Homestay yang terletak di dalam kebun getah dan buah-buahan serta pemeliharaan kelulut untuk mendapatkan madu. Saya dan isteri membayar RM150.00 untuk rumah jenis Mawar (nombor 2) yang ada 1 bilik tidur serta 1 ruang tidur. Ia mempunyai 4 tempat tidur (dua buah katil kelamin). Selain itu, rumah ini ada 1 ruang tamu, 1 ruang dapur dan 1 bilik air dengan tandas.
Tambahan kami membayar RM60.00 kerana bayaran lebih masa selama 3 jam (RM20.00 x 3 jam = RM60.00). Masa mendaftar masuk pada hari Sabtu ialah pada jam 2:00 petang dan masa mendaftar keluar pada hari Ahad ialah pada jam 1:00 petang tetapi kami mendaftar keluar pada jam 4:00 petang.
Sabtu, 16 Oktober 2021 (hari pertama). Saya, isteri dan lima orang anak kami keluar dari rumah (SI) di Kajang sebelum waktu tengah hari. Kira-kira jam 2:00 petang, kami bertujuh sampai ke Simpang Pelangai dan mencari Homestay Pondok Duku Indah. Puan Hamidah binti Hashim ialah tuan punya homestay dan kami menerima kunci daripadanya. Selepas meletakkan barang-barang dan solat, kami pergi makan serta minum di Kedai Makan Kak Su, Simpang Pelangai pada jam 3:30 petang. Kemudian, bersiar-siar ke Kampung Shafie, Manchis, Bentong, Pahang. Berpatah balik dalam hujan lebat dan pulang ke homestay.
Ahad, 17 Oktober 2021 (hari kedua). Bangun dan solat Subuh. Saya memandu Proton Exora seorang diri dan pergi melihat Kedai Makan Kak Su di Simpang Pelangai tetapi belum dibuka. Saya terus memandu ke Simpang Durian. Kedai-kedai makan di sini ramai orang. Saya singgah membeli barang-barang di Hafiz Mini Market, Simpang Durian dan membeli makanan serta bahan minuman di Kedai Makan Kak Su, Simpang Pelangai serta pulang ke homestay. Selepas solat, saya seorang diri sahaja menghantar anak sulung ke Simpang Durian mengikut peraturan yang ditetapkan bagi menghadapi wabak Covid-19. Saya kembali ke Simpang Pelangai. Anak kedua pula akan dihantar ke tempat yang sama pada bulan November 2021. Kami meninggalkan kawasan Homestay Pondok Duku Indah dan kira-kira jam 4:00 petang sudah berada di atas jalan raya. Jarak perjalanan dari homestay tersebut di Simpang Pelangai ke rumah (SI) di Kajang ialah sejauh 104 kilometer (Simpang Pelangai - Simpang Durian - Kuala Klawang - Lenggeng - Broga - Semenyih - Kajang). Merentas negeri di Pahang, Negeri Sembilan dan Selangor.