Setakat ini, saya dan isteri banyak masa bekerja dari rumah. Kadang-kadang sahaja bekerja di sekolah. Kami dan anak-anak menjalankan aktiviti Pengajaran dan Permbelajaran di Rumah (PdPR).
Pagi tadi, Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Perdana Menteri Malaysia telah melancarkan saluran DidikTV Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Natseven TV Sdn Bhd (NTV7) kekal di bawah rangkaian televisyen Media Prima Berhad (MPB). DidikTV KPM ialah kolaborasi komersial strategik antara MPB dan KPM dalam meningkatkan akses kepada pendidikan berkualiti bagi semua murid di seluruh negara melalui capaian luas di dalam negara dan keupayaannya dalam menerbitkan kandungan berkualiti. Ia bersiaran 17 jam sehari dari 7 pagi hingga 12 tengah malam.
Perdana Menteri yakin saluran DidikTV KPM dapat membantu pelaksanaan PdPR, khususnya untuk murid-murid yang tiada akses kepada pendidikan secara dalam talian. Kaedah PdPR secara dalam talian belum dapat dilaksanakan secara menyeluruh kerana sebahagian besar murid tidak memiliki peranti sesuai, selain faktor kekangan akses kepada internet.