Hutan Lipur Sungai Chongkak terletak di Hulu Langat,
Selangor. Berkelah di sini sungguh menyeronokkan. Saya dan keluarga telah
banyak kali pergi ke sini. Air sungai yang mengalir jernih dikelilingi oleh
hutan hijau dan udaranya sangat segar membuatkan kami tenang berada di sini.
Kira-kira jam 5:00 petang, kami beredar meninggalkan
Hutan Lipur Sungai Chongkak. Saya memandu kenderaan keluar dari Sungai Chongkak
dan masuk ke Jalan Hulu Langat menuju ke Kajang. Beberapa kali berhenti di tepi
jalan ketika dalam perjalanan pulang. Mula-mula berhenti di sebelah kiri jalan,
singgah ke sebuah kedai di Dusun Tua membeli daging rusa RM25.00 untuk 1 kilogram,
daging burung puyuh RM25.00 untuk 1 kilogram (10 ekor) dan telur itik gred C
RM5.00 untuk 10 biji. Tidak berapa jauh dari kedai tadi, kami masuk ke kawasan
masjid di sebelah kanan jalan dan berhenti solat Asar di Masjid al-Muttaqin Batu
16 ½ Dusun Tua. Selepas lalu di hadapan Sekolah Kebangsaan Sungai Serai,
berhenti di sebelah kanan jalan dan singgah pula ke gerai Ayam Golek Haji
Yusof. Beli seekor ayam golek yang berharga RM17.00. Akhir sekali, selepas
lalu di hadapan Sekolah Kebangsaan Bukit Raya, berhenti di sebelah kiri jalan
dan kemudian singgah ke sebuah kedai di stesen minyak. Beli beberapa jenis
makanan dan minuman. Antaranya ialah 400 gram roti putih yang berharga RM2.40.
Jarak perjalanan pulang dari Hutan Lipur Sungai
Chongkak ke rumah kami di Kajang ialah kira-kira 32 kilometer sahaja. Saya masih
memandu Proton Exora di jalan raya. Keluar dari Jalan Hulu Langat dan masuk ke
Lebuhraya Cheras-Kajang (E7). Saya meneruskan pemanduan di E7 yang bersambung dengan Persiaran Saujana Impian. Kemudian membelok
ke Persiaran Impian Perdana, merentasi jalan-jalan di taman perumahan dan
akhirnya selamat sampai ke rumah petang tadi.
Isteri saya keluar semula sebelum
waktu Maghrib dan pergi ke Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi. Dia sedang
sambung belajar di peringkat Sarjana (Master) Pendidikan dalam bidang Kurikulum
dan Pedagogi. Kelas separuh masa pada waktu malam. Saya dan tiga orang anak berada
di rumah sementara menunggunya pulang.