungan ke pameran yang terdapat di sini. Sekali lagi kami singgah ke surau yang sama dan menunaikan solat Maghrib pula.
Oleh kerana sudah rasa penat berjalan jauh, kami pun bergerak menuju ke tempat letak kenderaan. Singgah ke sebuah gerai kerana anak-anak ingin makan nasi. Ketika mereka makan di situ, kami sempat melihat perlawanan bola sepak Piala AFF Suzuki 2012 peringkat kumpulan B antara Malaysia dan Indonesia di TV. Pasukan Malaysia menjaringkan dua gol ketika kami berada di situ. Kedua-dua gol dijaringkan pada separuh masa pertama iaitu pada minit ke-27 dan minit ke-30.
Kami pun beredar dengan kenderaan melalui jalan di hadapan Hospital Serdang untuk pulang ke rumah di Kajang. Tiba di rumah, saya terus menonton perlawanan bola sepak yang masih berlangsung. Keputusan kekal 2-0 sehingga tamat perlawanan. Malaysia menewaskan Indonesia dan layak ke peringkat separuh akhir menentang Thailand.