Burung-burung, kapal-kapal terbang dan pelbagai lagi benda
yang terbang di langit atau di udara adalah dengan izin Allah. Dia Yang Maha
Berkuasa sehingga membolehkan mereka terbang tinggi membelah awan.
Operasi Mencari dan Menyelamat (Search and Rescue) MH370
telah masuk hari ke-25 pada hari ini (1 April 2014). Kapal terbang Malaysia
Airlines (MAS) MH370 dilaporkan hilang pada 8 Mac 2014 masih belum ditemui
setakat artikel ini ditulis.
Misi SAR (Search and Rescue) pesawat MAS MH370 ketika ini dilakukan
di kawasan terpencil di Lautan Hindi menggunakan banyak kapal laut serta kapal
terbang dari pelbagai negara seperti Malaysia, China, Korea Selatan, Jepun,
Amerika Syarikat, Australia dan New Zealand.
Penerbangan MH370, membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal
hilang daripada imbasan radar pada 8 Mac lepas setelah berlepas dari Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12:41 tengah malam. Pesawat itu
sepatutnya mendarat di Beijing
pada 6:30 pagi hari yang sama tetapi dikesan berpatah balik ketika berada di
Laut China Selatan. Kemudian ia disahkan berakhir di selatan Lautan Hindi.
Pesawat MAS Boeing 777-2H6 (ER)
dengan kod penerbangan MH370 menggunakan nombor pendaftaran 9M-MRO. Usia
pesawat ialah 11 tahun 8 bulan ketika tragedi ini berlaku.
Marilah sama-sama kita berdoa’ untuk keselamatan dan
kesejahteraan 239 penumpang dan anak kapal pesawat MH370. Semoga kesemua mereka
dapat ditemui segera. Diharap semua pihak dapat melakukan yang terbaik bagi
membantu tugas-tugas pencarian ini.
Ya Allah. Ya Tuhan kami. Engkau Maha Besar lagi Maha
Berkuasa. Sesungguhnya apa yang di langit dan di bumi adalah milik-Mu.
Permudahkanlah setiap usaha kami dalam mencari dan menyelamat pesawat MH370.
Kami mohon dengan sepenuh pengharapan agar Engkau
permudahkan usaha kami dan ikhtiar kami menjejaki pesawat MH370 yang hilang
lenyap tanpa dapat kami susuri. Berilah petunjuk kepada kami. Andai di langit,
turunkanlah. Andai di laut, timbulkanlah. Andai di darat, zahirkanlah. Hanya
kepada-Mu kami mohon pertolongan.