Kursus dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Selangor diadakan pada 25, 26 dan 27 Jun di kawasan ini. Saya dan rakan-rakan berada di sini kira-kira 3 hari 2 malam untuk menghadiri kursus yang melibatkan guru-guru data yang baru dilantik pada tahun 2014. Peserta-peserta kursus yang terlibat terdiri daripada guru-guru dari seluruh Selangor.
Sebelum sampai ke Port Dickson, saya memandu kereta dari Kajang melalui Lebuh Raya Kajang-Seremban (E21), merentasi bandar Seremban dan melalui Lebuh Raya Seremban-Port Dickson (E29). Antara jam 1:45 petang hingga 2:30 petang, saya singgah solat Zohor dan makan tengah hari di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Mambau di E29. Kemudian, saya meneruskan perjalanan.
Pada jam 2:50 petang, saya turun dari kereta dan mendaftar masuk ke Ancasa Residences Port Dickson yang dikenali juga sebagai Ancasa Allsuites Resort & SPA, Batu 8 ½, Jalan Pantai Teluk Kemang, 71050 Port Dickson, Negeri Sembilan. Jarak perjalanan dari rumah saya di Kajang ke sini ialah kira-kira 83 kilometer sahaja.
Ancasa Residences saya duduki sekarang merupakan sebuah pangsapuri yang mempunyai dua buah bilik tidur. Saya dan tiga orang rakan menginap di sini. Sebuah bilik boleh memuatkan dua orang penghuni. Selain itu, ia mempunyai sebuah ruang dapur, sebuah ruang tamu dan dua buah tandas (bilik air).
Program petang ini ialah pendaftaran peserta di tempat
menyambut tetamu dan minum petang di bilik Kayangan 2. Sesi yang seterusnya
akan disambung pada malam ini dan hari yang berikutnya. Selamat berkursus
kepada semua yang terlibat.