Beberapa kali saya mematikan enjin kereta dan menghidupkannya kembali sehingga boleh dipandu masuk ke tempat letak kenderaan di dalam pagar Sekolah Kebangsaan Semenyih. Ketika hendak meletakkan kereta, beberapa kali lagi saya mematikan enjin kereta dan menghidupkannya kembali supaya ia boleh bergerak.
Saya menghubungi mekanik di bengkel kereta yang terletak berhampiran rumah SI kerana saya selalu berurusan dengannya. Dia tidak boleh datang waktu pagi kerana beberapa orang pekerjanya bercuti hari ini. Kira-kira jam 2:50 petang, seorang mekanik memandu Perodua Kelisa, saya duduk di sebelahnya dan seorang lagi rakannya memandu kereta mengekori kami menghala ke Kajang. Kereta saya mengalami kerosakan kotak gear lagi dan menyebabkan ia tidak boleh bergerak walaupun enjinnya masih hidup. Kereta diletakkan di tepi jalan berhampiran kedai perkakasan (hardware) bahan binaan di Jalan Semenyih. Di seberang jalan terletaknya BHP Petrol.
Saya menghubungi pihak eTiQa Takaful untuk perkhidmatan menunda. Kami bertiga pulang dulu ke bengkel di Kajang dengan kereta mekanik. Saya pulang ke rumah selepas isteri datang ke bengkel dengan Proton Exora. Saya memandu kenderaan kembali mendapatkan kereta. Pemandu lori tunda sedang berada di lokasi dan bersedia menaikkan kereta saya ke atas lori. Saya membantu membetulkan stereng kereta ketika ia dinaikkan ke atas lori. Lori bergerak ke bengkel dan saya mengikutnya dari belakang. Ketika perjalanan hampir sampai ke bengkel, kenderaan saya berada di depan pula.
Sejak Perodua Kelisa 1.0 Ezi Special Edition (AUTO) baharu ini telah dibeli dan diterima pada hari Jumaat, 22 Disember 2006, hari ini (Isnin, 28 Mac 2022) merupakan kali pertama mendapat perkhidmatan menunda yang dibayar oleh pihak eTiQa Takaful.