Lanchang, 11/06/2014 - Saya, isteri dan tiga orang anak kami
telah sampai ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) di Kuala Gandah pada
jam 11:30 pagi tadi. Kami mengisi borang pendaftaran terlebih dahulu sebelum
menyertai aktiviti di sini. Mula-mula sekali, kami memberi makanan kepada gajah
dan anaknya serta singgah ke kedai cenderahati. Kemudian pergi menonton filem
dokumentari mengenai program pemindahan gajah liar dari kawasan konflik ke
habitat baru oleh
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara
(PERHILITAN). Selepas itu, kami singgah ke surau untuk solat, pergi ke tandas
dan berada di tepi sungai melihat gajah dewasa mandi serta dibersihkan oleh
mahout (gembala gajah). Kakitangan bertugas memberikan penerangan di pentas
interpretasi kepada pelawat-pelawat berkenaan gajah-gajah yang menjalankan
aktiviti konservasi, sejarah dan kebolehan asas mereka. Takrif konservasi ialah
pemeliharaan atau penjagaan sesuatu secara tersusun bagi mengatasi kerosakan,
kemusnahan dan lain-lain. Sebelum beredar, kami singgah ke sebuah kafeteria
yang diberi nama Kuala Gandah Jumbo Café (Food & Beverages).
PKGK Kuala Gandah dibiayai oleh Jabatan PERHILITAN
Semenanjung Malaysia.
Pusat ini terletak kira-kira 15 kilometer dari pekan Lanchang, daerah Temerloh,
negeri Pahang Darul Makmur.
Saya memandu Proton Exora dan kami beredar meninggalkan PKGK
Kuala Gandah pada jam 3:40 petang untuk pulang ke rumah di
Kajang. Kami melalui Lebuhraya Pantai Timur (E8), Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak
(E8), Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 atau Middle Ring Road 2 (MRR2) dan
Lebuhraya Cheras-Kajang (E7). Kira-kira jam 5:00 petang, berlaku kesesakan lalu
lintas di MRR2. Jarak perjalanan pulang dari PKGK Kuala Gandah ke rumah kami
ialah kira-kira 126 kilometer sahaja. Kami selamat sampai ke rumah kira-kira jam
5:50 petang.